Kehidupan seharian kita tidak akan lari daripada dua
perkara, sama ada berada dalam maksiat atau taat.
Apabila Rasullulah s.a.w menyebut
"[I]halawah-al-iman[/I]" (kemanisan iman), fahamlah kita bahawa iman
itu manis. Taat kepada Allah itu manis. Membaca Al-Quran, solat berjemaah,
menghadiri majlis ilmu, qiamullail dan sebagainya, semua itu manis.
Namun, kenapa sukar benar merasai kemanisan ini?
Mungkin kerana hati kita sedang berlazat-lazat
dengan maksiat hinggakan maksiat itu terasa manis. Maka, hilanglah lazat dalam
ketaatan. Bahkan ketaatan terasa tawar dan pahit. Taat dan maksiat takkan
bertemu dalam situasi hati yang sama.
Persoalannya, lazat sangatkah maksiat sehingga
kebanyakan kita lebih sanggup memilih maksiat berbanding taat? Terlalu banyak
akibat maksiat yang akan menekan kita setelah melakukannya.
Tika itu, masih lazatkah jiwa? Mari kita telusuri
beberapa akibat maksiat.
01.Tidak
Memberi Cahaya dalam Hidup
Usia remaja seharusnya difokuskan untuk
mempersiapkan diri dengan ilmu bersungguh-sungguh. Seterusnya proses menuntut ilmu itu berterusan
sehingga ke liang lahad.
Namun, jika hidup disibukkan dengan maksiat, masih adakah
ruang untuk ilmu melekat?
Mungkin ada yang keliru, "Kenapa ada kawan saya
ni, Nampak enjoy je selalu, tapi bila peperiksaan dapat cemerlang juga?"
Banyak tafsiran yang boleh dibuat daripada situasi
ini.
Remaja itu mungkin tidak nampak bila kawannya
belajar. Menjadi sunnatullah, sesiapa yang berusaha dia akan dapat.
Walaubagaimanapun, sesiapa yang berusaha mendapatkan
ilmu dalam keadaan dia bergelumang maksiat, ilmu itu tidak akan memberi cahaya
dalam hidupnya untuk mencapai kedudukan yang mulia di sisi Allah sama ada di
dunia ataupun akhirat.
Kalau begitu pun kawannya cemerlang tanpa belajar
malah sibuk dengan maksiat lagi, maka haruslah difahami bahawa itu nasibnya
ketika itu sahaja. Sikap itu tidak akan menjamin kejayaannya pada masa-masa
akan datang.
Sijil yang bakal digenggamnya hanya melambangkan
ilmunya sekadar teori tanpa kualiti. Tidak akan ada berkat. Tidak akan ke
mana-mana.
Jadi kenapa remaja harus memilih untuk meniru
maksiatnya? Apakah perlu untuk cemerlang sepertinya dengan melakukan maksiat?
Sah, kena tipu dek syaitan!
Imam al-Syafi' pernah mengadu kepada gurunya Waki'
mengenai hafalannya yang terjejas. Waki' lantas menasihatkannya, "Tinggalkan
maksiat."
02.Disempitkan
Hidup
Sama ada kita kaya atau miskin, jika kita suka
berlazat dengan maksiat, hidup akan terasa sempit.
Wahai remaja, adakah anda melihat seorang pemimpin
berwibawa yang skandal seksnya terbongkar itu tenang hidupnya?
Adakah si miskin yang mencari rezeki dengan mencuri
itu tenang hidupnya?
Adakah artis terkenal yang bebas berkepit dengan
mana-mana pasangan itu tenang hidupnya?
Tidak! Tidak! Jiwa mereka akan jatuh miskin kerana
maksiat. Jiwa mereka gersang. Yang ada hanyalah kerisauan dan kesepian hati.
Jika tujuh gunung emas dibentangkan di hadapannya,
ia takkan mampu menjadi penawar terhadap kebimbangannya akibat daripada
maksiat.
Bukan sahaja Allah akan menghukum, malah di dunia
lagi masyarakat akan menghukumnya. Tekanan akan lebih membunuh jiwanya apabila ditikam perasaan terasing.
Lebih-lebih lagi apabila keluarga dan rakan baik
mula menjauhkan diri darinya. Dia tentu bertambah sukar menghindari maksiat
malah mungkin mencari penyelesaiannya dengan maksiat baru pula.
Maksiat itu bukan sahaja menyempitkan jiwa malah
menyempitkan harta. Dalam Musnad Imam Ahmad diriwayatkan bahawa Rasulullah
s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya seseorang hamba tidak akan
mendapat rezeki kerana dosa yang dilakukannya."
Jelas ketaatan itu melimpahkan kekayaan, sebaliknya
maksiat mendorong kepada kefakiran jiwa dan harta. Bukan itu sahaja, penggemar
maksiat akan menemui kesulitan dalam urusannya dan jalan buntu dalam banyak
perkara.
03.Melemahkan
Hati dan Badan
Kekuatan Mukmin adalah pada hatinya. Ia raja kepada
anggota badan. Apabila hatinya kuat, maka anggotanya kuat dan tindakannya juga
bermanfaat.
Ahli maksiat, biarpun badannya kuat tetapi hatinya
lemah dan sentiasa gelisah. Bayangkan kekuatan orang Parsi dan Rumawi yang
tamadunnya sangat pesat dan memiliki kekuatan perang yang lengkap namun dapat
ditundukkan oleh generasi para sahabat yang lebih kuat hatinya.
Abdulah bin Abbas berkata: ''Sesungguhnya pada
kebaikan itu ada cahaya pada wajah, sinar pada hati, kelapangan pada rezeki dan
kekuatan pada badan serta kecintaan di hati ramai orang terhadap dirinya'' .
Paling menakutkan, ahli maksiat akan dihukum Allah
dalam bentuk lemah anggota badannya untuk melaksanakan ketaatan, terputus
jalan-jalan kebaikan baginya dan kemudian mati dalam kemaksiatan. Sewaktu
dibangkitkan kelak, diri pasti mengeluh kesal.
"Aduhai, sekiranya dulu aku berbuat sesuatu
untuk hidupku sekarang ini" (surah al-Fajr 89:24).
Sama-sama kita muhasabah semula diri kita. Lihat
sejauh mana kemaksiatan dalam diri yang masih menghalang dari kita untuk
mendapat keberkatan dalam diri. Wallahua'lam.