Mengenai Saya

Foto saya
Malang, East Java, Indonesia
Uhibbuka Fillah...

Laman

Selasa, 04 Januari 2011

Islam Bukan Sains Dan Sains Bukan Islam


Istilah mengIslamkan sains seakan-akan menjadi satu gelombang baru untuk para saintis Islam membuktikan kebenaran Islam. Pengislaman sains ialah satu cara untuk memaparkan ilmu sains sebagai selaras dengan ajaran Islam.

Al-Quran Sebagai Sumber Inspirasi
Gerakan ini menggunakan penemuan-penemuan sains moden dan memadankannya dengan ayat-ayat Al-Quran yang difikirkan boleh diterima akal. Di antaranya ialah penemuan sains berkenaan bumi ini bulat dan memadankannya dengan ayat ke-19 Surah Al-Hijr atau memadankan Surah Ar-Rum ayat ke-48 dengan pemahaman sains berkenaan kitaran hujan.
Terkini, apabila teori letupan agung (Bing Bang) oleh Edwin Hubble mulai diterima oleh masyarakat sains kontemporari menggantikan teori steady-state oleh Fred Hoyle, pada masa yang sama dikeluarkan juga dalil daripada Al-Quran (ayat ke-30, Surah Al-Anbiya) yang telah lama menyokong penemuan saintifik ini.
Para pengusul dalil ini membuat tafsiran berdasarkan dua kata dasar bahasa Arab dalam ayat tersebut, 'ratq' bermaksud 'bercantum' dan fataq yang bermaksud 'memisahkan atau membelahkan'.
Dengan erti kata lain, Islam itu sendiri sudah lama membuktikan teori gelombang agung kerana ianya sudah dinyatakan didalam ayat Al-Quran yang berumur lebih daripada 1400 tahun.
Cara pemikiran ini dirancakkan lagi di dalam buku-buku karya Harun Yahya dari Turki.
Pembaharuan berfikir secara saintifik di dalam membuktikan kebenaran Islam sebenarnya adalah satu trend yang sihat sebagai satu lagi wadah dakwah yang mencerminkan budaya umat Islam berfikir sudah berubah. Sebagai contoh nilai bantu wadah dakwah ini, apabila bukti saintifik yang menunjukkan satu rekahan yang begitu panjang di permukaan bulan sepadan dengan mukjizat Nabi Muhammad SAW yang telah membelah bulan apabila dipinta oleh orang-orang Quraisy telah membuatkan manusia barat berbondong-bondong menjadi 'saudara baru' memeluk Islam.

Pembaca Pasif
Sebenarnya, umat Islam adalah pembaca-pembaca yang pasif walaupun ayat-ayat Al-Quran itu sendiri mengajak mereka untuk berfikir secara kritis dan inovatif.


Sebagai contoh, teori letupan agung telah berada di dalam dada Al-Quran selama lebih daripada 1400 tahun tetapi tiada seorang pun umat Islam yang menyedari akan tujuan sebenar ayat tersebut.
Surah ini sudah dibaca oleh berjuta-juta umat Islam dari dulu sehingga sekarang tetapi tiada seorang pun yang berhenti sejenak dari bacaan mereka dan merenung dengan kritis maksud di sebaliknya. Kemudian dengan sabarnya menunggu waktu malam untuk melihat langit di atasnya untuk memerhati apakah ayat itu cuba menyampaikan sesuatu berkenaan langit dan bumi. Mungkin dulu ianya satu. Selepas membuat pemerhatian dan mendapat keyakinan bahawa langit dan bumi mungkin pada suatu masa dahulu bercantum, mulai mencipta radas-radas dan alat-alatan saintifik untuk membuktikan pemerhatiannya sekaligus membenarkan ayat-ayat-Nya.
Tugasan ini mungkin rumit dan meletihkan tetapi ianya juga salah satu wadah jihad untuk sarjana-sarjana Islam. Sebaliknya, apa yang berlaku adalah hampir kesemua sarjana dan pemikir Islam kontemporari hanya menunggu 'durian runtuh' dan menikmati hasil penat lelah pemikir-pemikir yang mencipta penemuan tersebut.
Jika kita membilang sudah berapa banyak penemuan sains yang sepadan dengan dalil-dalil Al-Quran yang dibaca oleh Muslim setiap hari, mungkin sudah ramai penerima hadiah Nobel terdiri daripada umat Islam dan bukannya orang Yahudi.
Di dalam artikel ini, saya akan cuba memperkenalkan cara untuk memanfaatkan kaedah-kaedah sains untuk menyelesaikan permasalahan umat Islam masa kini. Mungkin ada sarjana-sarjana Islam akan membantah kerana Islam tidak boleh di'sains'kan sepertimana ilmu laduni (ilmu yang diturunkan oleh Allah secara langsung kepada manusia). Dalam erti kata lain, Islam tidak boleh diukur oleh radas-radas dan alat-alat saintifik.
Sebenarnya, Islam itu sendiri mempunyai cabang ilmu yang bersifat mengukur iaitu ilmu Fikah. Ilmu fikah menyerupai ilmu Fizik di dalam sains di mana ianya melibatkan akal kerana sains lebih bersifat akal. Ini bermakna Fiqah adalah cabang ilmu di dalam Islam yang mengkaji suatu permasalahan ummah yang boleh diukur, dikaji dan diulangi.

