Mengenai Saya

Foto saya
Malang, East Java, Indonesia
Uhibbuka Fillah...

Laman

Selasa, 28 Desember 2010

Bukan Semua Keinginan Kita Allah Bagi


Dalam banyak-banyak anugerah Allah, anugerah keluargalah yang paling  bermakna dalam diri saya. Saya sayang mak dan arwah abah kerana redha  Allah ke atas saya bergantung ke atas redha mereka terhadap saya. Saya  amat sayang kerana isteri saya kerana beliaulah yang sentiasa bersama  saya, menjadi tulang belakang ketika susah dan senang. Saya juga terlalu  sayang dengan anak-anak saya, kerana mereka adalah pelaburan tetap saya  untuk hari akhirat. Mereka jugalah penghibur hati saya ketika duka.
Selepas berkahwin, saya tidak pernah hidup terlalu berjauhan dalam  tempoh masa yang lama dengan keluarga. Paling lama pun, ialah ketika  isteri menghadiri kursus BTN. Hanya Allah sahaja yang tahu dalam tempoh 5  hari tersebut, betapa rindunya Raed yang ketika itu berumur setahun  setengah terhadap mamanya. Selepas itu, tidak pernah kami tinggal  berjauhan. Walaupun saya kadang-kadang sibuk setiap hujung minggu  memenuhi jemputan di sana sini, akan tetapi akan pulang juga bersama  keluarga.
Setelah hampir 5 tahun nikmat itu Allah pinjamkan kepada kami  sekeluarga, saya sedar akan tiba suatu hari nanti Allah akan uji kami  dengan menarik seketika nikmat tersebut. Dan itulah yang berlaku  sekarang. Atas sebab rasmi, secara mengejut kini saya hidup dalam episod  bercinta antara benua.
Saya dan anak-anak lelaki terpaksa pulang ke  tanah air, sementara isteri dan [I]baby[/I] Sofea akan akan terus berada di UK sehinggalah tamat research beliau. Segala-galanya berlaku dengan begitu pantas dan drastik. Hari  ini dapat pasport, esoknya beli tiket, lusanya terbang, tulatnya sudah  masuk kerja. Siapa yang mahu berpisah dengan keluarga dan anak-anak.  Siapa yang mahu menyeksa perasaan diri serta insan tersayang dalam kadar  waktu yang pantas dan mengejut.
Beginilah ketetapan Allah. Bukan semua yang kita inginkan, akan  diberikan oleh Allah SWT. Sekadar peringatan dan penawar kepada hati  yang masih berduka ini, di celah kesibukan menjadi 'bapa tunggal'  berkarier, saya nukilkan warkah peringatan ini khususnya untuk diri kami  sekeluarga.
Mengapa Allah uji kita, dengan menahan seketika kehendak peribadi kita?
1. Mungkin ini sebagai kaffarah dosa untuk diri kita.
Semua kita,  tidak kiralah sama ada yang bergelar ustaz ustazah atau pun tidak,  adalah berhadapan dengan risiko melakukan dosa. Ketebalan iman seseorang  boleh dirobek dengan walau dengan sekelumit kealpaan. Beruntunglah bagi  yang segera bertaubat dan berisghfar setelah melakukan dosa. Dalam pada  itu, insaflah betapa luasnya rahmat Allah kepada kita, sehinggakan  disediakan sebab dosa-dosa itu boleh diampunkan, iaitu dengan kaffarah  melalui ujian dan penderitaan. Sabda nabi Muhammad SAW dalam sepotong  hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:


Tiadalah muslim yang ditimpa cubaan  seperti sakit dan sebagainya melainkan dihapuskan Allah akan  dosa-dosanya, seperti pohon kayu menggugurkan daunnya.
2. Tercatat dalam ketetapan Allah dan terbukti jua di dalam sejarah,  bahawa keluarga yang baik biasanya akan menerima ujian yang besar.
Seolah-olah, ujian penderitaan adalah prasyaratnya. Kisah yang berlaku  antara nabi Ibrahim, isterinya Hajar serta puteranya nabi Ismail telah  melahirkan daripada keturunan mereka manusia yang hebat, yang terulung  sekali ialah nabi Muhammad SAW.
Saya dan keluarga hanya diuji barangkali setengah tahun sahaja, di  dalam dunia yang sudah dilengkapi dengan prasarana komunikasi yang  hebat. Setiap malam, kita boleh sahaja berhubung melalui video conference.  Semua ini masih belum wujud lagi semasa zaman nabi Ibrahim terpaksa  meninggalkan Hajar dan Ismail di kota Bakkah yang kering kontang tanpa  penghuni dan sumber alam. Bayangkan, betapa hibanya hati seorang ayah  terpaksa meninggalkan isteri dan anaknya di tempat dan keadaan yang amat  ekstrim. Akan tetapi, ketabahan serta kesabaran mengharungi ujian,  melayakkan mereka semua mendapat inayah dan bantuan Allah. Ketabahan  mereka berhadapan dengan ujian hebat, akhirnya melahirkan generasi yang  hebat.
3. Siapa yang tidak sedih menerima ujian ini. Akan tetapi perlu  dididik dan dilentur hati kita, bahawa[B] ujian yang Allah beri sekarang  ini hanyalah sedikit sahaja berbanding ujian orang lain.
Apalah sangat  ujian hidup cinta antara benua ini, berbanding dengan mereka yang diuji  dengan kehilangan insan tersayang. Apalah sangat ujian kita ini,  berbanding ujian ibu, ayah dan anak-anak Palestin khususnya di Genting  Gaza. Apalah sangat ujian kita ini, berbanding nasib ramai umat Islam  yang menjadi mangsa diskriminasi diktator manusia di seluruh dunia.  Sehinggakan terpisah tanpa khabar berita, berjumpa tidak pernah, bertemu  berharap tak usah.
Sedih memanglah sedih. Akan tetapi buat apa perlu melayan kesedihan  itu secara berlebihan. Sedangkan banyak lagi nikmat kesenangan (yang  sepatutnya perlu dibaca sebagai ujian) berlegar di sekitar kita. Dalam  masa yang sama, ramai lagi yang lebih menderita tetapi tabah di dalam  diuji Allah.
Ya Allah, bantulah keluarga kami. Permudahkanlan urusan kami.  Permudahkanlah anak-anak kami menerima perubahan drastik yang mencabar  ini. Murahkanlah rezeki kami. Kurniakanlah daripada isteri dan  anak-anakku, penyejuk mata, dan jadikanlah mereka generasi imam yang  bertaqwa. Amin Ya Rabbal Alamin.
Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada sanak saudara dan rakan taulan yang membantu dan memahami ujian kami ini.


http://www.iluvislam.com/keluarga/perkahwinan/1386-bukan-semua-keinginan-kita-allah-bagi.html