Mengenai Saya

Foto saya
Malang, East Java, Indonesia
Uhibbuka Fillah...

Laman

Minggu, 26 Desember 2010

Kita Sibuk Dengan Apa?


Kita sering merungut sibuk.. saya sibuk nie.. tak dapat nak hadir majlis ilmu, tak sempat hadir usrah, tak sempat nak hadir mesyuarat dan lain-lain. Tapi tahukah anda bahawa Ar-Rasul adalah manusia yang paling sibuk.


Namun kita lihat bagaimana ia memperuntukkan masanya untuk beribadah kepada Allah sehingga bengkak kedua kakinya sedangkan beliau telah dijanjikan syurga.
Ini kerana beliau mahu menjadi hamba yang bersyukur kepada Allah yang telah memberinya banyak nikmat. Maka marilah kita sama-sama ukur sejauh mana kesibukan kita dan kesyukuran kita kepada Allah  s.w.t .
Rasulullah s.a.w. sibuk kerana:
Memikirkan masalah umatnya sampai kiamat
Bermunajat kepada Allah setiap malam
Mengajar ilmu kepada sahabat setiap hari
Berperang di jalan Allah
Melayani isteri-isteri
Menerima dan mengajar Al-Qur'an yang disampaikan oleh Jibrail  selama 23 tahun serta menghafalnya
Melayani tetamu dari bangsa Badwi, Yahudi, Parsi, dan lain-lain
Menziarah orang sakit (biar muslim, munafiq atau yahudi)
Mengajar ilmu  Al-Qur'an kepada Jin
Memikirkan untuk menyelamatkan umatnya di hari kiamat (dengan  menyimpan permintaan yang paling besar kepada Allah untuk digantikan  dengan syafaat)

Tetapi kita.... sibuk kerana hanya beberapa perkara :
Kerja
Keluarga (isteri dan anak-anak)
Melangsaikan hutang
Main facebook, nengok Youtube


Dan lain-lain..[
Renungkanlah kata-kata ini pula :
Lebih baik mata itu buta jika tidak menghargai keindahan dan ayat-ayat Allah s.w.t.
Lebih baik telinga itu pekak jika tidak mendengar nasihat-nasihat Allah s.w.t.
Lebih baik anggota badan itu mati jika tidak melaksanakan segala suruhan Allah s.w.t.
Barangsiapa mengaku empat perkara tanpa disertai dengan empat perkara yang lain, maka dia adalah pembohong. Barangsiapa mengaku cinta syurga tetapi tidak beramal dengan ketaatan, maka dia adalah pembohong.
Barangsiapa yang mengaku cinta Rasulullah saw tetapi tidak cinta kepada ulama dan kaum faqir, maka dia adalah pembohong. Barangsiapa yang mengaku takut pada neraka tetapi tidak meninggalkan maksiat, maka dia adalah pembohong. Dan barangsiapa yang mengaku cinta kepada Allah swt tetapi berkeluh-kesah dari bala, maka dia adalah pembohong. _Al-Imam Ghazali.


http://www.iluvislam.com/tazkirah/dakwah/1351-kita-sibuk-dengan-apa.html

Motivasi Bisnes


Onak dan duri yang pertama yang mendasari serta merintangi bagi mereka yang ingin memulakan bisnes sendiri adalah kekangan daripada pihak keluarga sendiri. Realitinya, majoriti mentaliti masyarakat kita masih beranggapan anak-anak mereka 'sudah mendapat' kerja apabila mereka 'makan gaji'.
Bagi mereka yang bercita-cita menjadi seorang usahawan itu bukanlah merupakan pekerjaan yang diiktiraf. Apatah lagi pekerjaan yang tidak mempunyai EPF, SOCSO dan lain-lain. Kebiasaannya mereka akan menjadi malu serta terbitlah gejala 'inferiority complex' apabila anak mereka tidak makan gaji disebabkan bagi mereka, orang yang tidak makan gaji serupa dengan dengan orang yang belum mendapat pekerjaan.