Menentukan Arah Kiblat
Kebanyakkan saudara baru selalunya merujuk kepada buku oleh Ahmed Galwash yang menyatakan untuk mencari arah kiblat yang betul adalah dengan mengunakan peta Mercator, kemudian letakkan satu hujung pembaris ke arah si pencari berdiri dan satu hujung pembaris lagi pada arah Mekah, buat satu garisan menggunakan pen dan itulah arah kiblat.



Ramai juga muslim menggunakan konsep bulatan agung (Great Circle concept) yang selalunya digunakan dalam penerbangan. Jarak bulatan agung ditakrifkan sebagai jarak terpendek di antara dua titik pada permukaan satu sfera. Kaedah pencarian arah kiblat yang tepat menggunakan konsep bulatan agung telah dicipta oleh Fred Sawyer III, seorang ahli matematik.
Satu kaedah bergeometri juga diperkenalkan dengan menggunakan ukuran darjah satu sudut di antara utara dan kedudukan seseorang kearah Kaabah. Sudut itu dipanggil azimuth, daripada perkataan Arab samt yang bermakna arah.
Walaubagaimanapun, permasalahan arah kiblat kebanyakkan diselesaikan oleh mereka yang dilahirkan Muslim lebih bersifat santai dan boleh dibahagikan kepada dua kategori; mengikut cara tradisi dan menggunakan kaedah bermatematik.
Kompas kiblat sebenarnya adalah evolusi daripada kaedah bermatematik.
Kaedah tradisi termasuklah, "Jika anda boleh melihat Kaabah, maka itulah arah kiblat' atau 'Jika anda berada di Mekah, ikut arah di mana penduduk asal itu menghadap'.
Tetapi masalah menjadi semakin rumit apabila seseorang Muslim itu tidak tinggal di Mekah. Maka pelbagai petua dicipta seperti mengikut arah angin tertentu atau teruskan solat tanpa mengetahui arah kiblat kerana empat dinding Kaabah mengala ke semua arah.
Kemudian kaedah bermatematik dicipta, atau kuasi-matematik. Secara sejarahnya, masalah paling utama dalam menggunakan kaedah bermatematik adalah tiada ilmuwan boleh menentukan longitude sesuatu tempat secara tepat. Maka, kaedah bermatematik adalah paling berkesan tetapi dilemahkan dengan fakor geografi. Oleh kerana itu, walaupun kaedah bermatematik lebih maju dan tepat, tetapi keputusannya  -- mengikut penemuan terkini – tersasar.
Ada usaha fuqaha beraliran sekular menggunakan pengiraan trigonometri. Ianya dikira menggunakan lokasi koordinat seorang muslim, koordinat Kaabah (atau Mekah), dan satu formula trigonometri bersfera mudah untuk menentukan bulatan agung yang di antaranya menggunakan kaedah trigonometri seperti sine dan cosines dan kadangkala menggunakan sektor kuadran tangents dan cotangents.

Perpecahan Umat Islam
Sepanjang sejarah Islam, ahli-ahli astronomi Islam telah menghabiskan masa mereka untuk menentukan arah kiblat dan mencipta alat-alat seperti astrolabe, di mana kemudiannya menjadi alat yang terpenting untuk pelayaran dan penjelajahan.


