Mengenai Saya

Foto saya
Malang, East Java, Indonesia
Uhibbuka Fillah...

Laman

Senin, 18 April 2011

Aku Ingin Bermadu Kasih...


Oh!
apakah nasib yang telah menimpaku ini?
sehingga membuatkan aku terseksa hari ke hari...
disaat insan-insan lain datang mencari aku
mengadu nasib mereka yang tiada teman untuk menemani di sisi
meluahkan isi hati mereka yang inginkan teman ke sana ke mari,
hati aku pula menangis
ingin bersendiri...
Oh!
apakah nasib yang menimpaku ini?
sehingga membuatkan aku terseksa hari ke hari...
seringkali hati ini berteriak sendiri
menangis ia setiap hari mencari-cari
apakah ada waktu untuk aku bersendiri?
Oh!
apakah nasib yang menimpaku ini?
sehingga membuatkan aku terseksa hari ke hari...
ketika insan-insan di dunia
sibuk mencari teman untuk menemani sisi
aku menangis untuk bersendiri
telah lelah hatiku meronta-ronta
aku ingin menyendiri!!!
namun, aku masih di sini
dikelilingi insan-insan yang tidak memahami
isi hati ku ini...
Oh!
apakah nasib yang menimpaku ini?
sehingga membuatkan aku terseksa hari ke hari...
hari demi hari
aku merasakan kekuatan diriku
kian rapuh dimakan waktu
hati yang dulunya dapat merasakan
nikmatnya bersujud di sepertiga malam
kini sering meraung kelemahan
Oh!
apakah nasib yang menimpaku ini?
sehingga membuatkan aku terseksa hari ke hari...
saat-saat bersama insan-insan
aku tidak lagi merasakan rapatnya aku dengan DIA
sebagaimana suatu ketika dulu
yang dapat membuatkan aku lemas
dalam sungai kasih abadi
yang dapat membuatkan aku khayal
di dalam syurga rindu kepada-NYA
Oh!
apakah nasib yang menimpaku ini?
sehingga membuatkan aku terseksa hari ke hari...
memikirkan detik-detik yang berlalu
membuatkan hati aku semakin terseksa
lantaran gagal menghanyutkan bahtera rinduku
ke dalam lautan nikmat rindu kepada-NYA
aku ingin sendirian
lemas di dalam pelukan kasih ILAHI
diselimuti sutera kasih-NYA yang abadi...
Oh!
apakah nasib yang menimpaku ini?
sehingga membuatkan aku terseksa hari ke hari...
aku tidak ingin lemas di dalam gelora lautan usia remaja
yang mungkin mendamparkan aku ke dataran noda dan dosa
tetapi aku ingin membiarkan hati aku
diulit mimpi-mimpi indah bermadu kasih
dalam lazatnya berzikir, bertasbih dan bertahmid memuji-MU
biarpun aku bersama jasad-jasad tua yang bernyawa
asalkan hatiku terasa tenangnya mengingati-MU
biarlah diri aku terseksa menanggung susah dan payah
biarlah ia uzur ditelan zaman dan waktu
biarlah ia hancur dimakan ulat dan cacing
tetapi biarlah hatiku tetap terus leka dan lalai
di dalam buaian zikrullah memuji ILAHI
Oh!
apakah nasib yang menimpaku ini?
sehingga membuatkan aku terseksa hari ke hari...
Ya ALLAH!
bantulah aku dalam membawa bahtera aku
berlayarkan sutera kasih-MU
di dalam lautan rahmat dan nikmat dunia-MU
dan janganlah ENGKAU tenggelamkan aku
bersama mereka yang tewas kerana taufan usia remaja
ke dasar lautan dunia
gelap tanpa cahaya-MU...


