Mengenai Saya

Foto saya
Malang, East Java, Indonesia
Uhibbuka Fillah...

Laman

Kamis, 06 Januari 2011

Berilah Kerena Allah


Seringkali saya berdepan dengan situasi di mana manusia mudah berasa  kecewa apabila jasa baik mereka tidak berbalas. Baik sewaktu berada di  sekolah, pusat pengajian tinggi sehinggalah di tempat kerja, sesama kaum  kerabat, rakan dan jiran.
Sering terdengar kekesalan dan keluhan,  "Dahulu sewaktu dia dalam kesusahan bukan main baik minta pertolongan  kepada kita, kita pun berbesar hati tolong dia; sekarang bila tiba  giliran kita dalam kesusahan langsung dia tidak ingat, apatah lagi  hendak menghulur bantuan."
Seolah-olah timbul penyesalan kerana telah  bersusah-payah memberi pertolongan kepadanya suatu ketika dahulu. "Kalau  tahu perangai dia macam ni, sejak dulu lagi tak patut dibantu."
Seakan-akan  menjadi lumrah manusia, apabila diminta melakukan sesuatu, maka pasti  dia akan menimbang-tara antara kos dan manfaat. Kos yang perlu  ditanggung dan manfaat yang akan diperoleh.
Kadangkala apabila saudara  kita memohon pertolongan, antara perkara pertama yang akan kita fikirkan  ialah adakah kelak bila kita dalam kesusahan dia akan tolong kembali.  Itu yang utama.
Kerana untuk menolongnya, pasti kita terpaksa menanggung  beban masa, tenaga dan mungkin juga wang. Jadi sekiranya kita mencurah  masa, tenaga dan wang untuk membantunya; perlulah kelak menerima balasan  setimpal. Sekurang-kurangnya bila kita susah, dia juga patut melakukan  perkara sama.


Apabila bantuan telah diberi dan tiba kitaran waktu  kita pula dilanda musibah, rasa kecewa memuncak di hati sekiranya  bantuan yang kita pinta dari insan yang telah kita bantu dahulu ditolak.
"Dulu dia susah kita yang tolong, sekarang dah senang dia lupa kita."
Akibatnya  ramai yang menjadi kecewa, dan budaya tolong menolong antara satu sama  lain diganti dengan budaya penting diri sendiri dahulu sebelum orang  lain. Kita akan hanya berkorban jika habuannya setimpal atau lebih  besar. Budaya ini menular hebat dalam masyarakat; daripada  penuntut-penuntut ilmu di pusat pengajian sehinggalah kepada  pemimpin-pemimpin politik.
Adalah menjadi fitrah manusia itu akan  senantiasa pertimbang kos dan manfaat, baik dan buruk sesuatu perkara  sebelum membuat keputusan. Cuma malang sekali apabila manfaat tersebut  dilihat dari neraca duniawi. Habuan yang diharapkan semuanya dalam  perkara keduniaan: harta, pengaruh dan lain-lain.
Sebelum kita memberi  wang bantuan yang dipinta umpamanya, kita akan berfikir kelak apabila  kita susah adakah dia akan memberi wang bantuan juga? Adakah dia akan  meluangkan masa membantu kita pula? Bolehkah dia mengembangkan pengaruh  kita? Dan pelbagai lagi persoalan keduniaan yang bermain.
Kita lupa  kepada ganjaran syurga dan pahala yang jauh lebih hebat. Hati kita lebih  tertarik kepada kesenangan duniawi yang apalah sangat berbanding  kesenangan Akhirat. Apabila tidak pula mendapat kesenangan duniawi itu,  kita merasa kecewa pula. Adakah patut kita kecewa kerana dunia? Lupa  pada Akhirat?
Allah menceritakan keadaan orang-orang baik (al-Abraar) di dunia dan balasan mereka di Akhirat kelak:
\[5] Sesungguhnya  orang-orang yang berbakti (dengan taat  dan kebajikan), akan meminum  dari piala: sejenis minuman yang bercampur dengan  "Kafur", - \[6] Iaitu sebuah matair (di Syurga), yang  diminum daripadanya oleh  hamba-hamba Allah (yang taat); mereka boleh  mengalirkannya (di  tempat-tempat tinggal mereka) dengan aliran yang  semudah-mudahnya dan  menurut kemahuannya. \[7] (Mereka dikurniakan  kesenangan itu kerana) mereka  menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang  diwajibkan Tuhan kepadanya), serta  mereka takutkan hari (akhirat) yang  azab seksanya merebak di sana sini. \[8] Mereka  juga memberi makan benda-benda makanan  yang dihajati dan disukainya,  kepada orang miskin dan anak yatim serta orang  tawanan, \[9] (Sambil berkata dengan lidah atau  dengan hati): "[B]Sesungguhnya  kami memberi makan kepada kamu kerana Allah  semata-mata; kami tidak  berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan  terima kasih,