Perlu diingati, kiblat pertama umat Islam sebenarnya bukan Kaabah tetapi Jeruselam dan umat terdahulu berkongsi arah dengan orang Yahudi dan kemudiannya arah kiblat telah berubah selama-lamanya ke Kaabah oleh Nabi Muhammad SAW.
Perubahan ini memberi identiti sendiri kepada umat Islam supaya berbeza daripada orang Kristian dan orang Yahudi. Oleh itu, kiblat menjadi urat nadi umat Islam.
Persoalan arah kiblat menjadi mudah di negara di mana penduduknya adalah majoriti Islam kerana telah dijawab beratus tahun dahulu oleh nenek moyang mereka yang juga beragama Islam. Tetapi oleh kerana proses mobiliti dan penyebaran populasi yang dibawa oleh sejarah pengkolonian, pembaharuan oleh era globasisi dan penghijrahan umat Islam secara besar-besaran telah mencipta satu keperluan untuk menentukan arah kiblat yang lebih tepat di negara-negara yang mempunyai Islam minoriti seperi Amerika, Australia dan New Zealand.
Contohnya,kebanyakkan masjid-masjid pendatang di Detroit, Amerika, ketika dulu menghadap Timur atau tenggara. Kemudiannya pada tahun 1978 seorang Fuqaha Islam, S. Kamal Abdali, telah mencadangkan bahawa arah kiblat bagi Amerika Utara adalah di Timur Laut dan cadangan ini diterimapakai di Amerika Utara sehingga kini.
Malangnya, permasalahan arah kiblat menjadi semakin rumit apabila melibatkan perbezaan mazhab dan pada akhirnya umat Islam berpecah-belah.
Lebih memalukan, di dalam era matematik, geografi dan komputer ketika sains pelayaran, pengiraan dan Cartography mencapai kemuncaknya, dan dengan penciptaan teknologi terkini, orang bukan Islam tidak menemui masalah di dalam mencari arah untuk belayar sehingga ke kutub utara dan mengembara hingga ke bulan, walhal umat Islam masih tidak mempunyai persetujuan di dalam isu yang kecil ini.
Diceritakan cara menentukan arah kiblat bagi masjid baru di Tierra del Fuego adalah dengan memanggil seorang Fuqaha dari Algeria dan mendengar pendapatnya dan apabila masjid itu siap dibina seorang lagi Fuqaha ternama Islam melawat masjid tersebut telah memberi pendapat yang berbeza berkenaan arah kiblat.
Fatwa secara subjektif ini telah membuatkan Islam amat sukar diterima di benua Amerika. Kaedah memberi fatwa secara subjektif ini juga telah mencipta jurang baru sesama umat Islam dan akhirnya mengakibatkan perpecahan. Sewajarnya, kaedah memberi fatwa yang bertunjangkan ijtihad bersandarkan dengan fakta yang lebih bersifat saintifik supaya mudah diterima akal.