http://www.iluvislam.com/karya/puisi-kreatif/1054-aku-ingin-bermadu-kasih.html

Jiwa Halus Milik-Nya


Usai maghrib, Mutmainnah mengesat air mata. Betapa deras ia mengalir sementelah hatinya semakin tegang menghitung khilaf yang dilakukan sehari-hari dalam sedar mahupun separa sedar. Bukan dengan Sang Khaliq sahaja, bahkan dengan ciptaannya juga. Bukan dia tidak pernah menyesal suatu ketika dulu. Dia pernah! Tetapi, dia tersungkur lagi.
Air jernih berjuraian menelusuri pipi dan dibiarkannya sahaja. Perempuan dan air mata ibarat sahabat sejati. Wudhu' itu ikatannya. Itu kata ibu Mutmainnah. Lantas, Mushaf ‘Uthmani digapainya. Sudah seminggu dia tidak menyentuh kitab suci itu lantaran telah dilarang oleh Allah kepada kaum hawa agar tidak menyentuh dan membaca kalam itu untuk tempoh-tempoh tertentu.
Walaupun pada hakikatnya, teman-temannya sering mengingatkan, jangan lupa zikir itu masih ada. Setiap langkah kamu ke dewan kuliah, pulang ke bilik, mahu ke mana-mana sahaja, lidah kamu masih tidak dihijabkan untuk menyebut nama-Nya, dan memuji keagungan-Nya.
Mutmainnah akui itu semua tapi tatkala bibir mula bergerak-gerak, pasti syaitan mula memadam ingatan dan mengalihkan pandangannya.
"Mutmainnah, cuba lihat sana! Baiknya lelaki tu kan? Jalan tak pandang perempuan pun.”
“Mutmainnah, tak payah la terkumat-kamit macam tu..Nanti orang ingat kamu sewel pula."
“Mutmainnah…ini...”
"Mutmainnah…itu.."

