"Saya daripada sekolah dulu
belum pernah memegang apa-apa jawatan. Tapi saya memang yakin saya boleh buat
kerja dengan baik," kata seorang pelajar yang sedang ditemuduga oleh saya
untuk satu jawatan persatuan Engineus(Engineering Society).
"Adakah kerana populariti atau
ingin menjadi terkenal bila dapat menjadi mainboard pada first year lagi?"
Saya sengaja memberi soalan sebegitu.
"Bukan. Saya betul-betul mahu
belajar cara-cara hendak menguruskan sesuatu program dan cara-cara hendak
menguruskan sesuatu mesyuarat umpamanya. Dan saya rasakan jawatan ini memang
dapat memberikan saya pengalaman seperti itu," jawabnya penuh yakin.
Dari segi gaya bercakapnya, memang
menunjukkan yang dia betul-betul berminat memegang jawatan dalam mainboard.
Mencari pengalaman baru katanya. Tetapi kemudian saya berikan dia jawatan
sebagai ahli jawatankuasa biasa di dalam sebuah biro.
Bukan saya menidakkan keupayaannya
untuk memegang jawatan tinggi tetapi biarlah dia merasa dulu bekerja daripada
bawah. Saya sendiri hanyalah seorang AJK biasa-biasa sahaja sebelum diserap
masuk terus ke dalam mainboard. Dan saya rasakan pengalaman menjadi AJK biasa
itulah yang paling berguna yang membolehkan saya belajar lebih banyak perkara.
Hendak memimpin atau hendak buka
bisnes sendiri perlu kita belajar selok-beloknya terlebih dahulu. Perlu ada
mentor atau orang yang kita jadikan idola yang baik untuk kita ikuti dan
contohi.
Apa yang perlu dibuat sebagai orang
bawah
Memimpin tidak semestinya perlu
berada di kedudukan paling atas. Jika kita seorang ahli biasa pun kita masih
boleh memimpin. Apabila kita berada di kedudukan bawah, kita belajar dengan
cara memperhatikan cara pimpinan ketika itu memimpin. Apa yang baik kita ambil
dan apa yang silap kita cuba cari penyelesaian lain.
Konsepnya sama dengan hubungan
antara imam dan makmum. Jika imam melakukan kesilapan, makmum berhak
membetulkan.
Waktu menjadi orang bawah itu juga
perlu kita cuba merapatkan diri dengan AJK lain. Wujudkan hubungan dan suasana
yang baik. Salah satu elemen yang penting di dalam pembentukan sebuah institusi
ialah hubungan yang wujud di antara mereka. Andai baik hubungan yang terjalin
tersebut maka kukuh dan kuatlah institusi tersebut.
Kalaulah jawatan atau pekerjaan yang
kita dapat itu bukan yang kita harapkan, tidak perlulah rasa rendah diri.
Belajar memimpin daripada bawah itu lebih seronok daripada terus berjawatan
tinggi.
Dan sewaktu menjadi orang bawah
inilah kita perlu cari model atau mentor yang boleh mengajar kita menjadi
pemimpin yang betul.
Contoh daripada Nabi Muhammad
Nabi Muhammad sendiri belajar
memimpin daripada peringkat paling bawah sekali. Daripada belajar mengusahakan
ternakan kambing sewaktu beliau berusaha 8 tahun. Tentu bukan mudah untuk
menjaga kambing yang perangainya macam-macam.
Kemudian menjadi assistant manager
unit jualan pula pada usia 12 tahun semasa mengikuti ayah saudaranya berniaga.
Lantas barulah beliau menjadi seorang manager semasa bisnesnya sudah berada di
tahap internasional pada usia 20-an.
Sedari kecil sudah belajar
bertanggungjawab dan kemudian berjaya menguruskan bisnes sendiri dengan baik.
Berniaga juga perlu belajar dahulu
"Aku macam dah kurang keyakinan
hendak buat bisnes la bila dah bekerja ni," kata seorang kawan pada suatu
petang.
Dia menyambung, "Kalau dulu
minat nak buka bisnes meluap-luap. Sampaikan hampir semua jenis bisnes aku
cuba. Tapi bila dah start kerja bawah orang macam ini, rasa nak berhenti kerja
itu hilang. Rasa nak buka bisnes dah macam tak ada pula."
Saya teringat satu perkara yang
ditekankan oleh Robert T. Kiyosaki dalam buku Rich Dad Poor Dad, "Work to
learn, don't work for money."
Dia juga menyarankan supaya kita
belajar dahulu selok-belok berniaga daripada bawah. Tetapi kita perlu tetapkan
dahulu dalam minda kita yang kita bekerja bawah orang lain itu adalah untuk
mengambil pengalaman, cara gerak kerja, dan cara menguruskan kerja syarikat
tersebut.
Semakin banyak pengalaman yang
ditimba dan semakin banyak model bisnes terbaik yang kita ketahui, maka semakin
baiklah strategi kita untuk memulakan bisnes sendiri.
Saya juga masih bertatih belajar.
Bertemu dengan orang yang tidak dikenali untuk berbincang, kadang saya
menawarkan diri untuk menemani kawan yang akan bertemu dengan orang penting dan
kadang saya ikut kawan saya berniaga di booth.