Itu belum pula bagi mereka yang ingin mencari calon menantu. Keutamaan tanpa ragu diserahkan kepada mereka yang berkerja dengan kerajaan. Kalau tidak berkerja gomen (government) sekalipun, kerja swasta masih boleh dipertimbangkan. Kalau bermenantukan orang bisnes atau usahawan ni takut-takut kalau bisnes merundum nanti, anak cucu bakal makan dedaun.
Makcik : Maaf ya nak, makcik nak tanya sikit, anak ni kerja apa? Gomen ke kerja sendiri?
Budak : Kerja sendiri je makcik..
Makcik: Wah! Bagus tu? Syarikat anak ni masuk dalam senarai bursa saham ke?
Budak : Belum lagi, makcik. Bisnes kecil-kecil je. Baru nak cuba berniaga sikit.
Makcik : Ooo baru? Macam ni lah nak,  makcik tak boleh buat keputusan lagi, nanti makcik bincang dengan anak makcik dan bapanya. Kalau tak ada masalah nanti Insyaallah kami bagitau. Kalau tak ada apa-apa surat menyurat mahupun email, anggaplah permohonan anak tak berjaya. Jangan risau, "bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor"
Budak : Err..ok...Kalau begitu, saya mintak izin pulang dahulu..
Makcik : Baiklah. Terima kasihlah nak sudi datang ni. Kalau company anak dah masuk bursa saham, bagitaulah makcik ya. Boleh kita bincang-bincang lagi..
Budak : Err..Insyaallah makcik. Terima kasih. Assalamualaikum.
Makcik : Waalaikumussalam.
Maka pulanglah sang budak itu dengan pesimisnya. Harapannya telah hancur berkecai 'bak kaca terhempas ke lantai'. Kasihan dia....
Itulah realiti masyarakat sekarang. Jiwa kita, mentaliti kita, masih jauh berbeza dengan bangsa lain yang menjadikan kerjaya bisnes dan usahawan itu bidang yang merupakan pilihan utama. Jika mereka tidak mampu berbisnes atau atas dasar minat barulah mencari pekerjaan di bidang swasta dan pilihan terakhir berkerja dengan kerajaan.
Mungkin inilah sumbangan 'dasar pecah dan perintah' celupan British suatu ketika dahulu. Jadi, tidak hairanlah bangsa kita masih jauh ketinggalan dalam bidang perniagaan.
Kita sering mengeluh bila ditipu, diinjak, tetapi itulah yang harga serta maruah diri yang perlu dibayar bila ekonomi kita dipegang oleh orang lain.


Tetapi tak usahlah menyalahkan bangsa lain, kerana 'siapa yang berusaha dia yang akan mendapat hasilnya.' Walaupun bangsa kita masih disuap dengan pelbagai bantuan, subsidi, pinjaman dan sebagainya tapi kita masih tidak mampu menggunakan peluang itu dengan sebaik-baiknya.
Kita masih tidak mampu meniru keperibadian Rasulullah S.A.W yang merupakan seorang businessman, atas akhlaK dan kejujuran baginda maka baginda dikenali oleh masyarakat disekelilingnya dan isterinya sendiri, Khadijah Bt Khuwailid sehingga baginda dikenali sebagai "al-Amin" yang bermaksud seorang yang jujur dan ini memberikan satu kelebihan kepada dakwah baginda.
Malah Hasan Al-Banna, pendiri Ikhwan Al-Muslimin sendiri memberi galakan untuk berniaga hatta sekecil mana sekalipun. Kerana terkadang ada 'harga' yang perlu dibayar dan ada prinsip yang perlu digadaikan apabila kita menjadi orang bawahan. Dengan berbisnes kita mampu menguruskan masa sendiri, meluangkan masa untuk kerja-kerja dakwah dan kebajikan dan mempunyai lebihan masa bersama keluarga.
Firman Allah S.W.T:
Katakanlah: "Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan (dari) berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya." Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik" ( 9:24)
Kebiasaan halangan mereka yang ingin memulakan bisnes ini adalah risiko kerugian. Keuntungan dan kerugian itu merupakan lumrah dalam dunia bisnes. Kerugian yang dialami itu perlulah dianalisa agar ia tidak berulang lagi. 'Kalau takut akan risiko usah bicara tentang perjuangan'. "Jika risau badai tsunami akan melanda jangan berpondok di tepi pantai'.
Sebetulnya, seorang manusia yang lahir di dunia ini sebenarnya sudah berhadapan dengan risiko. Malah seorang ibu yang melahirkan kita di dunia ini juga berhadapan dengan risiko kesakitan, kematian dan sebagainya demi untuk kehidupan seorang anak. Kemudian mereka membesarkan kita, mendidik kita, menghantar kita ke sekolah, menikahkan kita dengan berhadapan dengan pelbagai risiko. Kalau sedari mula lagi ibu bapa kita tidak mahu mengambil sebarang risiko, kemungkinan atas alasan itulah kita tidak mungkin berada di dunia ini.
Atas dasar itulah, saya menyeru kepada sahabat-sahabat sekalian, jangan pernah malu dan berasa hina dengan berniaga hatta untungnya cuma RM0.50 cuma atau berniaga di pasar malam mahupun goreng pisang di jalanan. Berbanggalah, kerana dengan berniaga itulah kita mampu berdikari sendiri tanpa perlu mengikut telunjuk sesiapa.