Projek Satu Arah Kiblat


Isu ini sebolehnya tidak boleh dipandang enteng oleh umat Islam terutamanya sarjana-sarjana Islam. Oleh itu, satu projek yang dinamakaan 'Satu arah kiblat' dicipta oleh saya dengan khidmat nasihat oleh seorang ulama terkenal UK telah dilancarkan.
Tujuan utama projek ini adalah untuk menentukan arah kiblat secara saintifik demi menyatukan umat Islam di samping memberi satu kaedah baru kepada dunia Fikah berkenaan ijtihad.
Seperti yang telah dibincangkan, terdapat dua cara menentukan arah kiblat iaitu (1) cara tradisi dan (2) kaedah bermatematik, tetapi kini kami memperkenalkan kaedah ketiga iaitu secara kaedah saintifik. Kaedah ketiga ini amat mudah iaitu dengan memerhatikan arah piring satelit yang boleh didapati di mana-mana sahaja.
Sebagai bukti, jika anda berada di Malaysia, cuba perhatikan arah piring satelit Astro dan arah mana-mana masjid yang berdekatan. Sepanjang pemerhatian saya, hampir kesemua piring satelit Astro menghadap ke arah kiblat dengan tepat. Ketepatan arah kiblat menggunakan arah piring satelit adalah amat tepat dan terbukti apabila diukur ketepatannya dengan kompas kiblat.
Untuk memastikan bahawa kaedah ini boleh diterima pakai di seluruh dunia, kami akan mengumpul data arah piring satelit di segenap benua. Dengan data yang akan dikumpul, maka kesimpulan dapat dibuat secara statistik sama ada kedudukan piring satelit di seluruh dunia kesemuanya menghadap Kaabah.
Jika kesimpulan berstatistik mendapati kesemua piring satelit di seluruh dunia menghadap Kaabah maka satu alat baru dapat dicipta dengan memahami lebih lanjut fenomena ini dan sekaligus meredakan perselisihan di antara umat Islam masa kini.
Seperti dinyatakan, kompas kiblat datangnya daripada evolusi kaedah bermatematik yang bergantung kepada ketepatan koordinat sesuatu lokasi dan seperti yang dibincangkan masih lagi diragui ketepatannya.
Oleh kerana itu, proses membina masjid baru di benua Amerika masih lagi menggunakan kaedah tradisi dengan pedoman seorang Fuqaha yang selalunya bersifat subjektif.
Di dalam kesempatan ini, saya ingin memohon kerjasama semua Muslimin dan Muslimat supaya dapat berganding bahu untuk membantu saya melaksanakan projek ini. Kami dalam peringkat membina laman web sebagai alat untuk pengumpulan data.
Tujuan pembinaan laman web ini adalah untuk meminta kerjasama individu Muslim memberi arah mana-mana piring satelit yang mereka jumpai dengan pengesahan daripada arah masjid yang berdekatan dan juga daripada kompas kiblat.



Walaupun kompas kiblat kurang tepat tetapi penggunaannya masih lagi boleh diterima pakai pada peringkat pengumpulan data. Semoga projek ini dapat menjadi satu nafas baru kepada penyatuan umat Islam di seluruh dunia.


http://www.iluvislam.com/tazkirah/sains-a-islam/1400-islam-bukan-sains-dan-sains-bukan-islam.html

Kisah Pemuda, Janda Dan Dot Dot Dot


Di sebuah kampung, ada seorang pemuda yang sangat miskin dan miskin...dan miskin.  Kenapa saya ulang sampai tiga kali? Teruskan membaca baru dapat rasa betapa miskinnya pemuda ini. Kasihan!
Pemuda  ini tidak mampu membeli makanan sehingga beberapa hari tidak makan. Dia  tiada rumah dan menjadi 'tetamu tetap' di sebuah masjid di kampungnya  kerana tempat tinggalnya memang di masjid. Oleh kerana kebanyakan masa  hariannya di masjid, dia seringkali mengikuti majlis-majlis ilmu di  masjid itu; kuliah, tazkirah, ceramah dan apa-apa sahaja majlis ilmu di  sana. Itulah keistimewaan pemuda ini. Walaupun miskin dan kelaparan,  menghadiri majlis ilmu adalah rutin hidupnya.
Suatu  hari pemuda ini berasa sangat lapar. Sungguh kasihan kerana dia tidak  mampu membeli apa-apa makanan. Hampir mati akal dia memikirkan bagaimana  ingin mengisi perutnya kerana dia benar-benar kelaparan. Sehinggalah  terdetik di dalam hati...
"Urm,  bagaimana jika aku menyelinap masuk ke rumah orang-orang kampung dan  mencuri makanan mereka? Aduh! Aku merasakan benar-benar dalam keadaan  darurat. Mungkin dalam keadaan darurat begini menjadi keringanan buatku  untuk mencuri," pujuk hatinya ketika risau jika ia dalam keadaan berdosa.
Pemuda  miskin ini nekad. Ditunggunya sampai hari semakin gelap dan dia mula  bergerak perlahan-lahan ke sekitar kampung. Dipanjatnya dari bumbung ke  bumbung yang lain demi mencari sesuap dua makanan. Akhirnya, setelah  berusaha memanjat, sampailah dia ke sebuah rumah. Gelap. Sunyi.
"Ah, sudah tentu penghuninya tiada sekarang. Baik aku masuk!"
Dia  pun dengan segera menyelinap masuk dengan harapan tekaannya benar. Ya,  dia memang benar kerana sungguh rumah tersebut tidak berpenghuni buat  sementara waktu.


Berbekalkan kesamaran cahaya dari celahan tingkap,  pemuda ini menuju ke dapur dan terlihat sebuah periuk. Ketika membuka  tudung periuk itu, dia terkejut.

