"Yang paling kukuh keimanan
ialah berkawan kerana Allah, bermusuhan kerana Allah, cinta kerana Allah dan
membenci kerana Allah." - Hadis Riwayat Tabarani dari Ibnu Abbas r.a
Mengapakah teruna memilih gadis
jelita? Kata orang, gadis seperti ini menyejukkan serta menggembirakan hati.
Betulkah begitu?
Gadis itu pada asasnya bererti wanita
yang belum bernikah.
Walaupun begitu, perkataan 'gadis'
juga digunakan bagi menggambarkan kesucian seseorang wanita.
Wanita yang sudah ternoda sebelum
berkahwin digelar 'sudah tiada gadis' atau 'sudah tiada dara'.
Umumnya, pengertian pertama iaitu
wanita yang belum bernikah digunakan secara formal sedangkan yang kedua itu
adalah gelaran yang diberikan secara berbisik-bisik.
Alam gadis merupakan alam yang paling
manis bagi seseorang wanita.
Semasa inilah seseorang wanita itu
akan mencapai tahap mekarnya dan keayuannya. Pada masa inilah wanita itu mula
dipanggil 'bergetah' jika kita hendak meminjam bidalan Soekarno.
Bila dipandang, banyak hati lelaki
akan tergoda.
Ada gadis yang 'boleh tahan' dan ada
gadis yang 'tak boleh tahan'. Gadis yang 'boleh tahan' biasanya dianggap manis
tapi tidaklah jelita.
Yang 'tak boleh tahan' pula adalah
gadis yang sungguh cantik menawan. Ramai lelaki yang tergoda kepada gadis 'tak
boleh tahan' ini apatah lagi jika gadis itu sendiri pandai pula menggoda dan
mempermainkan perasaan lelaki.
Tidak dapat dinafikan bahawa lelaki
teruna sememangnya tertarik pada rupa dan bentuk fizikal gadis.
Itulah yang menjadi asas mengapa mereka
lebih memberi perhatian.
Ada orang berpendapat bahawa gadis
yang cantik lebih beruntung kerana lelaki melayaninya dengan lebih baik, mesra
dan lemah-lembut.
"Janganlah sekali-kali seorang
lelaki berduaan saja dengan seorang wanita, melainkan dengan didampingi seorang
muhrim." (Hadis riwayat Bukhari dari Ibnu Abbas r.a.)
Biasanya teruna akan terpikat dan
terpesona dengan kecantikan si gadis dahulu, kemudian barulah si teruna
menyelidiki perangai si gadis.
Ini menyebabkan ramai lelaki
terperangkap, menyesal atau menderita, terutamanya bila sudah terlanjur dan
tidak boleh berundur lagi sedangkan baru tahu bahawa si gadis itu teruk
perangainya atau sudah ternoda.
Walaupun 'mata yang belum berisi
pengalaman' itu tertarik pada rupa yang cantik, sebenarnya jodoh bagi hati adalah
hati juga, bukannya rupa.
Maksudnya pada akhirnya gadis yang
hatinya paling suci sesuci hatinyalah yang dipilih oleh teruna untuk dikahwini.
Berikut adalah petua-petua sekiranya
anda ingin memilih gadis jelita menjadi isteri anda
Elakkan Dari Berkawan Dengannya
Dengan merapati dan berkawan dengan
si gadis, kecantikan hati ini sebenarnya sukar untuk dinilai oleh lelaki.
Selalunya yang dilihat semuanya 'baik, sopan dan elok' apatah lagi pada masa
itu sang teruna sedang mahu, dia hanya nampak yang elok. Si gadis pula mungkin
hanya berpura-pura jadi baik dan sopan untuk memikat teruna. Itulah sebabnya
ada yang membidalkan bahawa:
'Yang bercahaya tidak semestinya
emas' dan 'yang cantik tidaklah semestinya permata'. Maka elakkan dari berkawan
dengannya untuk mengelakkan anda dari terpesona dan terpedaya.
Lakukan Risikan Secara Rahsia
Kecantikan hati biasanya boleh
dinilai oleh pengamatan rahsia si teruna bersama keluarga teruna terhadap si
gadis.
Risikan rahsia ini adalah untuk
mengetahui bagaimanakah tingkahlaku si gadis itu bila dia berada bersama
keluarganya sendiri.
Adakah si gadis dari jenis yang suka
berjalan, bergaul bebas, atau suka menolong ibunya memasak, rajin berkemas dan
taat dalam beribadat akan dapat ditentukan dengan lebih jelas.