Hasil yang diperolehi atas keringat sendiri itu pastinya suatu kebanggaan dan kepuasan yang tidak mampu digambarkan oleh mata fikiran. Bak kata seorang sahabat, "berniaga ini seharusnya mendekatkan pergantungan kita dengan Allah kerana gaji kita tidak diberikan oleh sesiapa tetapi kita bertawakkal kepada Allah untuk beroleh rezeki atas perniagaan yang kita usahakan.
Tapi...makan gaji senang..Tiap-tiap bulan cucuk sahaja kad ATM...siapa kata senang? Makan gaji merupakan suatu amanah dari majikan...seharusnya kita memberi 'all out' atas kerja yang diberikan kepada kita...inilah yang susah sikit...fenomena meng'ular', buat kerja yang tak berfaedah, masuk lewat, balik awal...ni semua seakan-akan suatu lumrah bagi pekerja makan gaji.
Gaji itu merupakan rezeki. Jadi, berwaspadalah selalu untuk mendapat rezeki yang berkat. Bagi pekerja yang produktif, teruskan sumbangan anda untuk memajukan agama, bangsa dan negara. Mentaliti kita juga perlu diubah terutamanya graduan, 'bukan hanya mencari kerja tetapi menyediakan kerja'. Selamat berniaga.
"Treat dakwah as business minded."
Semoga diberi kegigihan dan istiqamah seperti Rasulullah S.W.T. Amiin..
Firman Allah S.W.T:
"Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? "(iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya,niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga Adn. Itulah keberuntungan yang besar."(61:10-12)


http://www.iluvislam.com/gaya-hidup/kerjaya/1363-motivasi-bisnes.html

Nikah Gantung (Khitbah) Satu Alternatif


Sedang pelbagai pihak seperti buntu mencari penyelesaian kepada barah  sosial yang menjurus kepada pergaulan dan seks bebas (zina) serta  rogol dan buang bayi berleluasa pada hari ini, saya menyarankan satu program atau projek besar iaitu "Taysir az Ziwaj" dilaksanakan, khasnya oleh pihak berwajib.
Taysir Az Ziwaj ialah "Permudahkan Proses Perkahwinan" terutama kepada anak-anak muda yang tidak berkemampuan dari segi  material untuk mendirikan rumahtangga tetapi dalam masa yang sama  mempunyai keinginan yang tinggi untuk hidup berpasangan.


