Komik, sering kali dilabel sebagai "bahan
bacaan murahan" ataupun picisan yang kurang bernilai. Malah, ia juga
acapkali dikaitkan sebagai "pembunuh bahasa" serta antara medium
berkesan yang dikenalpasti mampu merangsang minda kanak-kanak mahupun dewasa
menjurus ke arah pembentukan sifat kejam dalam sahsiah keperibadian.
Justeru, tidak menghairankan apabila terbitnya satu
perasaan sinikal di sanubari ibu bapa tatkala anak mereka meminta untuk
mendapatkan koleksi komik seperti Doraemon, Naruto, Pokemon dan Dragon Ball.
Menganggapnya sebagai satu pembaziran dan tidak berfaedah, ibu bapa lebih gemar
bertindak atas kata hati dengan memilih buku-buku yang mereka rasakan berupaya
merangsang minda anak-anak, asalkan ia bukan dari jenis "komik".
Namun demikian, apabila Institut Terjemahan Negara
Malaysia (ITNM) menyuarakan pandangan untuk menjadikan "komik"
sebagai bahan bacaan tambahan di sekolah, sekaligus memberi pelbagai spekulasi
terhadap cadangan terbaru itu.
Menurut Pengurus Jabatan Komunikasi, Pemasaran dan
Jualan ITNM, Zinitulniza Abdul Kadir, pembacaan komik adalah satu kaedah baru
yang boleh digunakan untuk memupuk minat membaca di kalangan kanak-kanak.
Bagaimanapun, dengan berpaksikan kepada stigma masyarakat terhadap komik
sebagai satu bahan bacaan merosakkan, justeru timbul persoalan apakah
relevannya ITNM berbuat demikian? Sekiranya "ya" dan mampu memupuk
budaya membaca, apakah faedah mahupun kelebihan yang boleh diperoleh daripada
komik?
Komik
Bukan Lagi Bahan Bacaan Murahan
"Ibu bapa perlu ubah pandangan mereka terhadap
komik, kerana kalau kita lihat sistem pendidikan di Jepun mahupun Korea,
semuanya dikomikkan, termasuklah cara-cara baiki kereta dan pelbagai resipi
makanan," katanya kepada BERNAMA dalam satu temubual baru-baru ini.
Sambil tidak menafikan bahawa komik sebelum ini
pernah dimanipulasikan sebagai medium merosakkan minda kanak-kanak, Zinitulniza
berkata ia sudah berlalu malah paradigma ketika ini telah memperlihatkan satu
pengiktirafan kepada genre itu dalam memupuk minat membaca.
Malah, katanya komik hasil kartunis terkenal negara,
Datuk Mohd Nor Khalid (Lat), Kampung Boy, telah dijadikan sebagai bahan bacaan
buku teks di Australia, serta di barat pula pengiktirafan telah diberikan
kepada buku bergenre sedemikian di mana ia kini dikenali sebagai "literature
komik" berbanding komik picisan sebelum ini.
Katanya, revolusi itu akhirnya membuka lembaran baru
terhadap pandangan sinikal "dunia komik", apabila ia dijadikan
sebagai bahan pendidikan di Korea dan Jepun, sekaligus menarik minat ITNM untuk
membawa kaedah baru itu ke sistem persekolahan negara ini.
"Komik bukanlah untuk dijadikan bahan bacaan
utama, cuma sebagai jambatan bahan bacaan untuk menarik minat mereka membaca,
jadi apabila mereka seronok, lama-kelamaan mereka akan baca pelbagai jenis
buku, yang penting adalah macam mana cara untuk pupuk minat mereka,"
katanya.
Kenapa
Kanak-Kanak Kurang Gemar Membaca?
Zinitulniza berkata ibu bapa sering melenting dan
merungut apabila anak-anak tidak gemar menjadikan buku sebagai kawan akrab,
namun pernahkah mereka cuba mendalami perasaan serta minat anak-anak?
"Ibu bapa suka membaca, tetapi anak-anak tidak
minat kerana apabila bawa mereka ke kedai buku, ibu bapa selalunya buat pilihan
tidak tepat iaitu memilih buku-buku yang kita rasakan anak-anak suka baca walhal
mereka tidak suka sebenarnya.
"Kanak-kanak lebih suka membaca buku-buku yang
mereka rasakan ada faedah kepadanya serta mempunyai banyak gambar daripada
teks, dan bila mereka pilih komik ibu bapa halang seratus peratus, itu tidak
sepatutnya kerana budak-budak apabila dipaksa baca akan jadi "mental block","
katanya.
