Nurul memandang tepat wajah insan di hadapannya itu.
Dia cuba mencari sebuah jawapan. Debaran di hati tidak hilang sedikitpun
walaupun telah hampir semua pertanyaan dan persoalan telah dilontarkan. Ahh,
mengapa mesti mengunci bibirmu. Keluarkan suaramu. Jawab pertanyaanku. Nurul
memprotes di dalam hati.
Insan di hadapannya itu hanya tersenyum. Dia
mengangkat wajahnya. Nurul cepat-cepat berpaling ke arah lain. Bimbang matanya bertaut
dengan mata si jejaka.
“Mungkin Nurul jodoh saya,” jawabnya ringkas.
“Itu sahaja jawapan saudara?” soal Nurul kerana
tidak berpuas hati dengan jawapan seringkas itu.
“Ya.”
Nurul memandang temannya Aina yang sejak tadi
membatukan diri. Lagaknya seperti ingin meminta pertolongan. Manalah tahu Aina
ada apa-apa soalan yang boleh membuka mulut jejaka ini. Namun, Aina hanya
tersenyum. Dia juga kaku berhadapan dengan keadaan ini. Nurul yang dikenalinya
seperti berubah serta-merta dalam pertemuan ini. Tiada lagi senyuman manis,
tiada lagi kata-kata yang penuh berhikmah dan yang paling terkesan, kelembutan
yang menjadi darah-dagingnya juga seperti telah terbang di tiup angin.
“Pandai sungguh dia berlakon,”getus hati Aina.
Bibirnya mengukir senyum apabila Nurul mengajaknya
pulang. Masa yang ditunggu telah tiba. Nurul telah berjanji akan membelanjanya
makan selepas pertemuan itu selesai. Bukan mengambil kesempatan, cuma poketnya
hampir kosong. Almaklumlah sekarang sudah berada di penghujung semester.
Semasa dalam perjalanan ke cafe, Aina mengambil
kesempatan bertanya Nurul perihal perubahan tingkah-lakunya sebentar tadi.
“Boleh Aina Tanya sikit?”
“Emm, tanyalah...”
“Kenapa Nurul garang sangat dengan Izzat tu? Kesian
dia,”
“Garang ke? Nurul rasa cam biasa je tadi,” Nurul
menjawab sambil bibirnya mengukir senyuman.
Aina cuba membaca isi hati sahabat baiknya itu.
Senyuman Nurul bagai tersirat 1001 macam maksud. Aina hanya mendiamkan diri,
mungkin Nurul belum bersedia menceritakan isi hatinya.
Deringan telefon yang mendendangkan lagu [B]“Atas
Nama Cinta”[/B] nyanyian kumpulan UNIC sedikit mengganggu tumpuan Nurul yang
sedang bertungkus-lumus menyiapkan assignment yang perlu dihantar dua minggu
lagi. Kerutan di dahinya hilang dan digantikan dengan senyuman apabila melihat
nama si pemanggil. Insan yang sentiasa dirinduinya siang dan malam.
“ Assalamualaikum
ibu,” sapa Nurul lembut.
“Waalaikumusalam. Nurul tengah buat apa tu? Sibuk
ke?,” soal ibunya.
“Tak lah sibuk sangat, tengah siapakan assignment.
Dua minggu lagi kena hantar. Ibu sihat? Abah macam mana?”
“Alhamdulillah, kami sihat. Emm, sebenarnya ibu dan
abah ada hal penting nak berbincang dengan Nurul. Nurul boleh balik kampung
hujung minggu ni?”
“Hal apa yang penting sangat tu sampai tak dapat
bagitahu melalui telefon,” seloroh Nurul. “Adalah.. ini hal masa depan Nurul,”
Setelah memutuskan talian telefon, Nurul mula
termanggu. Dia sudah berasa tidak sedap hati. Hal apakah yang ingin diberitahu
ibu? Masa depan? Hal baik atau sebaliknya? Screen laptop dihadapannya dipandang
tanpa berkelip.
Fikirannya mula melayang entah ke mana. Jantungnya
mula berdegup kencang menyebabkan aliran darah dalam tubuhnya bergerak laju
merentasi segala otot dan bahagian tubuh yang lain. Jarinya lantas
memicit-micit kepala yang tidak sakit. Perbualan dengan ibu sebentar tadi telah
menyebabkan dia berasa tidak keruan. Oh, ibuku!
