Mengenai Saya

Foto saya
Malang, East Java, Indonesia
Uhibbuka Fillah...

Laman

Rabu, 03 November 2010

Panduan membentuk akhlak yang baik


Assalamualaikum,

Orang yang berakhlak mulia atau baik tentu tidak sewenang-wenangnya melakukan sesuatu untuk menyakiti atau menyusahkan orang lain apalagi terhadap orang yang sudah menjadi teman atau sahabat  pada mereka. Akhlak mulia adalah menjadi matlamat asas bagi risalah Islam. Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud : "Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia."(Hadis Riwayat Mali, Ahmad Hakim, at-Tabrani dan al-Bukhari)
Di antara panduan membentuk akhlak mulia ialah :
a) Menundukkan pandangan Orang Islam sepatutnya menutup pandangan daripada perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah kerana pandangan itu akan menimbulkan syahwat dan mendorong seseorang terjatuh ke dalam maksiat dan dosa. Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud : "Pandangan itu salah satu daripada panah-panah iblis."(Hadis Riwayat al-Hakim dan at-Tabrani)
b) Memelihara lidah Setiap orang wajar memelihara lidahnya daripada perkataan yang tidak memberi faedah atau sia-sia, percakapan yang kotor, omong kosong, mengumpat dan mengadu-domba. Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud : "Tidaklah hasil ucapan lidah manusia itulah yang telah menghujamkan muka mereka ke dalam neraka?"(Hadis Riwayat at-Tarmizi, an-Nasai, Ibnu Majah dan Ahmad)
c) Malu Sifat malu adalah salah satu daripada sifat orang berakhlak mulia, namun sifat malunya tidak menghalangi mereka daripada memperkatakan kebenaran. Telah diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. lebih pemalu daripada seorang gadis remaja dan baginda telah bersabda yang bermaksud : "Iman itu lebih daripada tujuh puluh atau lebih daripada enam puluh cabang, yang paling afdal ialah kalimah 'Lailahaillallah' dan yang paling rendah ialah membuang sesuatu yang boleh menyakitkan di jalan dan malu itu satu cabang daripada iman."(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
d) Bersifat benar dan jujur Orang-orang Islam dituntut supaya sentiasa bersifat benar dan jujur dan tidak berdusta dalam mengatakan sesuatu yang hak sekalipun terhadap dirinya dengan tidak berasa takut celaan manusia demi kepatuhan kepada Allah. Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud : "Sesungguhnya sifat benar itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa ke syurga dan seseorang itu terus bersifat benar sehinggalah beliau ditulis di sisi Allah sebagai orang yang bersifat benar. Sesungguhnya dusta itu membawa kepada kejahatan dan kejahatan itu membawa ke neraka, seseorang itu akan terus berdusta sehinggalah mereka ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta." (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

e) Tawaduk Orang-orang Islam sepatutnya sentiasa bersifat tawaduk terutama di kalangan saudara-saudara Islamnya. Mereka sewajarnya mengamalkan sikap tidak ada perbedaan antara yang kaya dan miskin. Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud : "Tidak akan dimasukkan ke dalam syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarah sifat takabur."(Hadis Riwayat Muslim)
Secara rasionalnya setiap Muslim mau menjadikan diri mereka orang yang beragama dan berakhlak dengan akhlak yang baik dan tidak sekalipun ada terbersit di sudut hati mereka untuk menjadikan diri mereka dengan akhlak yang jahat. Tapi semua ini bergantung kepada keupayaan diri sendiri untuk menentukan ke arah mana sebenarnya mereka berada.
Akhir sekali, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud : "Ingatlah dalam setiap jasad itu ada segumpal daging, apabila daging itu baik maka baiklah jasad itu keseluruhannya, apabila daging itu rusak maka rusaklah jasad itu keseluruhannya. Ingatlah daging itu ialah hati."(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Barokallahu fikkum...
Wassalamualaikum....
Sumber : Akhlak Islam