"Aku memohon ampun darimu ya Allah!" Mukanya diraup entah buat keberapa kali. Jutaan penyesalan dilontarkan untuk mendambakan keampunan Tuannya.
Tenang, diam, dan dengan perlahan-lahan dia menyelak halaman yang ditanda minggu lepas.
Ayat 125 dari surah Al-An’aam dibacanya dengan tartil, kemudian disambung pula dengan ayat 126. Dia berhenti seketika, bagaikan ada magnet yang menariknya untuk mentadabbur ayat tersebut. Terjemahan dibuka dan diteliti maknanya.
Barangsiapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki ke langit. Begitulah Allah menimpakan siksa kepada orang-orang yang tidak beriman. Dan inilah jalan Tuhanmu; (jalan) yang lurus. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan ayat-ayat (Kami) kepada orang-orang yang mengambil pelajaran. [Surah Al-An’aam]
Air matanya lebat lagi. Tanda kesyukuran kerana tatkala bergelumang dengan karat-karat dunia, dia masih layak untuk dipimpin bagi menerima taufiq-Nya. Dia tidak memandang ke belakang lagi. Terasa dahaga dan lapar! Dengan rakus dia menyantap hidayah Allah yang mencurah-curah jatuh seolah-olah cuba untuk menyucikan hatinya yang sering berbolak-balik itu.
"Kalau benar aku sentiasa mohon untuk berlindung dengan Allah dari syaitan, kenapalah aku masih terdorong untuk menghampiri lereng-lereng dosa ni?" Mutmainnah berfikir lagi selepas menamatkan bacaannya pada malam itu. Mushaf biru itu disimpan kembali ke tempat asal. Dengan seragam putih yang masih tersarung, dia ingin mengisi malam-malam bercahaya itu dengan muhasabah.
*************************
Dia teringat kembali buku yang pernah dibacanya suatu ketika dulu yang bertajuk; 'Personaliti Wanita Yang Disayangi Allah & Rasul’. Buku itulah yang menjadi hadiah hari lahirnya yang ke-22 oleh kakaknya, Mardhiyah.
Wanita itu banyaknya nafsu 90 peratus manakala akalnya 10 peratus sahaja. Tetapi berbeda bagi sang laki-laki, 90 peratus itu akalnya, tetapi nafsunya 10 peratus sahaja.
Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikaruniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Kerana) bagi orang laki-laki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebahagian dari kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. [Surah An-Nisaa’: 32]
Maka beruntunglah bagi si wanita kerana telah dianugerahkan sang laki-laki sebagai pemimpinnya, kerana sang laki-laki itu banyak akalnya yang mampu mendidik dan menunduk nafsu si wanita tersebut.
"Eh..betul ke wanita ada banyak nafsu. Aku tengok zaman sekarang lelaki yang berlebihan nafsunya dari wanita." Desas hati kecilnya ketika itu.
***************************
Lantas, malam khamis 3 minggu lalu yang menjadi kebiasaan untuk Mutmainnah dan akhawat lain untuk menerima tarbiah dari naqibah mereka tidak dipersia-siakannya.
"Kak Aishah, kenapa Allah bagi kaum kita ni banyak nafsu?"
"Oh..kaya la kita ada banyak nafsu..hehe." Kak Aishah cuba berseloroh memulakan muqaddimah.
"Ala akak ni...takkan nak bergelar jutawan nafsu pulak, mentang-mentang baru balik Seminar Pengurusan Kewangan dan Keusahawanan minggu lepas ye..." Mutmainnah sengaja menyakat naqibahnya itu kembali.
Seronok. Antara mereka tiada jurang. Walaupun bergelar seorang naqibah yang sudah berkahwin dan berkerjaya pula sebagai seorang jurutera, Kak Aishah tidak pernah meletakkan jurang yang tinggi antara dia dan mad'unya. Uslub tarbiyah yang menarik barangkali.
"Begini Ina, sebenarnya dalam dunia ni, nafsu ada 7 peringkat, dan bukan semua nafsu yang Allah cipta itu tak elok." Kak Aishah menarik nafas panjang.
"Nafsu pertama ialah Ammarah iaitu bagi mereka yang sentiasa menghampiri maksiat, terlalu gembira bila mendapat nikmat, dan terus berputus asa bila diuji. Mereka tak sedih dan tak akan menyesal jika berada di dalam maksiat dan kejahatan."
"Contohnya kak?"
"Contohnya? Emm, macam ni... Seorang wanita yang mengaku sebagai seorang yang beragama Islam tetapi bangga apabila tidak menutup aurat. Dia tahu hukum menutup aurat itu wajib tetapi tidak pernah berasa berdosa bila tidak memakai tudung atau apabila memakai pakaian jarang..."
"Yang kedua, nafsu Lawwamah iaitu bagi mereka yang kadang-kadang terjebak dengan dosa tetapi sering menyesal dengan perbuatannya itu. Dia sentiasa berusaha untuk berubah tapi kadang-kadang tidak dapat mengelak godaan syaitan. Kadang-kadang, manusia bernafsu Lawwamah ni akan terdetik di dalam hati mereka untuk berasa riya’ bila melakukan sesuatu kebaikan."
"Kak, macam mana nak elak nafsu Lawwamah ni ye?"
"Mujahadatunnafs! Jihad melawan nafsu. Sebenarnya, nafsu jahat dan iman sering berlumba-lumba untuk memenangi kita. Kita manusia, siap berakal lagi! Maka, pergunakanlah akal pemberian Allah ini dengan cara yang paling waras."
"Thanks kak…ok, sila sambung lagi. Hehe..."
"Ye baik cik adik. Nafsu ketiga ialah Mulhimah. Peringkat ini boleh dicapai bila manusia tu dapat melawan nafsu Lawwamahnya dengan bersungguh-sungguh untuk menyucikan hati. Biasanya, mereka ini memiliki sifat takut, syukur dan bertawakkal kepada Allah yang sebenar-benar, bukan hanya enak melafazkan kalimah syukur dan tawakkal di mulut sahaja. Taubat mereka pun merupakan sebenar-benar taubat. Bukan on off macam tu je."
Martabat seterusnya ialah nafsu Mutmainnah iaitu peringkat nafsu yang pertama yang diredhai Allah swt dan layak memasuki syurga-Nya."
Kak Aishah berhenti seketika untuk mengambil nafas barangkali, fikir Mutmainnah yang masih tersengih-sengih tatkala namanya disebut sebagai salah satu peringkat nafsu yang layak ke syurga.