Islam adalah agama yang penuh dengan rahmah dan berkah.  Ia diutuskan oleh Allah swt Tuhan yang mencipta manusia bukan untuk  menghalang atau menidakkan keperluan manusia seperti keinginan (nafsu)  syahwah dan sebagainya tetapi Islam datang untuk membetulkan dan memandu manusia agar melunas keinginannya secara yang betul, benar dan baik.
Gejala seks bebas (zina) dan rogol adalah angkara nafsu yang tidak terkawal dan   ia disalurkan secara tidak betul, tidak benar dan membawa keburukan  kepada diri dan orang lain. Sedang Islam menggalakkan perkahwinan (aqad nikah) agar hati manusia tenteram dan tenang serta nafsu dapat  dikawal. Ini membawa kebaikan kepada semua ummat manusia.
Firman Allah swt yang bermaksud :
"Dan  kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari  kalangan kamu dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu,  lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan  kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah swt Maha Luas  rahmat dan kurnia-Nya lagi Maha Mengetahui." (Surah An-Nuur : Ayat 32)
Perkahwinan  yang digalakkan oleh Islam ini sewajarnya dipermudahkan prosesnya agar  generasi muda negara tidak liar dan kemaruk nafsu lalu terjebak dalam  kancah seks bebas (zina). Memudahkan prosesnya boleh dilakukan oleh pihak berwajib (kerajaan) seperti (sekadar menyebut beberapa contoh) :
Memberi peruntukan kepada pasangan muda yang ingin berkahwin
Memberi insentif sebagai galakan berkahwin
Mengurangkan karenah birokrasi yang menyulitkan
Kursus dan khidmat bimbingan perkahwinan secara percuma
Menganjurkan perkahwinan beramai-ramai yang menjimatkan
Mendidik masyarakat dengan budaya sederhana dalam majlis perkahwinan
Merendahkan hantaran perkahwinan
Antara kaedah mempermudahkan proses perkahwinan ini ialah Nikah Khitbah atau dalam bahasa mudah disebut oleh masyarakat kita sebagai [B]Nikah Gantung[/B]. Nikah Khitbah adalah sama seperti nikah biasa mengikut hukum dan perundangan Islam yang mempunyai 5 rukunnya iaitu :
Suami


Isteri
Wali
Saksi
Aqad (Ijab Qabul)
Cuma  bezanya ialah pasangan pengantin (suami isteri) tidak tinggal serumah  dalam tempoh-tempoh tertentu kerana beberapa keadaan seperti (sekadar menyebut beberapa contoh) :
Masih menuntut di kolej atau universiti
Tidak mempunyai kemampuan menyewa rumah
Belum bersedia menanggung komitmen kehidupan berumahtangga
Justeru  itu , buat tempoh tertentu pasangan suami isteri yang telah dinikahkan  itu tinggal berasingan (atas persetujuan bersama kedua-dua pihak)  dan barangkali tinggal bersama keluarga masing-masing sehinggalah mereka  merasakan segala halangan di atas telah selesai dan mereka benar-benar  bersedia mengharungi kehidupan berumahtangga yang besar  tanggungjawabnya.

Kelebihan Nikah Gantung
Kelebihan Nikah Gantung ini ialah mereka  adalah pasangan suami isteri yang sah mengikut hukum agama dan undang-undang negara. Andai dalam tempoh itu mereka bertemu, keluar makan, dating, study bersama bahkan kalau mereka terlanjur sekalipun mengadakan hubungan seks, maka apa yang mereka lakukan itu tidak salah atau tidak haram.
Andai  berlaku kehamilan, maka pasangan itu tidak perlu panik terutama pihak  gadis yang hamil kerana ia menghamilkan anaknya yang sah nasab (keturunan). Bahkan nanti mereka tidak perlu malu dan menjauhkan  diri dari keluarga kerana keluarga pula akan menyambut kedatangan bayi  itu dengan bangga dan bermaruah.
 Kes buang bayi yang berleluasa hari ini rata-ratanya adalah ekoran rasa panik dan hilang pertimbangan akibat malu  dan hilang maruah dari pasangan terbabit. Malah mereka juga takut untuk  kembali kepangkuan keluarga justeru mereka mengetahui bahawa hubungan  mereka salah dan mereka hamil hasil hubungan terlarang. Ia memalukan  keluarga dan mencemarkan maruah bangsa dan agama.


Akhirnya, jalan pintas dan terdesak yang ada pada mereka ialah buang bayi tersebut dengan harapan selesai masaalah dan beban yang mereka hadapi tanpa mereka menyedari bahawa akan mencetus bencana yang lebih parah kepada sosial negara.