**********
Angin petang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Kelihatan
sekumpulan kanak-kanak sedang riang bermain kejar-kejar di halaman rumah. Padi
yang mulai menguning di petak-petak sawah dan burung-burung yang bebas
berterbangan mengindahkan lagi pemandangan petang itu. Segala beban
pelajarannya terasa hilang semenjak dia sampai ke rumah beberapa jam yang lalu.
Nurul menghayun langkah ke sebatang pohon besar dihadapan rumah. Di bawah pohon
yang rendang itu terdapat sebuah buai dan pangkin. Di situlah dia dan ibunya
selalu berbual-bual.
Suasana damai petang itu tidaklah sedamai hatinya.
Ibunya masih belum menyampaikan hal tersebut. Ingin sahaja dia meminta ibu
menceritakan hal itu setibanyan dia di rumah tadi. Namun, aroma asam pedas
kegemarannya membantutkan pertanyaan malah menaikkan selera makannya pula.
Nurul tersenyum sendiri.
“Hai anak dara, kenapa senyum sorang-sorang ni?”
Nurul berpaling ke arah pemilik suara itu. Ibu dan
abahnya menghadiahkan senyuman buat satu-satunya anak gadis yang mereka miliki.
“Ingat kat siapa la tu,” abah mula berseloroh.
“Mana ada ingat kat siapa-siapa. Tengah memerhati
keindahan alam. Anak ibu dan abah ni kan pencinta alam orangnya,”jawab Nurul
manja.
Nurul akui, walaupun usianya sudah menjengah angka
22 dan bakal menamatkan pengajian tidak lama lagi, namun sifat keanak-anakkan
dalam dirinya masih menebal. Mungkin kerana dia satu-satunya puteri yang
dimiliki oleh pasangan Haji Ahmad dan Hajah Zubaidah di samping dua orang
putera yang sudah bekerjaya dan seorang putera yang masih di zaman remaja.
“Hal apa yang ibu nak beritahu hari tu?”, soal Nurul
tanpa berlengah.
Haji Ahmad dan Hajah Zubaidah berpandangan. Raut
wajah mereka sedikit berubah. Bimbang hal yang bakal disampaikan akan
mengganggu tumpuan Nurul belajar. Walaupun sifatnya seperti keanak-anakkan,
tetapi fikiran Nurul sematang usianya. Haji Ahmad yakin pelajaran anakknya
tidak akan terganggu, cuma si ibu yang masih berat hati menceritakan hal
tersebut.
“Ada orang datang bertanya,” abah mula membuka
cerita.
“Datang bertanya? Tanya apa?” serius Nurul tidak
faham.
“Macam ni..” ibu mula menyusun kata.
“Ada orang datang merisik Nurul.”
“Siapa?”
“Orang Selangor. Keluarga Tengku Mahfuz.”
“Tengku Mahfuz? Siapa tu?” soal Nurul ingin
kepastian.
“Kawan lama abah kamu. Sama-sama belajar di Madrasah
At-Ti Hadiah dulu,” terang ibu.
Nurul hanya mendiamkan diri. Bila pula abah aku ada kawan daripada golongan Tengku-tengku
ni. Aish..
“Mereka datang merisik untuk anak mereka, kalau tak
silap, Izzat namanya,” abah mula bersuara.
Nurul memandang wajah tenang abah sambil tangannya
menggapai sampul surat yang abah hulurkan.
“Itu gambar orangnya. Nurul fikirlah masak-masak
sebelum memberi jawapan. Apa sekalipun jawapan Nurul, abah dan ibu akan
sokong,” tambah abah.
“Abah dan ibu dah lihat orangnya? Pandangan abah dan
ibu bagaimana?” Sekali lagi ibu dan abah berpandangan. Tetapi kali ini senyuman
mereka meleret-leret dan tidak lekang dari bibir. Nurul bertambah binggung.
Malam itu Nurul sangat susah untuk melelapkan mata.
Apa yang dibongkarkan oleh abah dan ibu petang tadi benar-benar menghantui
dirinya.