"Orang yang memiliki nafsu Mutmainnah ni memiliki sifat pemurah yang amat sangat. Wang di tangan mereka tak pernah lekat kerana kerapnya bersedekah. Mereka juga kuat beribadah dan memiliki taqwa yang sebenar iaitu takut dan harap."
***************************
Oh...sesungguhnya nama tak dapat mewarisi peringkat nafsu! Mutmainnah hanya mampu mendengus di dalam hati. Dia masih ingat lagi kisah 'Takut & Harap Saidina Umar' yang mana bila ditanyakan oleh Rasulullah SAW.
"Hai Umar, apa yang kamu maksudkan dengan taqwa?"
Jawab Umar; "takut & harap, iaitu aku takut jika semua manusia layak ke syurga kecuali aku dan andaikata jika seorang saja manusia yang layak ke syurga, aku berharap itulah aku."
"Ok..nak sambung lagi ke?" Kak Aishah memecahkan kesunyian yang menyelubungi mereka sebentar tadi.
"Nak, nak..." Nusaibah, sahabat mereka dari Baling, Kedah cepat-cepat menjawab. Fuh, bersemangat.
"Seterusnya ialah nafsu Radhiah. Mereka yang berjaya sampai ke peringkat nafsu ini mempunyai hubungan dengan Allah yang dekat. Mereka mengenali zat-zat Allah dengan kenal yang sebenar-benarnya. Yang paling hebat, mereka tidak pernah takut akan bala dan tidak tahu gembira pada nikmat, yang mereka kenali ialah keampunan dan redha Allah sahaja."
"Oh...ini macam tahap wali-wali Allah la ni ye kak?"
"Yup..selain itu wali-wali Allah ini dianugerahkan dengan kelebihan memiliki firasat yang tinggi.” Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang mafhumnya; Takutilah akan firasat orang mukmin, sesungguhnya mereka melihat dengan nur(petunjuk) Allah SWT. [Riwayat At-Tarmizi]
"Oh...macam tu rupanya." sampuk Anisa, teman sehalaqah mereka juga.
"Ok..akak sambung sikit lagi ye. Dua saja lagi, akak cuba ringkaskan. Yang keenam ialah nafsu Mardhiyah, iaitu orang yang memiliki peringkat nafsu ini mempunyai hati dan jiwa yang benar-benar sebati dengan Allah SWT dan yang paling best, setiap perbuatan mereka pasti telah diredhai Allah. Best kan?"
"Ha'ah...seronoknya kalau setiap amal kita confirm and confidence je Allah redha."
"Conclusion, buat yang Allah suruh, tinggal yang Allah larang! Seronok je akak cakap macam ni kan? Payah nak buat tu dik, payah! Sebab tu la, kita diberi peluang untuk istighfar. Leka dan terus memohon ampun. It is the best formula!"
"Dan yang last ialah nafsu Kamilah, peringkat yang hanya mampu diperoleh oleh para rasul, para nabi dan wali Allah. Betapa hebatnya mereka, setiap detik amal di dalam kehidupan mereka hanya Allah tujuannya. Tiada dunia dan segala isinya. Subhanallah!"
"Fuh..semput akak nak habiskan semua peringkat nafsu tu. Ok, semua dapat dan faham?"
"Dapat kak..." jawab mereka serentak.
"Ha..good girls! Sekarang, akak nak korang semua nilai balik nafsu korang semua kat peringkat mana. Muhasabah itu mesti! Ingat, penciptaan nafsu oleh Allah SWT itu cantik. Ada nafsu yang baik dan jahat. So, tak boleh nak pertikaikan lagi kenapa wanita tu ada banyak nafsu sebab kalau dia pandai menundukkan nafsunya, insyaAllah akal dan nafsu tu akan berjalan seiring."
Lagi satu, walaupun nafsu yang baik tu macam payah je kita nak dapat, tapi kita tak boleh putus asa. Contohnya, kalau Ina nak dapatkan peringkat nafsu Mutmainnah tu, kena jihad lebih la ye sayang..."
“Err...hehe. InsyaAllah kak!” Tersengih-sengih Mutmainnah. Macam tahu-tahu je aku tengah terfikir tentang tahap nafsu tu.
Kata-kata itu masih terngiang-ngiang sampai malam ini. Ya, mungkin aku terlalu mengikut nafsu yang kurang baik menyebabkan aku terjebak untuk melakukan dosa-dosa kepada Allah. Mungkin bagi mereka di luar sana, khilaf yang dilakukannya itu sekadar dosa-dosa kecil yang boleh diampunkan Allah bila-bila masa. Tetapi tidak bagi Mutmainnah, selagi mana tindakannya itu bakal menghantar kakinya untuk selangkah ke neraka, dia tidak tega untuk terus berasa bersalah!
Alhamdulillah, jiwa aku makin damai sekarang. Aku tahu Allah sayang pada aku. Moga hijrah aku kali ini lebih bererti. Aku yakin dengan izin Allah! Mutmainnah sudah mampu tersenyum. Malam 10 Muharam 1432 hijrah ini amat bermakna baginya. Dia telah menemui erti hijrah yang sebenar-benarnya. Esok, hari assyura. InsyaAllah, dia akan berpuasa sebagaimana disunatkan berpuasa.
Sabda Rasulullah SAW:
Puasa 'Asyura akan menghapuskan dosa setahun yang lalu. [Riwayat Imam Muslim]
Moga Allah terima taubat hamba-hamba yang suka meminta-minta tapi tidak pernah lupa untuk bersyukur pada-Nya!


