Dalam episod cinta takdir sering menguji kita. Mengapa aku mendapat suami yang begini?
Mengapa dia tidak setia? Bila masalah
melanda kita merasakan kitalah yang paling menderita. Mengapa aku yang menerima nasib begini?Kita
merasakan kitalah yang paling malang.
Hanya mulut mengaku Allah itu Tuhan tetapi mengapa dengan takdir-Nya kita enggan? Semacam terlupa kata
peneguhan di dalam al hadis dan Al Quran
bahawa besarnya masalah, beratnya ujian dan hebatnya cabaran... berkadar terus dengan kekuatan
iman.
Inilah hakikat yang mesti menjadi pegangan dalam menghadapi tragedi cinta di
dalam rumah tangga. Tragedi cinta
menjadi ujian iman dan tauhid sesetengah kita. Setiap orang ada medan ujiannya masing-masing. Dan untuk
isteri yang teruji dengan pasangannya,
sematkan di dalam dada... bahawa itulah takdir yang dipilih oleh Allah untuk menguji keimanan kita.
Bukankah sudah diungkapkan oleh sejarah, ada isteri yang baik diuji dengan suami yang
jahat seperti Siti Asiah isteri kepada
Firaun laknatullah. Bujukan Allah cuma satu, bergembiralah dengan pahala di sebalik ujian itu. Tenanglah
dengan jani-janji syurga. Ini bukan
'escapeism' tetapi itulah iman.
Yakinlah, bahawa cinta yang lebih besar sedang menguji cinta yang lebih
kecil. Cinta Allah sedang menguji cinta
kita kepada isteri atau suami.
Dan jika cinta yang kecil itu rapuh, jangan pula cinta yang lebih besar itu roboh.
Percayakan janji-janji Allah di akhirat
adalah penawar paling mujarab untuk menghadapi
keperitan ujian hidup di dunia. Ketika disiksa menjelang
kematiannya, Siti Asiah hanya memohon
kepada Allah untuk mendapat rumah di dalam
syurga. Jadi usah dikorbankan akhirat kita hanya kerana dipersiakan
oleh cinta kita di dunia.
Bagaimana sekiranya, cinta kita sudah dipersiakan? Pasangan kita seolah-olah
menjadi 'orang lain'. Bukan dia yang
kita kenal dahulu. Apakah ketika itu kita akan jadi panasaran? Habis segala laci, meja tulis, kereta atau
begnya kita selongkar. Telefon
bimbitnya, email, facebook dan apa sahaja milik peribadinya kita bongkar. Mencari dan menghidu kalau-kalau
terdapat bukti kecurangannya. Siang
malam diamuk gelisah. Kita bagaikan dirasuk.
Pada saat genting itu tekanlah butang 'pause'. Bertanyalah pada diri, apakah kita
masih menaruh harapan? Jika jawapannya
masih ya, maka nyalakanlah harapan itu – keep hope alife! Berusahalah untuk
memperbaiki diri. Dakap cinta Allah erat-erat. Moga perubahan itu membuahkan harapan yang akan merubah pasangan kita.
Tempuhlah jalan-jalan yang baik dan dibenarkan oleh syariat untuk membetulkan
keadaan. Jangan cuba membasuh najis
dengan air najis. Maksudnya, jangan gunakan jalan yang salah untuk membetulkan kesalahan pasangan kita. Nanti
keadaan akan bertambah buruk. Terimalah
takdir itu dahulu. Jangan mungkir. Kita tidak mungkin dapat mengawal arah tiupan angin, tetapi kita
masih mampu mengawal kemudi pelayaran.
Setelah berusaha sehabis daya... istirehatkan hati dan minda. Cuba tenangkan
perasaan. Dia bukan segala-galanya dalam
hidup yang singkat ini. Harapkan yang terbaik
tetapi bersedialah menghadapi yang terburuk. Jika terpaksa
kehilangan cinta itu bukan bukan bermakna
kehilangan segala-galanya.