Dengan bersandarkan pelbagai cabaran yang menggugat
proses pemupukan bacaan seperti siaran televisyen berbayar, permainan komputer,
komik dilihat sebagai satu medium terbaik untuk menarik minat membaca, katanya.
Kenapa
Komik?
Menurut Zinitulniza, sudah menjadi lumrah
kanak-kanak sukakan sesuatu yang menghiburkan, ringkas, menarik serta mempunyai
kaitan dengan apa yang mereka baca.
"Di Jepun, Doraemon dijadikan untuk belajar
sains dan matematik, seperti formula sains bagaimana pokok tumbuh dan ianya
diaplikasikan menerusi karakter yang kanak-kanak suka.
"Lagipun, kalau kita tengok karakter komik
Doraemon adalah watak hidup seperti ada watak rajin, pemalas, kaki buli dan
semua karakter ini hidup di sekeliling kehidupan kita, jadi bila kanak-kanak
baca komik mereka rasa dekat dan mereka suka kerana menghiburkan,"
katanya.
Selain itu, katanya, komik berupaya merangsang
imaginasi kanak-kanak, sekaligus mendidik mereka untuk menjadi kreatif.
Tambahnya, ini secara tidak langsung dapat membantu merealisasikan hasrat
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjadikan rakyat negara ini
lebih kreatif dan inovatif.
Tidak terhad kepada itu, beliau berkata pembacaan
komik juga mendidik kanak-kanak untuk mengenal pelbagai jenis emosi serta
pemahaman simbol tanda baca hasil daripada lakaran riak muka karakter
berkenaan.
"Pernah dulu ketika saya selesai memberi
penerangan mengenai kebaikan komik, ada seorang guru menyatakan dia kesal
kerana buang segala komik yang anak-anaknya baca kerana merasakannya tidak berfaedah,
walhal ia sebaliknya.
"Macam komik Doraemon, ada pintu suka hati,
kadang-kala ada elemen sejarah kerana diceritakan zaman hulubalang, ada
futuristik, geografi, jadi apabila kanak-kanak suka, mereka akan tidak sabar
tunggu edisi seterusnya," katanya.
Komik
Sains Mula Tahun Depan
Bagi memastikan hasrat ITNM untuk menjadikan komik
sebagai bahan bacaan tambahan di sekolah, Zinitulniza berkata pihaknya telah
komited untuk memilih satu koleksi komik dari Korea yang berkonsepkan
"sains ikhtiar hidup" untuk diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.
Katanya, koleksi komik tersebut dipilih selepas
meneliti wawasan Perdana Menteri, nilai dan faedah serta penjualannya yang
telah melebihi sebanyak lapan juta di Korea serta lebih empat juta di Thailand.
"Idea ini pernah kita bincangkan secara asas
ketika ITNM lancarkan buku "Nyawa di Hujung Pedang" di Korea yang
disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kita telah
tunjukkan contoh komik tersebut serta membawa penulis komik berkenaan bertemu
dengan beliau.
"Secara asasnya, Kementerian Pelajaran tertarik
dan bersedia untuk menimbangkannya dan sekarang ini ITNM sedang menyediakan
rangka kertas kerja kepada kementerian," katanya.
Beliau berkata buku komik itu mempunyai 15 judul dan
tertumpu kepada teknik penceritaan sekumpulan remaja yang mengembara di hutan,
menguji kepintaran mereka menghadapi situasi tertentu apabila berhadapan dengan
pelbagai peristiwa yang tidak dijangka.
Katanya, projek perintis itu dijangka dilaksanakan
sebelum akhir tahun depan dan buat permulaan ia hanya diedarkan ke sekolah
rendah dan menengah rendah di seluruh negara.
Pemantauan
Perlu Dilakukan
Tidak menghalang malah sentiasa menggalakkan
anak-anaknya membaca komik, aktor Esma Daniel berpendapat pembacaan buku jenis
genre sedemikian sedikit sebanyak telah merangsang pembentukan minda kreatif di
kalangan anak-anaknya.
Bagaimanapun, ibu bapa tidak boleh menyerahkan
seratus peratus kepada anak dalam proses pemilihan buku komik kerana ia perlu
dilakukan bersama bagi mengelakkan mereka daripada membeli koleksi yang tidak
berfaedah.
"Saya memang galakkan anak membaca komik kerana
ada unsur moral, cuma kena tapis dululah. Saya tidak beri mereka duit beli
sendiri kerana mungkin mereka tersalah beli. Adalah tugas ibu bapa, membantu
anak memilih koleksi yang dapat membantu proses pendidikan anak mereka,"
tegas bapa kepada lima orang anak ini.