Ku cinta Dia. Kita mencintai Allah
SWT. Adakah sekadar kata-kata cukup sebagai bukti?
" Tidak, cinta kepadaNya tidak
terbukti hanya melalui kata-kata. "
Hasan Al-Basri rahimahullah berkata:
Para sahabat Nabi SAW berkata: "
Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kami amat mencintai Allah SWT. " Kemudian
Allah SWT mahu menjadikan tanda yang menunjukkan kecintaan kepadaNya. Dengan
itu Allah SWT menurunkan ayat berikut:
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ
اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ
وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu
mencintai Allah SWT maka ikutilah aku.
Nescaya Allah SWT mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.
(Ali 'Imran: 31)
Dari Abu Hurairah RA katanya :
Rasulullah s.a.w. bersabda :
Sesungguhnya Allah SWT berfirman:
" Barangsiapa memusuhi kekasihKu, maka Aku memberitahu kepadanya bahawa
dia akan Aku perangi. Dan tidaklah seseorang hambaKu itu mendekatkan diri
kepadaKu dengan sesuatu yang amat Aku cintai lebih daripada apabila dia
melakukan apa yang telah Aku fardhukan kepadanya. Dan tidaklah seseorang
hambaKu itu mendekatkan diri kepadaKu dan melakukan perkara sunnah sehingga
akhirnya Aku mencintainya. Maka apabila Aku telah mencintainya, Akulah
telinganya yang dia gunakan untuk mendengar, Akulah matanya yang dia gunakan
untuk melihat, Akulah tangannya yang dia gunakan untuk mengambil dan Akulah
kakinya yang dia gunakan untuk berjalan.
Andaikata dia meminta sesuatu kepadaKu pastilah Aku beri, dan andaikata dia
memohon perlindungan kepadaKu pastilah Aku lindungi. "
(Riwayat Bukhari)
Saidina Umar al-Khattab r.a. pernah
berkata :
" Amalan yang paling afdhal
ialah melaksanakan amalan yang difardhukan oleh Allah SWT, menjauhi perkara
yang diharamkanNya dan benarnya niat untuk mendapatkan apa yang ada di sisi Allah
SWT semata-mata. "
Al-Quran
Di antara perkara sunat utama yang
dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT ialah membaca Al-Quran dan mendengarnya
dengan penuh tafakkur, tadabbur serta memahaminya.
Firman Allah SWT :
يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ
جَاءَتْكُمْ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى
وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ
Wahai manusia! Sesungguhnya telah
datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhankamu, dan
penawar bagi penyakit dalam dada kamu, dan hidayah petunjuk (untuk
keselamatan), serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.
( Surah Yunus: 57)
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
" Bacalah Al-Quran kerana ia
akan memberi syafaat(pertolongan)kepada sesiapa yang membacanya pada hari
akhirat kelak. "
Bukti DicintaiNya
Apabila seorang hamba dicintai oleh
Allah SWT, maka ada buktinya dan ada tandanya.
Telinganya, hanya mendengar sesuatu
yang berupa ketaatan kepada Allah SWT, tidak atas dorongan hawa nafsu dan
syaitan.
Pandangan matanya, sentiasa dalam
ketaatan kepada Allah SWT, jauh daripada
dorongan kebinasaan hawa nafsu dan syaitan.
Tangan kaki dan pergerakannya,
sentiasa dalam ketaatan kepada Allah SWT, bukan kemaksiatan kepadaNya.
"Kita muhasabah diri. Adakah
terdapat pada diriku bukti-bukti itu? Adakah aku dicintaiNya?"
Asy-Syaukaani berpendapat :
" Allah SWT memberi kepada
anggota-anggota tersebut nur-Nya (cahaya) yang menyuluh jalan hidayah dan
menghindarkannya daripada kesesatan. "
Siapa Bertakhta Di Hati ?
Firman Allah SWT :
قُلْ إِنْ كَانَ أبَآؤُكُمْ
وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ
اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا
أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ
فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ
الْفَاسِقِينَ
Katakanlah: " Jika bapa-bapa,
anak-anak , saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan
yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat
tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah SWT dan
Rasul-Nya serta berjihad di jalan-Nya,maka tunggulah sehingga Allah SWT
mendatangkan keputusan-Nya ". Dan Allah SWT tidak memberi petunjuk kepada
orang-orang yang fasiq. "
(At-Taubah: 24)
Kecintaan kepada Allah pasti
membuahkan cinta kepada teman hidup dan keluarga. Cinta insani itu adalah buah
daripada cinta kepada Allah SWT. Kecintaan kepada teman hidup dan keluarga
perlu didasari dengan cinta kepada Allah SWT.
Kebahagiaan bergantung kepada
sesuatu yang menjadi neraca nilai. Andai syara' diambil sebagai neraca nilai,
kebahagiaan anugerah Allah SWT pasti bersama. Kebaikan adalah apa yang syara'
tetapkan sebagai baik. Keburukan adalah apa yang syara' tetapkan sebagai buruk.
Kehidupan dan interaksi indah dihiasi dengan nilai Islam.
Tiada ketaatan kepada makhluk dalam
perkara maksiat kepada Pencipta. Allah Al-Khaliq. Harta adalah ujian. Andai
dimanfaatkan ke jalan Islam, Insyaallah ianya adalah amal yang akan
menghadirkan cinta Allah SWT. Jika yang sebaliknya berlaku, pasti mengundang
kemurkaan dan azabNya.