Pihak teruna juga boleh mengetahui
perihal moral si gadis dengan menyelidiki ke manakah si gadis itu suka pergi di
hujung minggu atau di masa lapangnya.
Jika dia gemar pergi ke tempat yang
kurang baik, besar kemungkinan dia mempunyai sifat-sifat yang kurang baik pula.
Walaupun pada asasnya cara
menyelidik begitu, atau dipanggil 'merisik' ini tidak begitu disukai oleh si
gadis sendiri, ia adalah jalan yang dianggap lebih baik dari cara berkawan
dengan si gadis, membawanya ke mana suka, dan 'menyelidik' dengan bertanya pada
gadis itu atau hasil memperhatikan tingkah lakunya di depan mata.
Cari Yang Pandai Mengurus Rumahtangga
Pada zaman sekarang, masa remaja si
gadis bererti masa sebagai pelajar sekolah menengah, pra-universiti dan pusat
pengajian tinggi.
Bagi gadis-gadis ini, masa untuk
mereka belajar menjadi 'wanita' dari ibu adalah amat terhad, jika ada,
praktikannya hanya dalam jangkamasa pendek. Kesempatan untuk berada di dapur
amatlah terhad pada hujung minggu serta semasa cuti.
Akibatnya, semakin ramai gadis yang
berorientasikan kerja makan gaji dan tidak berorientasikan mengurus
rumahtangga.
Cari Yang Hormat Kepada Orang Tua
Selidiklah apakah dia gadis yang
tahu menghormati orang tua.
Ini penting kerana dia nanti akan
bersua, bertandang ataupun duduk bersama ibu bapa anda.
Walau betapa cantik pun dia, jika
dia tidak menghormati ibu dan bapa mertuanya, dia akan menyebabkan anda menjadi
serba-salah dalam menangani kehidupan anda.
Cari Yang Pandai Menjaga Kehormatan
Hal ini juga dapat diperhatikan di
kalangan gadis-gadis yang tidak begitu berjaya dalam pelajaran. Lebih ramai
yang suka bekerja makan gaji dari membantu ibu di rumah atas alasan meringankan
beban keluarga.
Bagi gadis yang mudah 'lupa' masa
inilah mereka akan jadi rosak.
Mereka akan keluar dengan lelaki
tanpa segan silu, mula memakai pakaian yang ketat dan menjolok mata serta
belajar berbagai cara dari rakan sebaya untuk memikat lelaki.
lbubapa yang tidak mengawasi
gerak-geri anak gadisnya mungkin akan menyebabkan gadis itu menjadi gadis
murahan.
Cari Yang Tidak Bebas Dengan Lelaki
Pada zaman dahulu, ada ibu bapa yang
sengaja tidak menghantar anak perempuannya ke sekolah.
Takut nanti jadi perempuan jahat
akibat dapat bergaul dengan lelaki secara bebas.
Bila zaman semakin moden, pemikiran
cara ini dianggap sudah usang.
Ramai pula menganggap adalah lebih
baik bagi wanita bersekolah asalkan saja di sekolah dia dilengkapi dengan input
tatasusila dan adat apatah lagi agama.
Cari Yang Didikan Agamanya Cukup
Beredarnya zaman perlu mengambil
kira faktor sekeliling si gadis. Jelas pada kita bahawa cara hidup gadis
sekarang sudah jauh berbeza berbanding gadis satu atau dua dekad silam.
Namun, dari sudut nalurinya adalah
sama saja. Zaman gadis adalah zaman mencari identiti dan cuba mengekalkan
identiti itu.
Jika terdedah dia kepada yang buruk
maka buruklah jadinya.
Walaupun begitu, gadis yang mendapat
didikan yang baik besar kemungkinan akan menjadi wanita yang berguna kepada
negara dan agama malah boleh menjadi contoh teladan sama ada kepada wanita
mahupun lelaki.
Cari Yang Berpegang Teguh Pada Suruhan Agama
Ada empat sebab utama mengapa teruna
memilih seseorang gadis, kerana kecantikannya, kerana hartanya, kerana
keserasian taraf dan kerana agama.
Yang akan membahagiakan ialah
memilih gadis yang beragama.
Dimanakah letaknya nilai gadis yang
cantik? Letaknya ialah pada keimanan gadis itu.
Jika dia cantik dan dia pula
beriman, berharta dan setaraf pula, maka dialah yang masuk ke dalam kategori gadis
yang 'tak boleh tahan'.
Tapi sedarlah, dia akan memilih
lelaki yang baik-baik pula!