\[10] "Kami  sebenarnya takutkan Tuhan  kami, takut Ia kenakan kami azab hari yang  padanya muka orang-orang yang  bersalah: masam berkerut-kerut". \[11] Dengan  sebab  (mereka menjaga diri dari kesalahan), maka Allah selamatkan  mereka dari  kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta  memberikan kepada mereka  keindahan yang berseri-seri (di muka), dan  perasaan ria gembira (di hati).  \[12] Dan kerana  kesabaran mereka (mengerjakan  suruhan Allah dan meninggalkan  laranganNya), mereka dibalas oleh Allah dengan  Syurga dan (persalinan  dari) sutera.
\[Surah Al-Insaan; 76: 5-12]
Fokus  kepada ayat 8 sehingga ayat 10. Pada ayat 8, Allah menceritakan  bagaimana orang-orang baik ini memberi makanan yang mereka perlu dan  mereka suka kepada orang lain yang lebih memerlukan; iaitu fakir miskin,  anak-anak yatim dan tawanan perang. Lihat bahawa orang-orang soleh ini  memberi apa yang mereka perlu dan suka. Itu baru kebajikan sebenar,  seperti firman Allah:
\[92] Kamu tidak  sekali-kali akan dapat mencapai  (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang  sempurna) sebelum kamu dermakan  sebahagian dari apa yang kamu sayangi.  Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan  maka sesungguhnya Allah  mengetahuinya.
\[Surah Ali Imran; 3: 92]
Bukan  seperti kebanyakan kita yang hanya memberi apa yang kita sudah tidak  mahu lagi. Kebajikan sebenar ialah apabila kita berkorban apa yang  sangat kita sayangi dan sukai.
Bukan itu sahaja, setelah  orang-orang baik ini memberi apa yang sangat mereka sayangi, pada ayat 9  mereka berkata pula bahawa pemberian mereka adalah kerana Allah  semata-mata, dan mereka tidak sedikit pun mengharap balasan daripada  orang yang telah dibantu, bahkan ucapan terima kasih pun mereka tidak  mahu.
Ramai antara kita yang mudah melatah sekiranya orang yang kita  bantu tidak ucap terima kasih, bahkan ramai yang sebenarnya mengharapkan  balasan sesuatu daripada orang yang dibantu. Sedangkan orang-orang yang  baik itu mereka adalah sebaliknya. Jangankan balasan bantuan, ucapan  terima kasih pun tidak mahu. Itulah semata-mata kerana Allah!
Pada ayat  10, diterangkan bahawa orang-orang soleh ini, apabila memberi bantuan,  mereka hanya mengharap balasan daripada Allah! Mengharap kepada kasih  dan rahmat Allah agar mereka selamat dan mendapat layanan baik dari  Allah pada Hari Pembalasan - pada hari tersebut Allah menimpakan azab di  mana orang-orang jahat akan berkerut wajah mereka kerana pedihnya dan  beratnya azab hari tersebut.



Moga-moga Allah akan kasihankan orang-orang  baik atas segala bantuan yang pernah mereka lakukan dahulu semata-mata  kerana Allah tanpa mengharap apa-apa balasan. Maka pada ayat-ayat  berikutnya Allah menceritakan bagaimana orang-orang baik ini mendapat  ganjaran-ganjaran yang sangat hebat: Syurga dan diceritakan pula segala  isinya yang akan dinikmati mereka.
Aduhai celakalah kita kerana  tertipu dengan dunia. Mata hati kita tertutup daripada melihat kehebatan  Syurga dan kehinaan dunia. Akhirnya berapa banyak persaudaraan dan  persahabatan yang putus kerana kecewa akibat pertolongan yang tidak  berbalas. Marilah sama-sama membudayakan amalan orang-orang baik;  berilah semata-mata kerana Allah!
Lupakan balasan dunia, utamakan  ganjaran Akhirat. Moga-moga kita tidak akan lagi dilanda kekecewaan  dalam hidup, dan moga-moga Allah berasa kasihan kepada kita pada Hari  Pertemuan dengan-Nya nanti.