Penerimaan Masyarakat
Sebenarnya [B]Nikah Khitbah[/B] ini pernah dilakukan dalam masyarakat Arab. Menurut amalan tersebut,  sewaktu majlis pertunangan, ia dilangsungkan sekali dengan majlis aqad  nikah (halflun nikah) tetapi mempelai tidak boleh tinggal sekali (serumah) sehingga berlangsungnya pula majlis perkahwinan (haflul Qiran). Terkadang tempoh itu (antara pertunangan dan perkahwinan) menjangkau tahun lamanya.
Dalam masyarakat Melayu, amalan ini sebenarnya pernah diamalkan sebelum ini dengan nama Nikah Gantung. Ia pernah dikaji oleh beberapa Anthropologist seperti Paletz, Djamour dan Jones. Mereka mengistilahkan Nikah Gantung sebagai "Suspended Marriage Contract" iaitu satu fenomena sosial yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Asia tenggara.
Malah menurut Abdul Jalil Borhan, perkara yang berkaitan dengan Nikah Gantung terdapat dalam seksyen 112 (dalam bahagian 5) enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor.

Perbahasan Hukum
Salah satu dalil yang digunakan oleh sebahagian para alim ulama' ialah  Perkahwinan Rasulullah saw dengan Aishah rha. Menurut hadis yang  diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah saw telah mengahwini  Aishah ketika berumur 6 tahun dan hanya duduk serumah ketika Aishah  berumur 9 tahun. Hadis ini menjadi dalil berlakunya aqad nikah, maka  bukan menjadi kewajipan bagi mempelai untuk terus tinggal serumah  terutama atas persetujuan kedua pihak untuk beberapa tempoh yang  dipersetujui.
Apabila pasangan pengantin (nikah gantung)  bersetuju untuk tinggal berasingan kerana beberapa perkara yang diambil  kira seperti yang saya sebutkan di atas tadi, maka tidaklah berbangkit  isu nafkah batin (jima'/bersetubuh). Apa yang timbul ialah perbahasan dari segi nafkah zahir (material)  . Berkait perkara ini, kita mempunyai beberapa pandangan :
a] Mazhab Zahiri seperti yang dinyatakan oleh Ibn Hizam iaitu nafkah ini (nafkah zahir)  wajib dengan berlakunya aqad, maka selepas sahaja aqad nikah, suami  wajib memberi nafkah zahir kepada isterinya.


b] Pandangan jumhur ulama' iaitu nafkah zahir itu hanya wajib apabila isteri memenuhi syarat-syarat tertentu seperti isteri menyerahkan diri kepada suami (berpindah  ke tempat suami), boleh melakukan istimta' (mengambil keseronokan) ,  jima'/bersetubuh , isteri tidak keluar rumah tanpa izin suami dan  seumpamanya.
Nikah khitbah  dapat disimpulkan bahawa ; bebanan nafkah itu tidak diwajibkan ke atas  suami sekiranya kehidupan biasa suami isteri belum berlaku.  Bagaimanapun sekiranya suami isteri tersebut keluar bersama, maka tiada  halangan dari segi hukum syara' kerana mereka adalah suami isteri yang  sah. Demikian juga andai berlaku kehamilan maka bayi itu sah dan mereka  boleh menjalani kehidupan berkeluarga seperti biasa yang sah. Tidak perlulah mereka melarikan diri, buang bayi dan menggugurkan bayi atau membunuhnya .
Tegasnya saya sebutkan disini, terutama kepada pihak berkuasa agama,  ibu bapa dan seluruh anggota masyarakat termasuk anak-anak muda agar  mereka kembali kepada cara hidup Islam. Walaupun nikah gantung ini kelihatan seperti baru dalam negara kita bagi sesetengah pihak, tetapi  ia lebih baik dari kita membiarkan anak-anak gadis dan teruna kita  berpeleseran, bergaul bebas lalu akhirnya mereka terjebak dalam kancah  seks bebas dan penzinaan yang memalukan. Bukan sahaja maruah keluarga dan agama tercalar, murka Allah swt itulah yang paling ditakuti.


http://www.iluvislam.com/tazkirah/remaja-a-cinta/1164-nikah-gantung-khitbah-satu-alternatif.html