Sebenarnya kami dah lama kenal Izzat tu. Abah
mula-mula kenal dia masa dia ikut Tengku Mahfuz ke majlis perkahwinan sepupu
kamu, Mazuin, tahun lepas. Masa tu kamu sibuk bantu Mak Long sampai tak sempat
nak kenalkan dengan Izzat. Kali kedua abah jumpa dia di madrasah. Dia
menggantikan papanya semasa reunion kami. Semenjak waktu tu, dia selalu juga
telefon abah bertanya khabar. Dia pun pernah datang ke rumah. Cuma kamu je yang
tak tahu.
**********
Nurul mula memanggil-manggil memorinya.
Manalah tahu dia dapat mengingati situasi yang abah
ceritakan petang tadi. Daripada raut wajah abah, Nurul dapat merasakan bahawa abah sangat menyenangi jejaka yang
bernama Izzat itu. Tidak kurang juga dengan ibu. Kedua-duanya kelihatan ceria
bercerita tentang Izzat. Izzat itu, Izzat ini…
Nurul baru teringat sampul surat yang diberi oleh
abah siang tadi. Dia membuka sampul surat itu dan mengeluarkannya dengan
berhati-hati. Matanya dipejamkan kerana takut melihat wajah orang ingin
memetiknya dari taman hati abah dan ibu. Entah hensem ke tidak. Entah-entah
gemuk. Alamak…hatinya berbisik nakal.
Matanya dibuka perlahan-lahan. Tiada cacat-cela
daripada raut wajahnya. Semuanya kelihatan sempurna. Tiba-tiba.. Macam pernah
tengok dia ni, tapi kat mana? Bila? Aiseh. Siapa ni.. muka ni macam pernah wujud dalam memori aku, tapi siapa???
Nurul makin tidak keruan. Insan itu seperti pernah dikenalinya satu masa
dahulu. Namun, segala maklumat bagaikan hilang ketika dia amat memerlukannya
ketika ini.
Nurul lantas mencapai laptop yang hampir sehari
tidak ditatap. Dia yakin gambar Izzat pasti terselit di antara beratus-ratus
gambar simpanan peribadi miliknya. Satu demi satu folder gambar dibuka. Satu
persatu gambar diteliti supaya tidak ada
yang terbabas daripada penglihatannya. Sudah hampir ke semua gambar dilihat,
diteliti dan ditelek dengan penuh
ketekunan, namun dia masih tidak menjumpai wajah yang dicarinya. Giliran folder
terakhir dibuka.
Folder yang menempatkan gambar Nurul dan
rakan-rakannya semasa Bengkel Sukarelawan yang dianjurkan pihak universiti
beberapa bulan yang lepas. Bebola matanya seperti dapat menangkap sesuatu.
Nurul segera mengambil gambar yang diberikan oleh abah dan meletakkannya di
screen laptop. Dia cuba membandingkan gambar itu dengan gambar seorang
penceramah yang memiliki raut wajah yang hampir sama dengan Izzat.
“Subhanallah...” hanya perkataan keramat itu yang
keluar dari bibir Nurul. Debaran hatinya bertambah kencang.
Dr. Irfan, salah seorang penceramah bagi slot
kecemasan dan perubatan. Diakah orangnya. Tanpa membuang masa, Nurul terus
mendapatkan kepastian daripada sahabat baiknya, Aina.
“ Kalau tak silap, ada dua orang doktor yang datang
hari tu. Yang perempuan tu namanya Dr. Khalisah, yang lelaki tu namanya Dr.
Irfan. Kenapa?” jawab Aina dan membalikkan satu soalan kepada Nurul.
“Aina tahu tak nama penuh doktor lelaki tu?”
“Dr. Izzat Irfan.. ada gelaran tengku kot di pangkal
namanya” jawab Aina yang berada di hujung talian.
Dia berasa pelik dengan tingkah-laku Nurul. Sebelum
ini Nurul tidak pernah bertanya apa-apa mengenai muslimin, lebih-lebih lagi
yang tidak dikenalinya. Tapi berbeza kali ini.
“Oh, ok. Terima kasih ya. Maaf mengganggu
malam-malam ni. Assalamualaikum,” “Waalaikumusalam,” balas Aina kecewa. Tidak
sempat nak mengorek cerita dan bertanya lebih lanjut, Nurul sudah dahulu
mengakhiri perbualan mereka. “Tak apa, balik kolej nanti aku korek cerita hang,”
getus hatinya.