Buat isteri yang diuji, ambillah masa untuk bersunyi-sunyi dengan Allah. Ketika
hati mu telah tenang tuliskanlah surat
ini. Surat buat menghadapi tragedi cinta...
Suami ku yang disayangi,
Surat ini ku tulis dengan hati yang terus menerus berdoa agar kau dan aku berjaya
mengatasi apa jua halangan dalam
perjalanan kita mendapat keredaan Allah. Hingga kini aku terus yakin jika kita mencari kebaikan, insya-Allah,
Allah akan memberikannya.
Terlebih dahulu ingin aku nyatakan bahawa dalam apa jua pergolakan dan ujian
yang telah berlaku sepanjang kita
berumah tangga, aku tetap menghormati mu.
Walaupun ada
masanya sikap dan kata-kataku terlanjur
dan terkasar, itu bukanlah kerana aku
sudah tidak menghormatimu apatah
lagi membencimu... tetapi semua itu
kerana terlalu sayang. Aku tidak mahu kehilangan dirimu sebagai
seorang suami seperti mana anak-anak
kita juga tidak mahu kehilangan
kasih-sayang seorang ayah.
Maafkan aku. Akulah yang lebih banyak bersalah dan tidak bijak menghadapi
ujian rumah tangga ini. Sesungguhnya
sejak dari dulu hingga sekarang aku menagih pimpinan dan panduanmu. Pimpinlah aku untuk menjadi isteri
yang solehah dan ibu yang baik kepada
anak-anak kita. Aku tidak mahu berpisah dengan semua kesayangan ku ini. Oleh sebab itu aku merayu
agar aku terus disayangi, dilindungi,
dipercayai dan dipimpin untuk menjadi wanita yang benar-benar menjadi penyeri hidup seorang
suami dan anak-anak.
Kebahagiaan kita sekeluarga berada di tangan mu. Dikaulah yang menjadi peneraju
dan nakhoda rumah tangga ini. Aku tahu
tugas dan amanah ini sangat berat. Ia menagih keikhlasan, keimanan dan kejujuran yang tinggi daripada
mu. Aku sedar apa yang akan ditanyakan
Allah di Hari Akhirat kelak kepada seorang suami sebagai pemimpin jauh lebih berat dan sukar dijawab
berbanding pertanyaan Allah kepada
seorang isteri. Aku tahu tangung jawab mu sangat berat. Jadi aku sentiasa sedia dan setia berada di sisi mu
untuk sama-sama mengharungi kepayahan
ini.
Marilah sama-sama kita insafi bahawa hakikatnya umur kita kian bertambah, upaya
dan tenaga kita semakin kurang, tetapi
perjalanan kita masih jauh dan beban kita semakin memberat. Amanah yang ada pun belum selesai
kita tunaikan, apatah lagi untuk menambah
beban yang baru. Aku bimbang... kita berdua akan kecundang.
Oleh sebab itulah aku sering mengingatkan diriku dan dirimu, marilah kita
kembali menilai peranan dan tanggung
jawab kita masing-masing. Aku sebagai seorang isteri dan kau sebagai seorang suami... Marilah kita
sama-sama bermuhasabah, apakah kiita
telah melaksanakan amanah yang kita janjikan di hadapan Allah ketika kita mula bernikah dahulu?
Pernikahan disamakan dengan mendirikan masjid. Begitu sucinya ikatan
perkahwinan dalam Islam. Ia bukan dibuat
hanya kerana untuk melepaskan hawa nafsu semata-mata. Jika itulah sahaja niat kita berkahwin, maka
apakah yang membezakan manusia dengan
haiwan? Tetapi sebaliknya, Islam meletakkan hubungan sah antara suami dan isteri sebagai suatu yang sangat
tinggi dan suci.