Memikat Hati Si Dia


"Ustaz, saya bakal melangsungkan perkahwinan Februari nanti. Harapnya, dapatlah saya dengar sedikit sebanyak nasihat dari ustaz sebagai bekal saya  menempuh bahtera rumah tangga nanti," seorang sahabat dari seberang laut bertanyakan nasihat saya di suatu sore.
"Alahai Azman, awak pun tahukan, saya ni tunang pon tidak, macam mana nak jawab soal nikah kahwin ni..?" Saya menambah humor, menyempitkan jurang kami.
"Tak pernah pulak ustaz tak jawab kalau saya tanya sesuatu sebelum ni..?" Beliau menyoal saya semula.
"Kalau awak tanyakan pasal Fiqh Minoriti tentang rakan-rakan kita di Kutub  Utara, mungkin ana boleh cuba jawab. Tapi, kalau soal rumah tangga ni,  susah sikit untuk saya respon. Belum ada pengalaman!" Saya  cuba mendekatkan lagi telinga dan hati beliau terhadap pesan saya  selepas ini. Biar hati itu betul-betul terbuka luas untuk menerima,  sebelum saya menyuapkan resepi agung untuk berumahtangga.
Bukan alim, bukan berpengalaman. Hanya berkongsi apa yang  pernah saya baca dan jumpa. Berkawan dengan orang tua-tua menemukan saya silibus yang tak akan ditemui dalam bilik kuliah.
"Apa matlamat utama awak?" Saya cuba membuat tawaran.
"Saya nak membahagiakan isteri saya," jawab  beliau ikhlas. Nada suaranya sudah berubah. Sesuai dengan topik yang  sedang kami bincangkan. Langkah ini langkah susah dan payah. Langkah  kedua untuk mendirikan ummah yang berpayungkan khilafah.
"Kalau macam tu, senang sahaja. Pikat hati si dia. Ikatkan dengan hati awak. Pastikan hidup mati awak bersama. Bercinta hingga ke syurga, bak kata Ustaz Hasrizal," saya cuba mempromosikan produk.
"Nak pikat macam mana tu..? Boleh dikongsikan sedikit..?" Nada suaranya semakin ghairah untuk dijamukan resepi saya. Inilah masanya, umpan sudah mengena.



"Pertama  sekali, selepas awak dan dia sudah halal dengan terlafaznya 'aku terima  nikahnya', kucup dahinya dalam-dalam. Kalau berpeluang, kucuplah  matanya. Kemudian, ucapkan di telinga si dia yang awak sangat cintakan  si dia. Tapi, jangan lupa untuk ucapkan juga syukur pada yang  mengurniakan cintanya pada awak, ALLAH. Sujud syukur! Lepas itu, ucapkan  juga terima kasih yang tidak terhingga  kerana sudi menerima awak sebagai peneman hidup," saya sedikit bersungguh sewaktu bercerita.
"Aiwah, romantik pulak ustaz ni. Pasti cair hati isteri saya nanti," galak suaranya dengan sedikit ketawa di seberang talian sana.
"Lepas  tu, kalau berpeluang, rancangkan bulan madu bersama isteri. Tak perlu  belanja yang tinggi, cuma pastikan peluang itu peluang yang berkualiti.  Selaraskan komunikasi, selaraskan denyut nadi dan serasikan matlamat  serta tujuan hidup masing-masing. Bersedia untuk menerima kekurangan dan  mengiktiraf kelebihan masing-masing. Bincangkan masa depan dan satukan  imaginasi korang berdua."
"Sekali  sekala, adakan [I]surprise[/I] untuk si dia walau hanya sekuntum bunga. Kalau  ada bajet yang lebih, mungkin boleh dibelikan sesuatu yang lebih  berharga."
"Satu lagi, nafkah.  Ini perkara penting yang telah digariskan dalam syariat kita. Jangan  lewat untuk menunaikan kewajipan awak walau isteri awak ada  kerjaya."
"Seterusnya,  jangan lupa, bila awak terpaksa berpisah atau tinggalkan  si dia sementara waktu, kucup dahi dan matanya sebelum tinggalkan rumah  dan selalukanlah untuk utuskan kata-kata rindu supaya hatinya sentiasa  subur dengan bunga-bunga cintanya terhadap awak. Pastikan kamu sentiasa  menghubunginya setiap masa. Jangan terlewat walau sesaat cuma."
"Lebih  penting, tunjukkan yang si dia lebih penting dari segala-galanya.  Jangan pula awak liat untuk bertanyakan khabar kondisi si dia sedang  dalam masa yang sama, awak saban hari memeriksa enjin dan kondisi Produa  Myvi di depan tangga!" Sedikit humor saya selitkan dalam wasiat yang agak sinis ini. Lalu, sedikit gelakan dapat saya tangkap di hujung talian.
"Jangan  lupa, bincangkan secara baik, jadual pulang berhari raya. Bimbang si  dia terluka kalau tidak pulang ke rumah mertua. Jadi, jangan kedekut  untuk korbankan kampung halaman untuk kebahagiaan si dia."
"Huih,  banyak benar ye petua ustaz, macam pakar! Ayat pula power, macam dah  bercucu tiga. Ada lagi ke ustaz? Saya dah makin bersemangat ni," Azman  semakin bersemangat. Setiap patah perkataan saya dicerap  sebaik-baiknya. Respon pula sentiasa ada dicelahan setiap nasihat dan  idea.