Sebiji TERUNG!
Itu sahaja yang dijumpainya. Pemuda itu lantas mengambil terung tadi  dan mula menggigitnya kerana benar-benar kelaparan walaupun ia hanya  sebiji terung. Setelah sekali menggigit, tiba-tiba dia tersentak.
"Ya  Allah! Apakah yang aku sedang lakukan. Malu aku pada-Mu Tuhan! Mana  mungkin aku mencuri harta orang lain sedangkan aku adalah orang yang  yang menjadi tetamu di masjid, menjadi tetamu dalam majlis-majlis agama.  Tidak sepatutnya aku bertindak sebegini. Aku takut akan-Mu wahai Tuhan  yang melihat segala tindak tandukku. Ampuni aku, aku amat takut akan  balasan-Mu"
Sepantas kilat dia meletakkan semula terung yang telah selamat digigitnya sekali dan menyelinap keluar, hilang dalam kegelapan.
Esoknya...

Penduduk  kampung mulai keluar masjid setelah tamatnya kuliah pada petang itu.  Hanya beberapa orang yang masih di dalam masjid membaca Al-Quran.  Seorang wanita masih berdiri di perkarangan dalam masjid dalam keadaan  yang resah. Wanita tersebut pantas mendekati tok imam yang telah  memberikan pengisian petang itu.
"Tok Imam, tolong bantu saya. Saya benar-benar buntu..." rayu wanita itu.
"Ya Allah, kenapa dengan kau wahai anakku. Ceritakanlah... jika aku boleh membantu, InsyaAllah aku akan membantumu."
"Aku ini seorang janda. Suamiku telah meninggal dunia," esakan mulai kedengaran.
"Beberapa  hari lepas, aku telah diganggu oleh pemuda-pemuda kampung ini dan  sungguh aku merasakan tidak selamat dan terasa terancam."
Tok Imam itu terdiam. Kerutan jelas di dahinya.



"Aku... aku  ingin tok imam membantuku mencarikan seorang suami untukku kerana aku  tidak ingin lagi terus diganggu oleh pemuda-pemuda di sini," ujarnya.
"Apa benar kau ingin aku membantu mu?" tanya imam tua tersebut. Wanita tersebut mengangguk.
Imam tua itu merenung ke sekeliling masjid. Lantas matanya terpaku pada pemuda miskin yang sedang bersandar di tepi tiang.
"Wahai pemuda, mahukah kamu ke mari?" Perlahan-lahan pemuda itu melangkah mendekati Tok Imam dan wanita tersebut.
"Sudikah kau mengahwini wanita ini?" pantas imam tua itu menyoal.
"Ya  Allah, adakah ini hanya khayalanku? Aku ingin berkahwin, tapi  percayalah, untuk membeli sebuku roti pun aku tidak mampu, apatah lagi  untuk menanggung orang lain!" jujur pemuda itu menjawab.
"Usah  khuatir wahai pemuda. Aku tidak perlukan hartamu. Aku sudah ada rumah  yang arwah suamiku  tinggalkan untukku. Aku tidak memerlukan hartamu.  Aku hanya perlukan seorang lelaki yang boleh menjaga dan melindungiku  dari ancaman luar," balas wanita tersebut.
Diam.  Lama pemuda itu berfikir. Dia kemudian mengangguk perlahan.
Setelah  bernikah disaksikan beberapa tetamu masjid, tok imam itu berkata;
"Sekarang  pulanglah kamu bersama suamimu ini. Semoga pernikahan ini mendapat  keberkatan-Nya dan dapat menyelamatkan kamu daripada gangguan orang."
Setibanya di rumah, wanita itu terus bertanya kepada pemuda miskin yang telah selamat menjadi suaminya.
"Adakah kau ingin makan? Aku akan menyiapkannya untukmu, wahai suamiku."
Pemuda itu hanya mengangguk. Dalam fikirannya sekarang bukan tertumpu  pada makanan (walaupun pada hakikatnya ia memang kelaparan) tetapi rumah  wanita tersebut. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Seolah-olah dia  pernah berada di situ sebelumnya.
"Kenapa aku seperti mengenali rumah ini?" soalnya dalam hati sambil berkerut. Oh tidak! Jangan-jangan...
"Silalah makan dahulu," kata si wanita sambil menghidangkan sesuatu.


