Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha
Penyayang.
Alhamdulilah, kita masih diberi peluang untuk
bernafas pada hari ini untuk kita terus menjalankan tugas sebagai hambaNya di
muka bumi ini. Semoga hari ini lebih baik dari semalam.
Andainya semalam, sedikitnya waktu untuk
kita bersujud padaNya , hari ini biarlah makin bertambah waktu untuk
kita terus bersujud padaNya. Semoga kita menjadi hamba yang sentiasa
bersyukur dengan nikmat iman dan islam
dan tidak sombong untuk bersujud padaNya.
Dialog
mainan hati
"Hari ini aku hanya dapat RM500 untuk hasil
jualan aku. Tuhan tak pernah nak bagi aku
rezeki lebih sedangkan si Husin tu berniaga sekejap sahaja dah dapat
untung banyak,".
" Aku tak faham kenapa si Katty, lagi cantik
dari aku, sampaikan wartawan pun buat-buat tak nampak akan kehadiran aku. Esok
aku mesti cucuk sana-sini. Aku mesti cantik dari Katty".
Dialog-dialog yang selalu memenuhi segenap fikiran
kita dan sudah menjadi lumrah manusia, tidak pernah berasa cukup dengan apa
yang kita ada.
Kadang-kadang
kita lupa , yang mana adalah kehendak atau keperluan. Apabila memiliki
sesuatu itu, tidak pernah rasa terdetik walau sekelumit dihati untuk mengucapkan
atau mengungkapkan rasa syukur padaNya.
Begitu mudah sekali bibir kita melontarkan keluhan
demi keluhan. Kita mengeluh atas perkara-perkara yang remeh. Andai dapat
ditukar setiap bait keluhan itu kepada wang ringgit, pasti terbasmi kemiskinan
di muka bumi. Namun hairan, Kita mengeluh tatkala kita dalam kesenangan. Kita
lupa bahawa ada insan yang lebih malang
lagi dari kita.
Tatkala kita diberi dengan makanan yang banyak,
pernahkah kita terfikir bagaimana nasib anak-anak palestin yang kelaparan?
Tatkala kita punyai wang untuk berbelanja, pernahkah kita terfikir kehidupan
insan yang papa kedana?
Kita mengeluh atas sekelumit kekurangan, sedangkan
kelebihan sebanyak buih lautan dibiarkan.
Allah s.w.t berfirman : "Dan jika kamu
menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya" (16:
18).
''kemudian Dia menjadikan keturunannya dari saripati
air mani yang hina. Kemudian Dia menyempurnakan ke dalam tubuhnya (roh)
ciptaanNya dan Dia menjadikannya bagi kamu pendengaran, penglihatan, dan hati
tetapi sedikit sekali kamu bersyukur '' (32:
8-9)
Golongan
Yang Bersyukur
Pada zaman Sayyidina Umar al-Khattab, ada seorang
pemuda yang sering berdoa di sisi Baitullah yang bermaksudnya:
"Ya Allah! Masukkanlah aku dalam golongan yang
sedikit"
Doa beliau didengar oleh Sayyidina Umar ketika
Sayyidina Umar sedang melakukan tawaf di Kaabah. Sayyidina Umar berasa hairan
dengan permintaan pemuda tersebut. Selepas selesai melakukan tawaf, Sayyidina
Umar memanggil pemuda berkenaan lalu bertanya:
"Kenapakah engkau berdoa sedemikian rupa (Ya
Allah! masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit), apakah tiada permintaan
lain yang boleh engkau mohon kepada Allah?"
Pemuda berkenaan menjawab: "Ya Amirul Mukminin!
Aku membaca doa berkenaan kerana aku
takut dengan penjelasan Allah seperti firman-Nya dalam surah al-A'raaf
ayat 10 yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kami (Allah) telah menempatkan
kamu sekelian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber/jalan)
penghidupan. (Tetapi) amat sedikitlah kamu bersyukur".
Aku memohon agar Allah memasukkan aku dalam golongan
yang sedikit, iaitu terlalu sedikit orang yang tahu bersyukur kepada
Allah".
Jelas pemuda berkenaan. Mendengar jawapan itu, Umar
al-Khattab menepuk kepalanya sambil berkata kepada dirinya sendiri:
"Wahai Umar, alangkah jahilnya engkau, orang
ramai lebih alim daripadamu".
Semoga kita semua termasuk ke dalam golongan yang
sedikit ini, Amin.
Jadi, sama-samalah kita membina tekad untuk
membanteras keluhan dan meningkatkan kesyukuran kerana Dia telah berjanji ,
"Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu
memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah
(nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya
azab-Ku sangat pedih". (Ibrahim: 7)
Ingat nikmat yang dikurniakan, Ingat Pemberi Nikmat
yang Maha Pemurah mengurniakan segala nikmat kepada kita.
Ayow kita
jadi golongan yang sedikit , iaitu golongan yang bersyukur.