**********
Sudah dua hari di rumah dan tiba masanya kembali ke
bumi UPM. Semua barang keperluan telah dimasukkan ke dalam beg. Matanya
tertacap kepada satu kotak kecil berwarna merah di atas meja solek. Kotak baldu
berbentuk hati itu dicapai dan dibuka perlahan-lahan. Cincin emas bertatahkan
permata comel berwarna putih memancarkan kilauannya apabila terkena cahaya
matahari yang terbias dari tingkap kamarnya.
Hati Nurul berbelah bahagi. ‘Mengapa dia memilih aku
sedangkan kami tidak pernah mengenali antara satu sama lain. Layakkah cincin
secantik ini disarungkan ke jariku. Dan yang paling menggusarkan, layakkah aku
menjadi suri hati seseorang yang baik dan sesempurna dia.’
Segala persoalan yang ingin dilontarkan telah
ditulis kemas dalam sebuah warkah. Nurul meminta nasihat abah dan ibunya.
Adakah dia melakukan sesuatu yang betul
dan tidak tersasar dari jalan yang dibolehkan agama. Kata abah, lakukanlah jika
itu mendatangkan kebaikkan. Andai itu salah satu ikhtiar yang digunakan
untuk berasa yakin dialah jodohmu, maka
teruskan. Tapi awas, jangan sampai terlalu mengikut kata hati . “Jaga hatimu
dan bantulah dia menjaga imannya.
Pesanan abah sangat mendalam maksudnya, “Jaga hatimu
dan bantulah dia menjaga imannya. Oh, abah!
Nurul melipat warkah tulisan tangannya itu dengan
kemas. Tiada bedak mahupun wangi-wangian diletakkan seperti mana yang dilakukan
remaja-remaja lain. Warkah itu membawa isi hati Nurul agar si dia mengerti dan
mengenali siapa insan yang baru dilamarnya. Juga ingin meminta kepastian adakah
benar-benar ikhlas menerima dirinya yang penuh kekurangan dan kelemahan agar
suatu hari nanti tidak akan dipersoalkan jika badai menghempas pelayaran rumahtangga
mereka. Nau’zubillah...
Bukan meminta, hanya sekadar satu persediaan. Nurul meminta abahnya
sendiri menyampaikan warkah itu. Biarlah abah yang menjadi orang tengah antara
mereka, itu yang terbaik.
**********
Terlopong Aina mendengar cerita yang baru
disampaikan Nurul. Aina tidak menyangka Nurul akan dilamar oleh doktor
idamannya itu. Namun, dia sangat bersyukur andai benar jodoh Nurul dengan Dr.
Irfan. Daripada satu sudut dia dapat melihat mereka sangat sepadan. Walaupun
jarak usia antara mereka selama 6 tahun, namun itu tidak mencacatkan keserasian
mereka.
Serasi? Ya, itu yang Aina rasakan. Seingat Aina,
selepas program tamat, mereka pernah bertukar-tukar pendapat mengenai dunia
perubatan dan perkaitannya dengan isi kandunagn Kitabullah. Walaupun kumpulan
mereka terdiri daripada 7 orang, namun, hanya Dr. Irfan dan Nurul yang banyak
menjawab dan menyoal. Ahli yang lain lebih gemar mendengar, termasuk dirinya
sendiri. Aina tersenyum apabila mengimbau kembali kenangan itu.
“ Aina rasa kamu berdua memang sepadan. Bagai pinang
dibelah dua. Bagai cincin dan permata,” kata Aina sambil mengira-ngira untuk
menambah bidalan-bidalan yang lain bagi menunjukkan kesepadanan mereka.
“Aina, jangan main-main ok. Ni masalah besar ni,”
balas Nurul.
“Nurul suka dia tak?”
Berkerut dahi Nurul mendengar soalan sabatnya itu.
Dia berfikir sejenak.
“Orang-orang tua kata, diam maknanya suka. Betul
tak?” Aina cuba bermain kata dengan Nurul. Bukan untuk menambah kerunsingan
temannya itu, namun sebelum memberi apa-apa pandangan, lebih baik dia
mengertahui isi hati Nurul terlebih dahulu.
“Entahlah. Nurul pun tak pasti,” jawab Nurul lemah.
“Kenapa? Nurul dah ada pilihan hati ke?”
“Bukan macam tu, tapi...”
