Dengan nama Allah, Yang Maha
Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan yang Memelihara
dan Mentadbirkan sekalian alam. (Al-Fatihah 1:2)
Segala
Puji-pujian bagi Allah
Ria adalah "perasaan ingin dipuji oleh orang
lain". Membuat sesuatu untuk dipuji adalah di larang dalam Islam dan
perbuatan ini menggambarkan pelaku mempunyai sifat riak.
Melakukan riak hanya merugikan dan
mengundang pelbagai masalah. Fahamilah hadis berikut:
"Diriwayatkan daripada Jundub
al-Alaqiy r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang (melakukan satu
amalan) supaya orang menghormatinya, Allah akan menunjukkan aibnya dan sesiapa
yang (melakukan suatu amalan kerana) ingin menunjuk-nunjuk kepada manusia,
Allah akan memperlihatkan kecacatannya"(Bukhari & Muslim: 1720)
Abu Darda' Ridzwanullah 'alaihim
meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda mafhumnya:
"Menghindarkan amal dari
digembar-gemburkan (diceritakan kepada orang lain), mengerjakannya lebih sukar
dari mengerjakan amal itu sendiri. Seseorang mungkin melakukan suatu amal
(soleh) lalu dicatat sebagai amal soleh yang dibuat secara "sir"
(senyap-senyap). Dengan itu pahala ganjarannya dilipat-gandakan sebanyak tujuh
puluh kali ganda. Tetapi syaitan tidak membiarkannya. Syaitan terus merasuknya
sehingga ia menceritakan dan menyatakan kepada orang lain. Maka catatan amal
itu pun ditukar kepada catatan amal
alaniah (terang-terang). Dengan itu ganjaran pahalanya (sebanyak tujuh
puluh kali ganda) dihapuskan. Kemudian syaitan terus mendesak orang tersebut
agar menyatakan lagi bagi sekian kalinya tentang amalnya. Maka ia sendiri pun
suka kalau disebut-sebut hal itu dan
terus menerus dipuji. (Akibatnya) catatan amalan tersebut sebagai perbuatan
amal alaniah dipadamkan dan ditulis sebagai perbuatan riak. Sebab itulah orang
yang paling bertakwa ialah orang yang paling melindungi agamanya. Sesungguhnya
riak adalah syirik" (Hadis riwayat Baihaqi)
Pujian
kepada manusia
Sebagai asasnya, mari kita lihat
beberapa nas hadis dalam isu berkaitan. Diriwayatkan dalam sebuah hadis :-
عَنْ أبي مُوسَى قال سَمِعَ النبيُّ رَجُلاً
يُثْني عَلَى رَجُلٍ ويُطْرِيه في المِدْحَةِ فقال أهْلَكْتُمْ أوْ قَطَعْتُمْ ظَهْرَ
الرَّجُلِ
Artinya : Rasulullah s.a.w mendengar
seorang lelaki memuji lelaki lain dan berlebih-lebih dalam pujiannya maka
Rasulullah s.a.w : Kamu telah merosakkannya dan telah memotong belakangnya
(seolah-olah) " ( Riwayat Al-Bukhari, no 2663 )
Sebahagian para ulama mentakwilkan
maksud hadis ini kepada pujian kepada yang tidak layak , dan mengada-adakan
yang tidak benar sehingga orang yang dipuji merasa benar sentiasa, juga merasa
hebat. (Umdah al-Qari, 22/132 )
Imam Al-Khattabi ketika menghuraikan
hadis di atas berkata :-
فَأَمَّا مَنْ مَدَحَ الرَّجُل عَلَى الْفِعْل
الْحَسَن تَرْغِيبًا لَهُ فِي أَمْثَاله وَتَحْرِيضًا لِلنَّاسِ عَلَى الِاقْتِدَاء
بِهِ فِي أَشْبَاهه , فَلَيْسَ بِمَدَّاحٍ
Artinya : Barangsiapa yang memuji
seseorang atas perbuatan baik yang dilakukannya dengan tujuan untuk
menggalakkan lagi kerja baiknya dan mendorong orang lain berbuat yang sama
sepertinya, maka ia TIDAKLAH TERMASUK dalam kategori "maddah" iaitu
yang pemuji terkeji" ( Ma'alim as-Sunan)
Walau apa jua takwil, teks hadis ini
juga merangkumkan segala jenis pujian benar di hadapan orang yang dipujinya.
Pengajaran dari hadis sudah tentu jangan terlalu banyak memuji orang
dihadapannya walalupun pujian itu adalah BENAR DAN IKHLAS kerana ia tanpa
disangka boleh membawa perasaan lupa diri, dan menghilangkan ikhlas dalam
kerja-kerja yang dilakukannya.
Namun begitu, tidak boleh dinafikan
Islam membenarkan pujian secara berdepan dalam situasi-situasi tertentu dan
kepada individu tertentu. Situasi tertentu seperti :-
a. Orang yang kehilangan keyakinan
diri dalam buat perkara baik. Tatkala itu, kita ungkit kebaikkan tindakannya
untuk beri kembali semangat dan ada orang yang menghargai kerja baiknya.
b. Orang yang melakukan tugasan kebaikan yang
sukar, berisiko dan manfaatnya tersebar luas. Tatkala itu, boleh diberikan
pujian atas keberaniannya dan berniat agar ia mampu dicontohi oleh orang lain.
c. Individu yang layak dicontohi dan diyakini
punyai kekuatan iman yang baik dari tergoda dengan sifat 'ujub (ta'ajub dengan
kehebatan diri). Tatkala itu, harus memujinya dengan pengetahuannya. Tujuan
utama agar orang boleh mengenali siapa yang wajar dijadikan role model dan
contoh ikutan. Hal ini jelas adalah nabi s.a.w memuji secraa terangan beberapa
sahabat sebagaimana Nabi memuji Ubadah Al Jarrah sebagai ( Aminul Ummah )
individu yang paling jujur dari umat Muhammad, dan pujian kepada Umar
al-Khattab r.a :
لو سلك عمر بن الخطاب طريقاً لسلك الشيطان
طريقاً آخر
Artinya : Sekiranya Umar melalui
satu jalan, maka Syaitan akan melalui jalan yang lain ( kerana tidak berani
jalan di laluan Umar atau bertembung dengannya') ( Riwayat Al-Bukhari)
Dan juga sebuah lagi hadis :-
ما طلعت الشمس على رجل خير من عمر
Artinya : Tiadalah terbitnya
matahari ke atas seorang lelaki yang lebih hebat dari Umar " ( Riwayat
Al-Hakim, 3/96 ; Sohih isnadnya)
Hadis ini bersifat simbolik
menunjukkan kekuatan cahaya kebaikan yang dibawa oleh Umar r.a kepada umat
Muhammad s.a.w. Sebenarnya terlalu banyak hadis-hadis yang menunjukkan pujian
baginda kepada para sahabatnya terutamanya sahabat-sahabat besar seperti Abu
Bakar, Umar, Uthman, Ali, Ibn Abbas, sepuluh sahabat yang dijamin syurga dan
ramai lagi. Semua mereka berkelayakan dan kukuh imannya.
d. Kanak-kanak dipuji oleh guru dan
ibu bapanya bagi merangsang minda dan keyakinan diri si kanak-kanak.
e. Pemimpin yang telus, adil, amanah
dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan oleh Allah
s.w.t dengan kadar sederhana.