Mengenai Saya

Foto saya
Malang, East Java, Indonesia
Uhibbuka Fillah...

Laman

Selasa, 28 Desember 2010

Mengapa Gagal Kawal Nafsu Zina?


Hikmah larangan berzina sudah dimaklumi umum. Akibat buruknya juga  terbukti hari ini, kes pembuangan bayi serta pembunuhan pasangan kekasih  adalah bertitik tolak daripada perlanggaran perintah Allah.
Walaupun Islam sudah menggariskan cara hidup yang sempurna merangkumi  semua aspek, ada segelintir pihak mahu melanggarnya. Maka timbullah  pelbagai kejadian tidak diingini dan tidak dapat diterima fitrah  manusia. Zina adalah perbuatan keji yang boleh mengaibkan pemilik maruah  diri, keluarga dan agama. Zina juga membawa kerosakan pada bumi. dan  dapat dilihat dalam perkembangan sosial sekarang, hubungan intim tidak  lagi menjadi asing dalam budaya hidup moden.
Akibatnya, janin digugurkan dan anak yang tidak sah taraf lahir, dibuang  merata malah dibiarkan mati. Perbuatan ini boleh disamakan dengan  pembunuhan yang balasannya juga adalah nyawa, mengikut hukum Tuhan.
Firman Allah: "Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang  diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar."  (Surah al-Israa': 33)
Berzina sehingga melahirkan anak tidak sah taraf juga meninggalkan  implikasi lain yang bersifat jangka panjang terhadap anak terbabit  seperti rosaknya nasab. Allah berfirman maksudnya: "Dan janganlah kamu  menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji  dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." (Surah Al-Israa': 32)
Buruknya zina dapat dinilai melalui amaran Allah dalam ayat itu  supaya hamba-Nya tidak menghampiri sebarang perbuatan yang mendorong  kepada zina.


Kebanyakan pengamal zina hari ini tahu dan faham akan larangan itu  tetapi tidak berusaha menjauhinya. Apa lagi yang mampu mengelakkan  golongan ini menjauhi zina melainkan kesedaran beragama dan pemantauan  orang di sekeliling?
Memang benar, sekiranya empunya badan tidak berusaha kembali ke pangkal  jalan, sudah tentulah tidak ada apa yang boleh merubah keadaan. Di  negara yang taraf pendidikan rakyatnya tinggi, kedangkalan ilmu tidak  menjadi sebab perbuatan jahiliyah ini semakin berleluasa. Apatah lagi  ilmu agama hari ini mudah diperoleh dan disampaikan kepada setiap  golongan masyarakat secara langsung atau tidak langsung. Mungkin juga  tarbiyah hati yang kurang mencukupi menyebabkan nafsu tidak terhalang  daripada terus membuat kerosakan di bumi dan akal pula tidak boleh  menjadi pedoman meskipun mampu berfikir.
Walau apa pun alasannya, mencari ruang kesalahan tidak cukup untuk  membetulkan keadaan. Sebaliknya, setiap ahli masyarakat perlu memainkan  peranan yang sepatutnya untuk tidak membenarkan perbuatan zina berlaku  di mana-mana, baik di rumah sendiri, bilik hotel, dalam semak atau di  rumah tumpangan. Mengharapkan sehingga setiap individu mempunyai  kesedaran tentulah tidak merancakkan langkah pencegahan, walaupun itulah  yang terbaik untuk mengatasinya.
Firman Allah bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu puak yang  menyeru berdakwah kepada kebajikan mengembangkan Islam dan menyuruh  berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang  salah, buruk dan keji, dan mereka yang bersifat demikian ialah  orang-orang yang berjaya." (Surah Ali 'Imran: 104)
Individu Islam tidak boleh menolak daripada berpegang teguh kepada  ajaran al-Quran dan as-Sunnah. Dengan berpegang ajaran inilah manusia  tidak akan terpesong daripada kebenaran atau sesat akidahnya, sama ada  melalui perkataan atau perbuatan, seperti sabda Rasulullah:
"Dari Ibni  Abbas r.a ia berkata: Sabda Rasulullah – Sesungguhnya aku telah  meninggalkan pada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sama sekali  sesat selama mana kamu berpegang kepada keduanya, kitab Allah dan sunnah  Nabi-Nya." (Hadis riwayat Al-Imam Al-Hakim).


http://www.iluvislam.com/tazkirah/remaja-a-cinta/1384-mengapa-gagal-kawal-nafsu-zina.html