Ia bukan sahaja perkongsian fizikal, tetapi perkongsian fikiran, perasaan dan jiwa
untuk sama-sama berbakti kepada Allah.
Rumah tangga hakikatnya adalah sebuah masjid... Di dalam masjid orang solat, berzikir, membaca Al
Quran, mendengar tazkirah kuliah dan
laian-lain ibadah.
Aku rindukan semua itu. Tetapi kerinduan itu tidak akan kesampaian tanpa
bimbangan darimu. Aku lemah wahai suami
ku.
Pimpinlah aku untuk mendapat kasih sayang Allah
melalui aliran kasih sayangmu. Engkaulah
harapan aku dan anak-anak. Kami
hakikatnya telah diserahkan oleh Allah sebagai amanah kepada dirimu untuk disayangi di dunia dan di akhirat.
Janganlah disia-siakan amanah ini. Kelak
buruk padahnya kepada kami dan kepada mu jua. Relakah engkau melihat kami terkapa-kapa di dunia ini tanpa
pimpinan? Dan di akhirat terhumban ke
neraka yang penuh seksaan?
Suami ku,
Atas kebimbangan itu kekadang aku jadi cemburu. Bila ku lihat langkah dan sikap
mu sedikit terbabas, aku menjadi sangat
cemas. Bila ku lihat kau seakan-akan berubah, aku menjadi sangat gelisah. Bukan kerana benci, tetapi
kerana sayang. Mengapa tidak? Bukankah
di tangan kamu kemudi rumah tangga ini.
Kesilapan dan kesalahan mu sangat buruk akibatnya kepada kita sekeluarga. Jadi,
fahamilah hati isteri mu ini wahai suami
ku... Curiga ku bukan kerana prasangka. Cemburu ku bukan kerana melulu. Jauh sekali untuk mengawal dan
memperbudak-budakan. Tetapi sekadar
ingin mengingatkan bahawa kebakaran yang memusnahkan selalunya berpunca hanya daripada percikan
api!
Di antara kita adalah Allah. DIAlah zat yang Maha Melihat, Maha Mendengar dan
Maha Adil. Manusia tidak akan dapat
mengawal dan memantau manusia lain setiap masa dan ketika. Kini aku pasrah kepada Allah. Aku lelah dan kalah
untuk meneliti dan memeriksa di seluruh
penjuru. Aku tidak dapat mengawal hati mu dan kau juga tidak dapat mengawal hatiku.
Hati kita berdua, Allahlah yang menjadi pemantaunya. Menyedari hakikat ini,
aku kini hanya fokus untuk memperbaiki
diri. Aku ingin memperbaiki hubunganku dengan Allah dan memperbaiki hubunganku dengan sesama manusia.
Aku yakin Allah tidak akan
mengecewakanku. Dan aku juga yakin Allah akan terus memberi kebaikan-Nya kepadaku melalui dirimu.
Marilah sama-sama kita perbaiki diri kita atas keyakinan rumah tangga ini perlu
terus diselamatkan dan dimeriahkan. Jika
benar itu masih menjadi harapan dan keyakinan kita, insya-Allah, pasti Allah akan tunjukkan
jalan-jalan-Nya. Dalam hidup ini kita
tidak boleh dapat semua perkara dalam satu masa. Bila kita mendapat sesuatu, pasti pada masa yang sama
kita akan kehilangan sesuatu yang lain.
Jadi marilah sama-sama kita pastikan apa yang kita dapat lebih berharga dan lebih baik berbanding apa
yang kita terpaksa lepaskan.
Oleh itu jika kita ingin mendapat rumah tangga yang bahagia, kita terpaksa
belajar 'melepaskan' perkara-perkara
lain. Rumah tangga kita adalah keutamaan. Ia amanah Allah, harapan kita dan anak-anak kita.
Sebaliknya, segala kesukaan atau
keseronokan kita yang lain mungkin terpaksa kita korbankan demi
membina kebahagiaan ini.Inilah
pengorbanan.
