"Mari ku ajarkan mu tentang
ikhlas," kata seorang guru kepada muridnya.
"Nanti saya ambilkan buku dan
pena untuk menulisnya."
"Tak payah, bawa sahaja karung
guni."
"Karung guni?" soal anak
muridnya, seperti tidak percaya.
"Mari kita ke pasar!"Dalam
perjalanan ke pasar mereka berdua melalui jalan yang berbatu-batu.
"Kutip batu-batu yang besar dan
masukkan ke dalam guni yang kau bawa itu," kata guru itu memberi arahan.
Tanpa soal, anak muridnya memasukkan
batu-batu besar yang mereka temui sepanjang jalan.
"Cukup?"
"Belum, isi sampai penuh karung
guni itu. Lebih banyak lebih baik."
Sampai di pasar, mereka berdua tidak
membeli apa-apa pun. Gurunya hanya
berlegar-legar, melihat-lihat dan kemudiannya mula beredar ke luar.
"Tok guru, kita tidak beli
apa-apa kah?"
"Tidak. Bukankah karung guni mu
telah penuh?"
"Ya, ya..." kata murid itu
sambil memikul guni yang berat itu kelelahan.
"Banyak beli barang,"
tegur seorang kenalan apabila melihat anak murid itu memikul guni yang berisi
penuh dengan batu-batu.
"Wah, tentu mereka berdua ini
orang kaya. Banyak sungguh barang yang
mereka beli," bisik orang lalu-lalang apabila melihat guru dan
anak murid tersebut.
"Agaknya, mereka hendak buat
kenduri dengan barang-barang yang banyak itu," kata orang yang lain.
Sampai sahaja di tempat tinggal
mereka, murid tadi meletakkan guni yang berisi batu-batu tadi.
"Oh, letih sungguh... apa yang
kita nak buat dengan batu-batu ni Tok?"
"Tak buat apa-apa."
"Eh, kalau begitu letih
sahajalah saya," balas anak murid.
"Letih memang letih, tapi kamu
dah belajar tentang ikhlas..."
"Bagaimana?" tanya anak
murid itu kehairanan.
"Kamu dah belajar apa akibatnya
tidak ikhlas dalam beramal."
"Dengan memikul batu-batu
ini?"
"Ya. Batu-batu itu umpama
amalan yang riyak. Tidak ikhlas. Orang
memujinya seperti orang-orang di pasar tadi memuji banyaknya barang
yang kamu beli. Tapi, kamu sendiri tahu
itu bukan barang makanan atau keperluan
tetapi hanya batu-batu..."
"Amal yang tidak ikhlas umpama
batu-batu ini?"
"Ya, hanya beratnya sahaja yang
terpaksa ditanggung. Dipuji orang,
tetapi tidak ada nilainya di sisi Allah. Yang kamu dapat, hanya
penat..."
"Ya, sekarang saya sudah faham
apa akibat jika beramal tetapi tidak
ikhlas!" ujar murid itu. Sekarang dia sudah faham apa akibatnya
RIYAK dalam beramal.
Pengajaran:
Ramai manusia tertipu dalam beramal
kerana mengharapkan pujian orang.
Padahal kata pujian daripada orang-orang itu tidak akan memberi manfaat pun kepadanya pada hari akhirat. Malah,
mengharap pujian daripada manusia hanya
akan menyebabkan diri terseksa kerana terpaksa hidup dalam keadaan yang bermuka-muka. Rugi benar orang
yang tidak ikhlas, terseksa di dunia,
terseksa di akhirat.