“Tapi apa? Nurul ada apa-apa masalah ke? Ceritalah,
Aina sedia mendengar,” pujuk Aina. Nurul hanya tersenyum hambar. Daripada raut
wajahnya tergambar sedikit kegusaran. Bukan soal sudah ada jejaka idaman, Cuma
hatinya belum bersedia. Bukan setakat hati,
jiwa dan jasadnya juga bagai belum bersedia untuk menggalas tanggungjawab
yang berat itu nanti.
“Aina tahu kan siapa dia. Latar belakang keluarga
pun dah berbeza sangat dengan Nurul. Itu belum lagi tahap pendidikan. Macam tak
sesuai je dengan Nurul,” “Ish, itukan ukuran dunia je. Aina rasa dia bukan
daripada golongan yang mementingkan soal darjat dan darah ni. Dia sendiri pun
low profile, sentiasa merendah diri. Pengetahuan agama pun boleh tahan. Apa
lagi yang kurang?” soal Aina tidak puas hati.
“Memang dia tiada kekurangan dari mata Nurul. Tapi
Nurul yang banyak kekurangan. Bab agama tu yang Nurul risau. Masih lemah.
Bimbang tidak dapat menjadi suri yang dapat dia banggakan.”
“Nurul, Allah menciptakan menusia
berpasangan-pasangan supaya mereka saling melengkapi bukan? Perkahwinan bukan
suatu proses mencari yang sempurna, tapi proses untuk menjadi yang sempurna.
Ingat tu,”
Nurul hanya mendiamkan diri. ‘Betul juga apa yang
Aina cakap, hati kecilnya berkata-kata.
"Ya Allah, ampunkan dosa-dosaku, dosa-dosa
kedua ibubapaku, dosa guru-guruku, dan dosa sahabat-sahabatku. Selamatkanlah
kami daripada azab kubur dan nerakaMu. Ya, Allah, Kau pimpinlah hatiku ini
dalam mencari rahmat dan redhaMu. Bantulah aku dalam membuat keputusan yang
bakal merubah masa depanku. Ya Rahman, andai benar dia milikku, namanya yang
tercatat di Luh Mahfuz menjadi pasanganku, dirinya yang telah Kau suratkan
menjadi pembimbingku, maka Kau bukalah pintu hatiku untuk menerimanya.
Tenangkan hatiku andai keputusanku ini benar, dan berikan petunjukmu agar aku
tidak tersasar dari jalanMu Ya Robb. Namun, andai bukan dia yang sepatutnya aku
dampingi, maka jauhikan aku dari dirinya, kuatkan hatiku untuk menerima ketentuanMu.
Kerana aku yakin, Kau Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hambaMu yang hina
ini. Amiinn."
Usai mengerjakan solat sunat istikharah buat
sekelian kalinya, Nurul masih lagi berteleku di atas sejadah. Hatinya tenang
mengadu kepada Yang Esa. Tiada kedamaian setanding kedamaian tika berdua-duaan
dengan Pencipta.
**********
Walaupun sudah hampir tiga minggu lamaran daripada
pihak lelaki datang, namun dia masih belum dapat memberi keputusan. Buat masa
ini dia hanya mahu menumpukan perhatian kepada peperiksaan akhir semester yang
sudah pun bermula. Syukur kerana keluarga Tengku Mahfuz memahami keadaan
dirinya.
Jam di dinding menunjukkan pukul 7.30 pagi. Nurul
mengerling teman sebilikknya yang sedang khusyuk mengulangkaji. Tangannya
mencapai nota Perundangan Makanan yang kemas tersusun di dalam fail.
Dia mahu membaca semula nota-nota tersebut sebagai
persediaan terakhir sebelum menduduki peperiksaan bagi subjek itu pada pukul 11.00 pagi nanti.
Titt..titt.. Deringan telefon bimbit yang diletakkan di
atas katil memecah kesunyian bilik kecil yang dihuninya itu. “Siapa pula yang
bagi mesej pagi-pagi ni,” Nurul bermonolog sendiri. Dia mengambil telefon
tersebut dan membuka mesej pesanan ringkas yang baru diterimanya. Senyuman
terukir tatkala melihat nama si pengirim, Azim, adik bongsu yang tersayang.
Salam. Kak Nurul, esok ibu dan abah akan ke UPM.
Abah kata ada benda penting nak disampaikan kepada kakak. Macam surat, tapi
abah tak bagi Azim baca. Penting benar agaknya sampai tak sempat tunggu kakak
balik.