"Ya Allah... adakah aku bermimpi? Ini adalah terung yang telah ku gigit semalam. Ya Allah..apakah tandanya ini?"
"Maaf  wahai suamiku. Aku hanya ada terung ini yang sempat ku rebus semalam.  Aku terkejut kerana ia telah digigit. Pelik, siapa yang telah  mengigitnya sedangkan tiada sesiapa di rumah ini sewaktu ku keluar," jelas wanita itu dalam kesayuan kerana tidak mampu menghidangkan yang terbaik untuk suaminya.
"Wahai  isteriku. Mahukah kau mendengar suatu kisah? Se.. sebenarnya aku lah  yang telah menyelinap masuk ke rumahmu semalam dan menggigit terung  ini," akui pemuda itu ikhlas. Berubah wajah wanita itu.
"Maafkan  aku. Semalam, aku sangat kelaparan. Sudah beberapa hari aku tidak makan  dan aku tidak mampu untuk membeli apapun. Aku bertekad untuk mencuri  makanan di luar. Ku fikir aku benar-benar dalam keadaan darurat. Namun,  setelah selamat mengigitnya sekali, aku merasa benar-benar tersedar dan  merasakan sangat takut kepada Allah yang menjadi saksi perbuatanku. Aku  malu... aku takut akan azabnya atas kelalaianku. Maafkan aku," ujar pemuda itu sambil tertunduk menangis.
"Tidak  mengapa suamiku. Aku sudah memaafkanmu. Akan tetapi ketahuilah bahawa  aku benar-benar cemburu akanmu. Tahukah kau mengapa?" soalnya.
Pemuda itu berhenti menangis lalu merenung isterinya.
"... kerana sifat TAQWA mu! Kerana takutkan Allah, kau berhenti daripada terus melakukan dosa  dan berterus-terang padaku. Sekarang, tidakkah kau sedar? Kerana sifat TAQWA yang  ada pada dirimu itu, Allah membalasnya semula bukan hanya dengan terung  yang telah kau gigit semalam, tapi seluruh isi dalam rumah ini termasuk  diriku kepadamu, telah menjadi milikmu secara halal. Tidak perlu lagi  kau mencuri. Semuanya  telah Allah hadiahkan semula kepadamu kerana KETAQWAANmu itu," ujar wanita itu sambil tersenyum. Pemuda miskin itu cepat-cepat bersujud tanda mensyukuri hadiah Allah kepadanya.
Jika pembaca dapat menilai kembali kisah ini daripada asal, apakah 'main point' yang saya ingin sampaikan?
Ia adalah tentang TAQWA.
Kerana  takutkan Allah, pemuda itu telah meninggalkan semula terung yang  digigitnya ke tempat asal. Dia malu kepada Allah, dan dia benar-benar  takut Allah akan menghukumnya. Kerana [B]TAQWA[/B] yang ada padanya, Allah  membalasnya semula bukan sahaja terung yang selamat digigitnya tanpa  izin, tetapi termasuk tuan empunya rumah dan isi rumah tersebut  kepadanya. Semuanya secara HALAL tanpa perlu rasa ragu-ragu.
                     

Akan  tetapi bukan harta dunia yang dikejar, tetapi rasa takut yang  berterusan kepada Tuhan yang Maha Melihat, yang Maha Mengetahui dan yang  Maha Pengasih, dalam melakukan sesuatu walaupun ia hanya sekecil-kecil  hal (dalam kisah ini: mencuri sebahagian kecil terung!).  Sesungguhnya  beruntung bagi orang-orang yang bertakwa kerana kasih sayang Allah yang  berlipat ganda bukan sahaja di dunia, malah di akhirat kelak.
Firman Allah dan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud:
"Wahai  orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap  orang memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok  (Akhirat), dan bertakwalah kepada Allah. Sungguh, Allah Maha Teliti  terhadap apa yang kamu kerjakan" (Surah Al-Hasyr: 18)
Kemudian Allah sambung lagi dalam surah yang sama, ayat seterusnya;
"Dan  janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, sehinggalah  Allah menjadikan mereka lupa akan diri sendiri. Mereka itulah  orang-orang yang fasik." (Surah Al-Hasyr: 19)
Wasiat  Nabi صلى الله عليه وسلم   kepada Muadz bin Jabal رضي الله عنه ,  "Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana pun kamu berada, tampallah   keburukan dengan kebaikan niscaya akan dapat menghapusnya dan  pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik." (Hadis riwayat Ahmad dan At-Tirmidzi)
Dan  banyak lagi firman Allah dalan Al-Quran tentang taqwa. Marilah berusaha  menjadi orang-orang yang bertakwa demi menggapai redha-Nya dalam setiap  inci pun yang kita lakukan. Kita masih lagi ada masa.
Oh ya! Sebenarnya yang sengaja saya tulis 'dot-dot-dot' pada tajuk di atas adalah sebenarnya:
"Kisah Pemuda, Janda dan TAQWA".
Moga kisah ini bermanfaat untuk semua termasuk diri saya.