http://www.iluvislam.com/tazkirah/dakwah/2101-jiwa-halus-milik-nya.html

Waktu Yang Tinggal


Sepi meruntun jiwa-jiwa hampa
malam berlalu tanpa pengabdian hamba
terbuka pintu langit, berakhir sia-sia
sayap malam pergi mengibas alpa.

Siangmu sibuk mencari harta
cintamu mabuk pada dunia
sujud terlepas, kewajipan hancur
harta takkan dibawa ke kubur.

Waktu yang tinggal, himpunkan bekal
bila daunmu gugur, ada yang tinggal
ajal maut tak kenal usia dan darjat
kelmarin sihat, sekarang diangkat.

Tatkala zaqqum disuguhkan ke lapar
hancurlah isi dan kulit menggelepar
tubuh luluh, roh menggeletar
mana mungkin ada maut mengejar.

Bahang membangkit panas membukit
minuman diteguk menambah sakit
dahaga tak mungkin akan menghilang
sampai kapan dicarik dan diganyang?


http://www.iluvislam.com/karya/puisi-kreatif/2092-waktu-yang-tinggal.html

Resahnya Jiwa


Selebat gerimis di hati..
Semisteri air di Laut Mati..
Mengapa kau menangis duhai diri?
Mengapa kau merasa dunia ini tidak lagi beerti?
Mengapa kau meragui kasihnya Illahi?
Mengapa kau tidak percaya adanya Allah di sisi?