Azim. Nurul berfikir sejenak. Surat? Dia tidak mahu
terus berfikir, biar esok yang menjadi penentunya. Mesej Azim dibalas.
Waalaikumusalam. Ok, kakak akan tunggu kedatangan
abah dan ibu.
Nurul meneruskan pembacaan. Hanya tinggal dua paper
sahaja lagi yang belum di jawab. Jika diikutkan, minggu hadapan dia akan pulang
ke kampung untuk bercuti. Mungkin benar kata Azim, surat itu pasti
sangat-sangat penting sehinggakan abah tidak sabar untuk memberikan kepadanya.
Tiba-tiba dia tersentak. Jangan-jangan itu surat daripada Izzat. Surat jawapan
daripada segala persoalan yang dia ajukan dalam warkahnya tempoh hari. Sesak nafasnya dan tanpa sedar dia
mengeluarkan satu keluhan berat.
**********
Benar seperti yang dijangka. Kedatangan abah siang
tadi membawa warkah daripada Izzat. Nurul berasa sangat serba salah kerana dia
masih tidak dapat membuat keputusan. Kesian abah dan ibu. Sanggup datang
daripada jauh semata-mata untuk menyampaikan surat ini. Teringat pesan abah,
‘Kalau Nurul betul-betul tak bersedia, jawab sahaja tidak setuju. Kesian pihak
sana masih menunggu-nunggu’.. Nurul hanya tersenyum kelat mendengar kata-kata
abah. Bukan tidak setuju, 100 kali dia mahu. Namun, masih ada kekangan yang
menyebabkan perkataan setuju itu tidak keluar dari bibirnya. Sabarlah abah, anakmu
masih perlukan masa untuk berfikir.
Antara pilihan dan penentuan. Antara tadbir dan
takdir. Antara kesempurnaan dan pencarian. Semuanya menagih sikap berhati-hati
dan kesabaran. Jangan terlalu cepat hingga tersadung dan jangan pula terlalu
perlahan hingga terlambat. Pilihlah jalan tengah di antaranya dan iman serta ilmu menjadi panduannya.
Usai mengerjakan solat Isya’ , Nurul terus mencapai
sampul surat berwarna biru dari mejanya. Isinya dikeluarkan. Lipatan warkah itu
masih elok. Tidak lagi dibuka, apa lagi dibaca. Nurul memberanikan diri untuk
menatapnya. Apa pun yang terjadi, keputusan harus dibuat malam ini juga. Ini
tekadnya!
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi maha
Penyayang...
Salam kembali buat Saudari Nurul Jannah Alisya Binti
Ahmad.
Pertamanya, maaf kerana mengambil masa yang terlalu
lama untuk menjawab persoalan saudari. Bukan ingin membiarkan saudari terus
tertanya-tanya, cuma berusaha untuk memberi jawapan yang sebaiknya.
Sejujurnya,
saya tiada jawapan yang tepat untuk setiap pertanyaan daripada saudari kerana
saya yakin saudari punya jawapannya sendiri.
Pernah mengasihi atau tidak, pernah bercinta atau
tidak, pernah mengenali atau tidak, bukanlah satu syarat untuk menjamin
kebahagiaan sesebuah rumahtangga. Bukan kah janji Allah itu pasti. Dia bisa
menemukan dan memisahkan sesiapa yang Dia kehendaki. Secara logiknya, memang
susah menerima insan yang kita tidak pernah kasihi apalagi yang kita tidak
pernah kenali untuk menjadi pasangan kita, tapi saya yakin, setiap apa yang
berlaku talah diatur oleh Allah dengan sangat sempurna. Wallahua’lam…
Setiap menusia mengimpikan pasangan yang soleh dan
solehah. Tidak terkecuali saudari dan saya sendiri,bukan? Allah telah memberi
tips kepada kita dalam memilih pasangan. Lihatlah kepada 4 perkara; agama,
kecantikkan, keturunan dan harta. Utamakanlah yang beragama, nescaya akan aman
hidupmu. Saya tidak pernah meletakkan syarat-syarat tinggi kepada sesiapa yang
bakal menjadi isteri saya kerana saya juga insan biasa yang banyak melakukan
dosa dan kesalahan. Pada saya, sudah memadai jika dia dapat menerima saya
seadanya.
Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 216 yang
bermaksud:
“Ada sesuatu perkara yang kamu cintai tetapi membawa
keburukan kepada kamu. Ada pula sesuatu perkara yang kamu benci tetapi sebaliknya
ia membawa kebaikkan kepada kamu. Sedarlah kamu tidak mengetahui, Allahlah yang
lebih mengetahui. Justeru, saya akan berusaha menerima sesiapa sahaja yang
telah Allah catatkan namanya untuk menjadi pendamping saya. InsyaAllah.
Setiap manusia punya kelebihan dan kekurangan. Ianya
dapat diatasi dengan perkahwinan. Perkahwinan itu fitrah, perkahwinan itu
sunnah. Mendirikan rumahtangga bermakna telah mendirikan sebahagian agama.
Tidak perlu mencari yang terlalu sempurna, tetapi berusahalah menjadikan pasangan
kita sempurna.
Tulang rusuk yang hilang pasti tidak akan tertukar
dan pasti akan kembali ke tempat asalnya, itulah janji Allah. Saya cuma
berharap agar tulang rusuk yang bakal kembali itu dapat membantu melindungi
hati saya daripada dimasuki perkara-perkara yang melalaikan,bahkan tulang rusuk
itu jugalah yang bakal memberi kekuatan kepada saya untuk tetap memperjuangkan
keimanan dan ketaatan kepada Yang Esa.
Mungkin jawapan yang saya berikan tidak seperti yang
saudari inginkan. Hanya ini yang mampu saya katakan. Sesungguhnya setiap patah
perkataan yang tertulis di kertas ini, telah pun kering dakwatnya di Luh
Mahfuz. Tumpukan perhatian kepada peperiksaan yang sedang diduduki. Jangan
biarkan hal ini merunsingkan fikiranmu. Segala yang baik datangnya daripada
Allah s.w.t dan kekurangan itu datangnya daripada insan lemah ini. Wassalam…
**********
Nurul melipat kembali warkah itu. Patutlah Izzat
hanya mendiamkan diri semasa pertemuan mereka yang tidak disengajakan minggu
lepas. Rupa-rupanya dia sudah menulisnya terlebih dahulu. Memang benar, Izzat
tidak menjawab terus apa yang disoalnya, namun setiap bait-bait kata yang
ditulis sudah cukup untuk mengukuhkan alasan untuk keputusan yang bakal dibuat.
Nurul tersenyum, dia yakin dengan keputusannya.
“Ya, tulang rusuk tidak akan tertukar!”
Haji Ahmad sangat bersyukur mendengar keputusan yang
dibuat oleh Nurul. Walaupun Nurul menetapkan beberapa syarat namun syarat
tersebut tidak memudarkan sedikitpun sinar kegembiraan di wajah ibu dan abah.
“Nurul setuju dengan lamaran ini. Tapi, Nurul nak
habiskan belajar dulu. Terpulang kepada pihak sana mahu tunggu ataupun tidak,”
tegas Nurul. Walaupun luarannya tegas, namun, hatinya hanya Tuhan yang tahu.
“Harap-harap dia sanggup tunggu. Kalau tak, makan hati berulam jantunglah
aku”, jenaka hati kecilnya.
Abah hanya mengangguk-anggukkan kepala. Ibu hanya
tersenyum di sebelah abah. Cincin lamaran telah disarungkan sendiri ke jari
manisnya. Cantik. Cocok benar dengan warna kulitnya yang putih gebu. Adiknya
Azim juga turut tersenyum sambil
mengenyitkan mata bundarnya. Mungkin gembira bagi pihak kakaknya barangkali.
Nurul tersenyum sendiri. Hatinya sudah lega. Syukur
Alhamdulillah, semuanya sudah selesai. Majlis pertunangan mereka akan
dilangsungkan pertengahan tahun hadapan, betul-betul selepas dia menamatkan
pengajian. Sengaja dipilih tarikh yang masih lambat itu kerana tidak mahu kelam
kabut. Tambahan pula dia sedang sibuk dengan projek tahun akhirnya. Pandangan
mata dialihkan ke sawah padi yang terbentang luas. Indah, nyaman, damai..Begitu
juga rasa hatinya.. Kebahagiaan sedang menanti di hadapan, semoga sempat
digapai dan akan kekal dalam pelukkannya sehingga akhir hayat, insyaAllah…