"Ye,  ada lagi. Mungkin ini yang paling istimewa. Bila dah ada cahaya mata  nanti, cinta kamu akan terbahagi dua. Separuh untuk isteri  dan separuh untuk anak-anak.  So, jangan lupa untuk ungkapkan  penghargaan yang tidak terhingga sepanjang tempoh hamil sehingga selepas  bersalin. Ungkapan kita akan menjadi penguat semangat si dia untuk  terus menempuh saat kritikal sepanjang tempoh hamil dan proses  melahirkan bayi. Saya ada satu resepi rahsia," saya memancing lagi.
"Apa tu ustaz, tolonglah jangan rahsia, nanti rumah tangga saya kurang bahagia," usiknya sambil diselangi ketawa bahagia.
"Ok,  resepi rahsianya, apabila anta sambut ulang tahun kelahiran anak-anak,  hadiahkan juga cenderahati penghargaan kepada si dia yang berkorban 9  bulan mengandungkan anak-anak."
"Ada lagi ustaz?" Suaranya semakin galak.
"Habis. Setakat itu sahaja," saya memutuskan kata-kata. Titik noktah diletakkan di hujung bicara.
"Hai, saya tengah bersemangat ni... jantung pun tengah kencang berdegup,  janganlah berhenti mengejut begitu ustaz. Nanti boleh jatuh strok saya  jadinya." Selorohnya meminta perbualan kami diperpanjangkan lagi.
"Kalau awak strok, wasiatkan tunang awak untuk saya," saya berseloroh sambil ketawa bersahaja.
"Kalau awak masih sudi, masih ada resepi yang kurang menarik. Jarang orang suka  mendengar resepi ini. Kalau awak betul-betul mahu, saya boleh sambung," nada suara saya mendatar.
"Boleh, saya sedia. Saya tahu, pasti akan ada manfaatnya," Azman masih bersemangat.
"Resepi ini bukan untuk memikat hati. Tapi untuk menghidupkan hati yang separuh mati. Mengesat  air mata yang tak nampak alirannya. Meredakan pekikan suara hati yang tidak zahir bunyinya. Awak nak dengar ke?" Nada saya bertukar sedikit serius.
"Apa tu ustaz?" Nadanya kini berubah.
"Awak pernah kucup dahi ibu sendiri?" Tanya saya ringkas.
"Belum," ringkas juga jawapan Azman.
"Kucupi  dahi  ibu kamu sebelum kamu mengucup dahi isteri. Ibu itu yang berkorban 9  bulan mabuk, loya dan letih mengandungkan kita dan bersabung nyawa  melahirkan kita.