Kick Start Untuk Berjaya


Seringkali persoalan tentang penggunaan masa dan usaha bermain dalam kehidupan harian kita terutamanya bagi yang masih belajar. Namun, persoalan yang sama bukanlah asing bagi yang sudah bekerja atau yang sibuk menguruskan rumah tangga.
Pernahkah kita sedari bahawa penggunaan masa yang berkesan banyak menyumbang kepada kejayaan? Pernahkan kita terfikir mengapa sejak dari kecil kita terperangkap dengan persoalan yang sama walaupun pengalaman kita semakin bertambah seiring peningkatan usia?

Kita diuji
Setiap makhluk yang dicipta Allah akan merasakan pahit dan manis kehidupan. Itu sunnatullah yang ditetapkan Allah. Sepertimana firman-Nya:
Adakah patut kamu menyangka Bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti Yang telah berlaku kepada orang-orang Yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang Yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah). Surah Al-Baqarah (2: 214)


Jelas bahawa hidup manusia itu penuh dengan ujian. Hakikatnya ujian itulah sumber kekuatan, membantu kita untuk taqarrub kepada Allah. Ujian masa adalah salah satu cara kita diuji-Nya. Begitu jugalah masa, hanya yang mampu lepas ujian itu mampu memanfaatkan masa sebaiknya. Setiap manusia mempunyai cara berbeza untuk beradapatasi dengan kekangan masa. Ada yang menjadi positif dan lebih menguruskan masa bila tahu masanya hampir tiada. Namun, ada juga yang terus leka dan sambil lewa dalam menghadapi kesuntukan masa. Kelapangan masa juga ujian, ke mana kita gunakan? Ke arah keredhaan atau kemurkaan? Bagaimana anda? Bagaimana saya? Tanyalah diri, andai kita masih "selesa" dengan kelapangan masa, fikir-fikirkanlah kembali.

Putaran masa
"Hidup ibarat roda, kadangkala kita di atas, ada masanya di bawah".
Hakikat masa juga selari dengan ungkapan di atas. Kita melihat setiap detik terus berlalu dengan helaan nafas pinjaman Illahi. Saya yakin kita semua pernah mengalami "zaman keemasan" masing-masing. Mungkin ia berlaku semasa masih di sekolah rendah, atau bila menjejak sekolah menengah. Ada juga yang baru merasai saat-saat manis itu di zaman unversiti atau semasa bekerja. Hakikatnya, kita pasti pernah merasa. Bukankah indah jika saat itu berulang? Namun, wajarlah untuk kita menyedari bahawa Allah itu maha Adil, sedangkan malam dan siang sering di pergilirkan, begitu jugalah dengan kejayaan dan kegagalan.
Sahabat-sahabatku,
Di sini saya ingin mengajak agar kita semua berfikir tentang hikmah setiap kejadian yang menimpa kita. Pahit manis kehidupan itu menyumbang kepada pengalaman dan akhirnya menjadi pengajaran buat kita. Allah memberi ruang untuk kita berfikir sejauh mana kita menggunakan nikmat masa yang diberikan dengan sebaiknya. Bila berjaya, pernahkah kita terfikir satu masa kita akan jatuh dan tenggelam dalam kesedihan?

Kickstart buat kita
"Kesenangan yang datang tak akan selamanya, begitulah selepas susah ada kesenangan.."
Bait lagu "Kehidupan" ini boleh kita ambil pengajaran tentang perihal pentingnya menghargai nikmat masa kurniaan Illahi. Sahabat-sahabat sekalian, setelah kita menyedari tentang masa yang akan terus berlalu meninggalkan kita, marilah kita bergerak dan bertindak ke arah kebaikan dan perubahan.


