Mengenai Saya

Foto saya
Malang, East Java, Indonesia
Uhibbuka Fillah...

Laman

Selasa, 28 Desember 2010

Siapa Kita Tanpa Mereka


"Ina, dah habis ke barang?" Umi dan Abi bertanya. Berpeluh mengangkat barang, membantu saya pindah masuk asrama.
"Ada lagi dalam stor". Umi tenang menjawab, "tak apalah, kita angkat sama-sama".
Satu rasa menyelinap ke dalam hati. Antara sayu dan terharu.   Semuanya bercampur-aduk membuatkan saya terpana. Terasa ingin didakap   erat tubuh Umi dan Abi.
Tidak mahu dilepaskan lagi.


Pengorbanan
Umi mengangkat baldi di tangan kanan, bakul di tangan kiri sementara  saya  terkial-kial mengangkat satu kotak yang penuh berisi buku. Abi  menunggu  di luar, ingin menyambut huluran barang dari kami.
Basah sudah wajah dan tubuh Umi dan Abi. Semenjak siang menemani  saya. Sejak dari pendaftaran kursus sehinggalah ke pengambilan kunci.   Biarpun ada masalah sedikit, Abi tetap berkata, "tak apa..sabar,   sabar".
Kemarahan yang mahu meresap ke relung hati serta-merta hilang.  Kepenatan  yang saya lalui sedikit memuhasabah diri, Umi dan Abi tentu  lebih  penat!
Situasi yang saya lalui, bukan sahaja dilalui oleh saya seorang. Apa  yang  dapat saya lihat, berduyun-duyun ibu bapa yang datang menghantar   anak-anak memasuki semester baru. Mengangkat barang-barang yang berat   biarpun terkial-kial. Namun senyuman tetap terukir di wajah biar badan   letih lesu.
Besarnya pengorbanan seorang ibu dan bapa.
Apakah anak-anak masih tidak mampu untuk melihat?
Saban hari, rumah-rumah orang tua semakin penuh terisi. Lupakah sudah si anak akan pengorbanan ibu dan bapa mereka?
Lupakah pada ibu yang mengandungkan sembilan bulan, lupakah pada ayah  yang  bertungkus lumus mencari rezeki demi melihat hidup anaknya  terbela?

Anak vs Ibu Bapa
"Seorang ibu boleh jaga sepuluh orang anak tapi sepuluh orang anak  belum tentu  boleh menjaga seorang ibu", Abi bersuara di dalam kereta,  menyatakan  kekesalan pada anak-anak muda yang semakin lupa  asal-usulnya.
Dalam diam saya mengiyakan. Betapa si ibu menatang anak-anaknya  semenjak  kecil dan mengasuh dengan kasih,  tetapi apabila si anak telah  dewasa,  berjumpa pula dengan kekasih hati. Mindanya terus tertutup  untuk  memikirkan pengorbanan si ibu semenjak dirinya kecil.
Hati ibu mana yang tidak terluka apabila anak-anaknya   menengking-nengking, bercakap kasar, apatah lagi jika perbuatan buruk   anaknya menjadi bualan mulut orang.


"Ah, diorang tu memang suka cakap pasal orang lain! Sibuk jaga hal orang! Sibuk buat fitnah!" katanya dengan ego.
Benar, benar sekali. Dalam Islam kita dilarang menabur fitnah. Tapi   harus diingat, Islam juga menyuruh kita agar melindungi diri daripada   menjadi bahan fitnah.
Bagaimana?
Contohnya, tidak mahu difitnah melakukan bukan-bukan kerana pakaian   yang tidak elok, maka pakailah pakaian yang menutup aurat dengan   sempurna.
Jika rasa dengan bermegah-megah dengan kelebihan mampu mendatangkan fitnah, maka merendah dirilah dalam segala hal.
Begitulah, Islam itu adil dan seimbang. Jika tidak mahu difitnah, jangan jadikan diri bahan fitnah.
Apabila orang sudah mula mengata, nilai kembali diri. Apakah mereka yang benar-benar salah, atau diri kita terlibat sama?
Yang mengata juga harus menilai diri. Jangan cepat benar menghukum.  Hati  manusia sungguh-sungguh tidak dapat ditembusi oleh minda manusia  juga.  Serahkan jagaannya pada Allah, pemilik seluruh alam..

Kembalilah
Wahai anak-anak muda sekalian! Kembalilah menuju cinta-Nya.  Kembalilah  menggapai redha-Nya dengan mendapatkan redha kedua ibu  bapamu.
Apa ertinya hidup andai dipenuhi denganya benci dan dendam.
Apa ertinya hidup andai hati tidak tenteram.
Apa ertinya hidup andai diri sendiri tidak dapat memanusiakan diri.
"Jalan elok-elok. Jangan tidur masa drive". Saya memeluk erat Umi dan  Abi. Sungguh saya sayang kalian sangat-sangat kerana Allah semata.
Maafkan segala kesalahan anakmu ini.


Sahabat, kembalilah dalam dakapan ibu dan bapamu.
Biar hatimu pernah terguris.
Biar jiwamu hancur dihiris.
Selagimana suruhannya tidak melanggar perintah Allah, cubalah untuk taat.
Ingatlah. Tanpa mereka, siapalah kita.
Dan Kami wajibkan manusia (berbuat) kebaikan  kepada dua orang ibu-  bapanya. Dan jika keduanya memaksamu untuk  mempersekutukan Aku dengan  sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang  itu, maka janganlah kamu  mengikuti keduanya. Hanya kepada-Ku-lah  kembalimu, lalu Aku kabarkan  kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.  (Al-Ankabut, 29:8)

Wallahu'alam.


http://www.iluvislam.com/tazkirah/nasihat/1388-siapa-kita-tanpa-mereka.html