Sabda Rasulullah S.A.W. : "Akan muncul di akhir
zaman nanti, suatu kaum yang terdiri dari orang-orang muda yang masih mentah
fikirannya (cetek faham agamanya). Mereka banyak mengucapkan perkataan Khairil
Bariyah (firman Allah dan hadis Rasul), tetapi iman mereka masih lemah.
Pada
hakikatnya mereka telah keluar agama seperti anak panah yang lepas dari
busurnya. Di mana sahaja kamu dapat menemuinya, maka hapuskanlah mereka itu,
siapa yang dapat menghapus mereka, kelak akan mendapat pahala di hari kiamat.
" (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Buka sahaja dimana-mana forum mahupun difacebook
kini dan amat mudah kita melihat ramainya golongan seperti ini menjuarai
gelanggang cerita dan debat agama. Cerita agama kini bukan cerita yang
seharusnya menjadi bahan didikan yang mendahulukan ilmuan tetapi menjadi topik
dan bahan sembang yang hangat seperti menjaja kacang putih dan kacang botak.
Tanda-tanda kiamat telahpun banyak dan tidak hairan
kaum seperti ini juga semakin banyak. Kerana itu sabda Rasulullah yang menyeru
supaya golongan ini dihapuskan. Dihapuskan disini janganlah kita ertikan ke
tahap membunuh atau memancung kepala mereka. Itu namanya tak ada beban mencari
beban. Menghapuskan golongan ini bermaksud kita mencegah dan mengutuk budaya
ini supaya ia terhapus daripada budaya dan masyarakat Islam itu sendiri.
Sekiranya kita membiarkan golongan ini berleluasa,
tanpa ada tindakan menghalang dan membasmi, maka mereka inilah yang akan
menyuburkan kelahiran manusia-manusia fasiq yakni golongan yang berdusta dan
mendustakan agama. Mereka bukan sahaja terkeluar daripada agama malah boleh
menyebabkan ramai lagi umat Islam yang akan terikut keluar pemikiran mereka
dari pemahaman Islam yang sebenar.
Islam
Pak Kaduk
Cerita Pak Kaduk adalah cerita masyhur orang Melayu
yang diwarisi turun termurun. Di zaman moden ramai yang tidak menghargainya
mungkin kerana cerita Pak Kaduk tidak membantu dalam membina kelebihan. Pak
Kaduk itu sendiri kisahnya adalah seorang yang tidak berilmu dengan tindakannya
yang banyak menyusahkan diri sendiri.
Di sini cerita Pak Kaduk adalah kisah yang paling
sinonim. Pak Kaduk menang sabung kampung tergadai. Demikianlah juga kisah orang
kita yang menang debat tetapi agama tergadai. Ramai orang amat sukar berbincang
ilmiah dan selalu ingin menang berdebat dan sudahnya beratus-ratus hadith dan
ayat Al-Quran menjadi dalil dan bahan sokongan isi debat mereka.
Adakah mereka ini orang yang mahir atau memahami
agama? Tidak dinafikan ada golongan yang tahu dan mengetahui tetapi golongan
yang tidak mengetahui itu lebih ramai. Ramai yang menjadi 'Ustaz Google' dan
'Ustaz Search Engine' untuk mendapatkan nas dan dalil dari blog dan website
sebagai bahan aktiviti perang mulut yang tidak berfaedah. Adakah mereka ini
membuat pengesahan bahawa huraian dan sumber itu adalah betul? Adakah hadith
yang diambil itu adalah sahih atau daif?
Adakah benar huraian ayat Al-Quran itu mereka cerakinkan
dengan kaedah yang betul? Adakah mereka merujuk orang yang mahir dalam agama
sebelum mereka mengeluarkan pendapat yang bakal dibaca dan dirujuk orang lain
sebagai panduan? Adakah mereka ingat Islam ini agama yang tidak ada kaedah?
Jadi apa bezanya mereka ini dengan Pak Kaduk? Menang
bercerita tetapi kesan kerosakan daripada huraian agama itu membuatkan agama
tercinta ini semakin tergadai. Bukankah perosak agama ini harus kita basmi
supaya ia tidak berleluasa?
Apakata Jika Anda Tergolongan Dalam Golongan Ini?
Saya sendiri adalah salah seorang yang dahulu turut
tergolong dalam golongan ini. Sungguhpun saya mempunyai asas agama dan
mempelajari ilmu syariah, fekah, tauhid dan sebagainya dibangku sekolah dan
kolej, tetapi saya sedar saya bukanlah pakar. Ada orang yang lebih pakar dan
mahir harus dirujuk untuk mempastikan saya tidak mengeluarkan huraian salah
yang mana boleh jadi menjadi rujukan sesat bagi orang kurang bijak.
Tanyalah diri anda adakah anda pernah melakukan
perkara sedemikian rupa? Sekiranya ada, maka tidak susah benar untuk
membetulkan keadaan. Tidak juga ia bermaksud anda harus berhenti daripada
berdakwah dan menyebarkan syiar Islam ini. Apa yang anda perlu lakukan adalah
mendalami ilmu agama itu dan merujuk kepada orang yang mahir serta berguru.
Hakikatnya apabila kita makin mendalami agama itu,
maka fahamlah kita semakin banyak yang kita tidak tahu dan perbetulkan.
Satu-satunya perkara yang menyukarkan kita memahami perkara ini ialah ego dan
minda yang terjajah. Kita banyak terfikir bahawa apabila kita diam, mengalah
dan memberi muka, maka kita adalah orang yang kalah. Tapi kita selalu lupa
bahawa kemenangan dalam Islam bukanlah kisah menang berdebat dan bercerita
tetapi kemenangan dalam kebenaran.
Perjuangan
Itu Sukar
Perjuangan itu bukanlah satu kisah atau terma yang
menggambarkan perkara santai dan menyeronokkan. Ia menggambarkan satu
kepayahan, kesabaran, kesungguhan, usaha yang mantap, kebijaksanaan dan
tawakkal. Kerana itulah umat akhir zaman ini dijanjikan dengan pahala yang besar
kerana perjuangan itu sukar dan sentiasa dipenuhi dugaan.
Salah satu kesukaran ialah peperangan melawan nafsu
dan kelemahan diri. Hari ini anda melihat sahabat-handai dan orang lain membina
kejayaan melalui kekayaan. Jauh disudut hati teringin memiliki dan berjaya.
Tapi anda sendiri tahu bahawa kejayaan dalam hidup itu mempunyai definisi yang
lebih besar.
Sekiranya anda tidak mampu menanggung dugaan
perjuangan akhir zaman, usahlah anda menyerahkan diri untuk ketahap itu. Ini
adalah kerana anda sendiri boleh lemas dalam perjuangan yang akhirnya
merosakkan agama. Buat apa yang termampu. Sokong dan bantu mereka yang
mempunyai kekuatan. Usah cuba menjadi 'hero' atau panglima kerana itu lebih
kepada 'syok sendiri'. Kisah perjuangan dan keperwiraan bukan kisah mencipta
pangkat atau 'title' sendiri.
Al-Quran itu turun secara 'munajjaman' yakni
beransur-ansur. Dalam perjuangan kita juga harus beransur-ansur dan
berstrategi. Usah terjun ke gelanggang sekadar untuk mati atau jadi bahan
belasahan. Lakukanlah sesuatu perkara itu dengan praktikal dan memberi kesan
yang hakiki. Semoga niat kita untuk berubah dan menyumbang dengan keikhlasan
diberkati Allah. Selalulah berdoa semoga mendapat petunjuk agar tidak
terpesong, sesat dan menyesatkan.