Mengasihi kita tanpa sebarang syarat ataupun mahar  mahupun nafkah. Dahi ibu kita lebih layak untuk kita kucup sebelum kita  kucup dahi isteri yang baru kita kenali beberapa bulan."
"Pernah awak  berbulan madu dengan ibu? Berkongsi tujuan dan matlamat hidup  dengan ibu? Bergurau senda dan bermanja-manja dengan ibu? Kalau belum,  honeymoon dulu dengan ibu awak. Kelak nanti, hatinya tidak begitu remuk  melihat bahagianya bulan madu kita bersama isteri dengan melupakan jasa  ibu yang pernah meletakkan seluruh hidupnya untuk kebahagiaan kita.  Bahagianya honeymoon kita sehingga terlupa untuk menghubungi ibu anta di  desa sana."
"Pernah awak berterima kasih pada ibu kerana melahirkan awak? Ibu yang sepanjang  hidupnya menemani hidup awak? Kalau masih belum diungkapkan,  segerakanlah ia sebelum awak berterima kasih kepada isteri yang sudi  menjadi peneman hidup awak. Ibu tua itu lebih aula (utama) menerima ucapan itu."
"Pernah  surprisekan ibu awak dengan sesuatu hadiah yang istimewa? Kalau belum,  surprise kan dulu si ibu itu. Nescaya, hatinya kembali berbunga-bunga.  Ibu  itu pastinya sunyi bila kehilangan kita, anak kesayangannya."
"Sewaktu kita  mengira belanja harian dan nafkah untuk isteri, fikirkan juga nafkah  dan belanja untuk ibu kita yang tak bergaji di desa sana. Ibu itu telah  membesarkan kita tanpa sebarang upah mahupun bayaran. Ye, duit yang kita  akan kirimkan itu bukannya bayaran terhadap kasih sayang mereka, tapi  ianya menjadi tanda yang kita juga masih mengingati malah menyayangi  mereka."
"Man, saya yakin, mak awak sangat sunyi waktu ini. Saban detik, telinganya  pasti ingin mendengar deringan dari seberang laut. Pasti matanya selalu  menatap potret awak yang digantung atau yang terselit di celah dompet.  Hubungilah ibu awak sekerap yang mungkin. Kalaupun tidak seminggu  sekali, pastikan dalam sebulan, khabar awak sampai kepada mak yang  jauh di kampung."
"Man,  kalau dengan satu ibu dan satu ayah, kita sudah tidak mampu untuk  memikat hati kedua-duanya, saya bimbang lebih banyak hati-hati yang akan  terluka selepas kita mempunyai dua ibu dan dua ayah."
Gelak  ketawa bertukar menjadi esak dan sendu. Nada Azman yang riang kini  berubah ke sebaliknya. Saya menghentikan kalam seketika. Suasana hening  seheningnya. Hanya sedikit gangguan dari gelombang talian yang  seakan-akan turut terpengaruh dengan suasana.
"Saya  tak berniat untuk menghancurkan impian bahagia awak. Tapi, saya yakin  dengan sempurnanya plot ini, awak akan lebih berbahagia. Ummat ini akan  lebih berbahagia."
"Saya  yakin yang awak sudah maklum. Bait Muslim (keluarga Islam) tidak akan sempurna tanpa  sempurnanya Individu Muslim.


Bagitulah juga, Masyarakat Muslim tidak  akan lahir dari  Bait Muslim yang tempang. Khilafah tidak akan terbina dengan Masyarakat  yang tidak stabil. Bersemangatlah, kitalah pemulanya. Saya yakin, tarbiah  yang awak lalui telah menjadikan awak Fardul Muslim (individu Muslim) yang baik. Tinggal  lagi, Allah akan mendidik awak untuk melahirkan Bait Muslim yang baik.  Adikku Azman, inilah jalannya."
Go home and love your  family
Jawapan  Mother Teresa selepas ditanyakan tentang bagaimana untuk mempromosikan  keamanan kepada dunia. Pertanyaan itu diajukan beliau menerima Hadiah  Nobel Keamanan pada tahun 1979.
"Sebaik-baik  kamu adalah oran yang paling baik hubungannya dengan ahli keluarganya.  Dan aku adalah orang yang paling baik untuk keluargaku." - Hadis
Pastikan  perkahwinan kita membahagiakan sejuta hati. Memuaskan sejuta jiwa.  Menghidupkan sejuta roh dan menyelamatkan sejuta ummah.
Mulailah  dari diri kita. Dari rumah kita. Dari Isteri dan anak-anak kita. Dari  masyarakat kita. Dari negeri kita. Dari negara kita. Moga payung  khilafah akan menaungi kita kelak.
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah nasib mereka sendiri." - Al-Quran


http://www.iluvislam.com/keluarga/perkahwinan/1298-memikat-hati-si-dia.html