Kau mencari-cari..
Meraba-raba di gelap hati pada malam hari yang sepi..
Kau bingung. Nanar dalam ramai.
Kau tidak mengerti mengapa ini yang harus kau hadapi.
Kau menanti, bilakah yang kau mahu akan bisa kau dapati.
Kau merasa Tuhan tak lagi menyayangi.
Mengapa?
Mengapa begitu?
Oh, jangan! Sekali-kali jangan!
Engkau jiwa yang baik,
Jiwa yang rindu,
Cuma engkau keliru...
Jangan! Sekali-kali jangan!
Engkau sedang menzalimi dirimu..
Padahal engkau tidak berhak disakiti..
Jasad dan rohmu adalah anugerah terindah dari Illahi,
Maka mengapa engkau tegar melukai?
Jangan! Sekali-kali jangan!
Engkau jiwa yang besar yang dikasihi Tuhan.
Engkau jiwa hebat yang benar-benar berpotensi menyengat
Engkau jiwa kebal yang kali pada ujian
Engkau sebenarnya berambisi tinggi, lalu mengapa kau pilih untuk tersakiti?
Jangan! Sekali-kali jangan!
Engkau sentiasa punya satu lagi pilihan.
Iaitu kembali kepada luasnya kehidupan bertuhan.
Kembali berteduh di bawah redup kasih Illahi.
Kembali kepada DIA.
Ya, bak kata para cendikiawan
"Bersama Tuhanmu, apapun mungkin!"
"Bersama Tuhanmu, kekalahan pun adalah kemenangan."
Maka, tak harus berduka gitu dong!
Senyum!


http://www.iluvislam.com/karya/puisi-kreatif/2105-resahnya-jiwa-.html

Dari Kekasih Buat Kekasih


"Dahulukan mengucap salam, ucapkan selamat dengan senyuman, tumpukan perhatian anda kepada mereka agar anda menjadi orang yang sangat mereka cintai dan dekat dengan mereka."
Kekasihku,
Hari ini aku mengadu pada sang KEKASIH, pencipta kau dan aku. Aku ingin menjadi kekasihmu yang patuh pada sang KEKASIH. Aku mohon pada sang KEKASIH agar ditautkan hatiku dan hatimu agar kita bisa jadi sepasang kekasih yang diredhai sang KEKASIH.
Kekasihku sayang,
Aku ingin menjadi sandaran hatimu. Menenangkan tatkala kau kecewa atau terluka tapi aku tidak mahu kau lupa pada sang KEKASIH kerana aku terlalu kasih pada sang KEKASIH. Aku mahu kau menjadi kekasihku yang hebat tanpa melupakan sang KEKASIH.
Wahai kekasihku,
Aku kekasihmu yang akan berdoa saban waktu agar sang KEKASIH memudahkan perjalanan hidupku dan hidupmu. Aku kekasihmu tapi aku tak mampu membahagiakanmu setiap waktu, lalu aku mohon pada sang KEKASIH agar kekasihku bahagia dan dilimpahi cinta sang KEKASIH.
Kekasihku,
Aku tidak mahu kau jadi kekasih yang lemah. Janganlah kita tunduk pada hawa nafsu. Aku mahu jadi kekasih yang bernilai di mata kekasihku agar diredhai sang KEKASIH. Aku menyayangimu duhai kekasihku!
Wahai Kekasih,
Aku kekasihmu yang terlalu daif. Apa yang ada padaku adalah hak milik sang KEKASIH. Aku ingin jadi kekasihmu yang tahu erti syukur dan aku juga mahu kekasihku selalu bersyukur.
Cinta kerana Allah adalah cinta yang aku cari, kerana cinta kerana-Nya adalah CINTA yang diredhai dan jika cinta tanpa redha ibu bapaku, maka tiadalah redha Ilahi dan aku rela untuk memutuskan hubungan cintaku andai mereka tidak redha dengan cintaku kerana aku perlukan cinta yang diredhai kerana kekasihku lah yang bakal bertakhta dihatiku dan menemaniku hingga ke hujung nyawaku.


http://www.iluvislam.com/tazkirah/remaja-a-cinta/2111-dari-kekasih-buat-kekasih.html