 Saya bukanlah orang yang paling baik untuk menasihatkan. Hakikatnya, saya masih belajar dan terus belajar memformulasi teknik penggunaan masa yang berkesan. Namun, di sini ingin saya berkongsi sedikit tips yang boleh diamalkan:
1. Kenali kelemahan diri anda yang membawa kepada penggunaan masa yang kurang efektif. Contohnya, suka tengok video dalam jangka masa yang lama.
2. Cuba fikirkan cara terbaik untuk mengatasi kelemahan di atas. Contohnya, hadnya masa yang digunakan untuk perkara tesebut (kurang masa tengok video kepada satu sahaja)
3. Minta tolong sahabat atau saudara untuk ingatkan dateline atau ingatkan anda untuk menggunakan masa sebaiknya.
4. Perhatikan kawan anda yang bijak menguruskan masa. Cuba contohi mereka.
5. Pastikan anda berada dalam persekitaran yang membina dan mendorong untuk menggunakan masa sebaiknya. Contohnya, pergi ke perpustakaan di mana persekitarannya sangat membantu anda untuk mentelaah pelajaran.
6. Yakin anda mampu berubah untuk menggunakan masa sebaiknya.
7. Jangan putus asa jika cubaan tidak berjaya. Bagi peluang untuk diri anda berubah.
8. Jangan terlalu selesa dengan kelapangan masa. Sediakan diri untuk menghadapi saat-saat kesuntukan masa.
9. Berdoalah selalu kepada Allah, Dialah pemilik hati kita. Allah itu dekat, mungkin kita yang menjauhkan diri dari-Nya.
...dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang Yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. (Surah Ali-Imran: 2: 286)
Akhirnya, yakinlah bahawa kita mampu berubah dan mampu memulakan [I]"kick start"[/I] untuk diri kita sendiri. Jangan tunggu masa berlalu, kejayaan hanya pinjaman, jadikan kegagalan sebagai satu kemanisan dengan mengambil pengajaran. Kita makhluk yang dikurniakan akal, gunakanlah untuk menilai dan memerhati bukan sekadar menanti mengharap simpati. Ayuh gunakan masa sebaiknya untuk mencipta kejayaan. Ya, anda boleh!



Wallahua'lam


Allah Engkau Dekat, Penuh Kasih Sayang


Lagu ini mengingatkan kita bahawa Allah sangat sayang dan dekat dengan kita. Jika kita renung kehidupan kita, pasti banyak perkara yang kita lakukan mengundang kemurkaan Allah. Namun Allah tetap pinjamkan kepada kita pelbagai nikmat-Nya; nikmat hidup, nikmat udara, nikmat sihat dan pelbagai lagi. Dan kita selalu tidak perasan akan hakikat ini.

Lagu : Cahaya Hati
Penyanyi : Opick

Alloh Engkau dekat
Penuh kasih sayang
Takkan pernah engkau biarkan
Hamba-Mu menangis

Karna kemurahan-Mu
Karena kasih sayang-Mu

Hanya bila diri-Mu
Ingin nyatakan cinta
Pada jiwa-jiwa
Yang rela dia kekasih-Mu

Kau yang slalu terjaga
yang memberi segala


Alloh Rohman, Alloh Rohim
Allohu Ya Ghofar Ya Nurul Qolbi
Alloh Rohman, Alloh Rohim
Allohu Ya Ghofar Ya Nurul Qolbi

Disetiap nafas disegala waktu
Semua bersujud memuji memuja asma-Mu

Kau yang slalu terjaga
Yang memberi segala...

Alloh Rohman, Alloh Rohim
Allohu Ya Ghofar Ya Nurul Qolbi
Alloh Rohman, Alloh Rohim
Allohu Ya Ghofar Ya Nurul Qolbi

Setiap makhluk bergantung pada-Mu
dan bersujud semesta untuk-Mu
Setiap wajah mendamba cinta-Mu cahya-Mu

Alloh Rohman, Alloh Rohim


Allohu Ya Ghofar Ya Nurul Qolbi
Alloh Rohman, Alloh Rohim
Allohu Ya Ghofar Ya Nurul Qolbi

Ya Alloh Ya Romah Ya Alloh 3x…