Tanpa pengorbanan tidak akan ada kebahagaiaan. Kita akan rela dan tega
berkorban jika kita benar-benar inginkan
rumah tangga ini berjaya. Jika tidak, kita terpaksalah mengorbankan rumah tangga ini... Apakah ini
berbaloi? Tidakkah ini seperti kata
pepatah, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran? Atau mendengar guruh di langit, air tempayan
dicurahkan?
Suami ku,
Tipuan dunia dan godaan nafsu ini sangat memberangsangkan. Syaitan sentiasa
menghias bibit-bibit dosa-dosa dengan
segala keindahan dan kecantikan. Sekali kita terjerumus, payah untuk bebas kembali. Selagi yang diburu tidak
tercapai, selagi itulah kita lelah
mengejarnya. Tetapi setelah kita mendapat, ada yang lain pula datang menggoda. Apa yang ada jarang
disyukuri, apa yang tiada itulah yang
kita risaukan. Kita akan lesu kerana asyik memburu.
Mengejar nafsu itu bagai mengejar bayang-bayang. Dilihat ada tetapi apabila
digenggam ia hilang... di hujung
percarian itu pasti ada lesu dan jemu. Kehendak nafsu tidak ada
batas dan tidak pernah puas. Padahal
kematian itu boleh datang tiba-tiba.
Relakah kita tertipu mengejar fatamorgana hanya kerana dari jauh ia kelihatan umpama air yang tergenang?
Aku mengingatkan diri ku dan diri mu kerana sayang. Aku selalu bertanya pada diri
sendiri, relakah aku mengorbankan rumah
tangga ini hanya untuk mengejar sesuatu yang tidak pasti? Aku terpaksa melepaskan salah satunya.
Dan insya-Allah, buat selamanya aku
lebih sanggup melepaskan apa dan sesiapa sahaja, asalkan jangan melepaskan kebahagiaan rumah tangga
ku. Itulah yang ada di hatiku. Dan
itulah jua yang aku harapkan, doakan ada dalam hati mu.
Jika dalam surat ini ada kesedihan... ia bukan kekecewaan tetapi itu hanya harapan.
Jika dalam surat ini ada teguran... itu
bukan kebencian tetapi itu hanya peringatan, buat ku dan buat mu jua. Namun, ku akui dalam surat ini
terlalu banyak doa dan harapan. Doa ku
hanya pada Ilahi. Dan harapan ku tetap untuk mu suami. Jika air mata itu berkesan, nescaya akan
tulis surat ini dengan air mata. Bukan
air mata kecewa tetapi air mata harapan...
Ku harap kau membaca surat ini dengan hati yang terbuka. Bayangkan semula
harapan dan cita-cita kita seawal kita
memutuskan untuk berkahwin dahulu. Saat indah itu telah berlalu tetapi keindahan itu akan menjelma
semula dalam bentuk baru jika kita
berusaha untuk merealisasikannya. Dalam perkahwinan yang baik, seorang lelaki dan wanita sentiasa mencari
ruang dan peluang untuk memperbaiki
dirinya demi orang yang disayanginya.
Dan sekalipun dalam perkahwinan yang paling bermasalah, penawar yang mujarab
adalah kebenaran. Menyatakan kebenaran
kepada pasangan adalah kaedah terbaik untuk membuktikan cinta adalah lebih utama daripada satu pendustaan!
Mohon berundur dulu. Pasangan yang bahagia bukanlah tidak pernah membuat
kesilapan. Tetapi mereka tetap bahagia
kerana mereka sentiasa belajar mengakui kesilapan itu dan belajar daripadanya... dan akhirnya
melupakannya! Itulah aku kini.
Ku akui
kesilapan ku dan aku sedang memperbaikinya dan aku ingin melupakannya...
Suami ku, aku masih menaruh harapan. Insya-Allah,
kau masih sudi membantu aku untuk itu! Amin.