Ketika kedua suami isteri itu
baru berpindah ke bandar, hidup mereka penuh ceria, penuh dengan gurau mesra.
Ada masa makan bersama, ada masa
solat berjemaah bersama.
Walaupun pendapatan masih kecil
kerana perniagaan yang mereka usahakan belum menjadi, tetapi mereka mengharungi
kehidupan dengan seadanya.
Sikap saling memahami dan bertimbang
rasa jelas terpancar.
Di kejauhan malam atau pada awal
pagi sudah kedengaran suara mereka berdua bergurau dan berbual dengan
mesranya.
Minggu demi minggu, bulan demi bulan
dan akhirnya beberapa tahun mula berlalu. Perniagaan kecil-kecilan yang
diusahakan dahulu semakin maju.
Untuk menguruskan perniagaan yang
semakin berkembang, suami adakalanya pulang lewat petang. Manakala si isteri
yang juga memulakan pernigaannya sendiri pun semakin sibuk.
Anak-anak pun semakin jarang bertemu
dan berbual mesra dengan mereka berdua.
Namun, alhamdulillah keadaan ekonomi
keluarga bertambah baik.
Mereka telah berpindah dari rumah
yang sempit ke rumah yang lebih luas. Sekarang keluarga itu telah memiliki
kereta yang besar.
Bukan sebuah, tetapi dua buah –
sebuah untuk suami, sebuah lagi untuk isteri.
Entah kenapa, kemesraan yang dahulu
semakin hilang.
Suami semakin leka dengan
kawan-kawan seperniagaan dan pelanggannya. Manakala si isteri juga sibuk
mempromosi produk jualannya.
Solat berjemaah, makan berjemaah
yang dulunya menjadi tradisi semakin jarang dilakukan.
Apatah lagi untuk melihat suami
memberi sedikit tazkirah untuk anak-anak dan kemudian keluarga itu saling
bermaafan bersama seperti dahulu... hampir tidak pernah lagi.
Benarlah kata bijak pandai, apabila
kita mendapat sesuatu, maka pada masa yang sama kita akan kehilangan sesuatu.
Kita tidak akan dapat kedua-duanya
pada satu masa.
Justeru, pesan bijak pandai lagi,
pastikan apa yang kita dapat lebih berharga daripada apa yang kita hilang.
Keluarga tadi mendapat apa yang
mereka cari kemewahan dan keselesaan hidup, tetapi pada masa yang sama mereka
sudah hilang kemesraan dan keharmonian dalam kehidupan berumah tangga.
Jika ditanyakan kepada hati nurani
kita yang paling dalam, antara keduanya yang mana lebih berharga? Kemewahan
hidup atau kerukunan rumahtanga? Tentu kita akan menjawab, kerukunan
rumahtangga.
Bukankah kita mencari rezeki dan
segala kemewahan hidup untuk membina sebuah keluarga yang bahagia?
Jika si suami ditanya, untuk apa
kamu bertungkus-lumus bekerja siang dan malam?
Tentu jawabnya, kerana isteri aku!
Begitulah juga jika ditanyakan kepada si isteri, tentu jawabnya kerana suami.
Dan jika ditanya kepada kedua
ibu-bapa itu, untuk apa mereka berusaha, nescaya kita akan dapat jawapannya...
demi anak-anak.
Malangnya, mereka dan kita sering
tertipu, betapa ramai yang melupakan isteri, meminggirkan suami dan mengabaikan
anak-anak semasa mencari kemewahan dan keselesaan hidup?
Kita sering terlupa yang kemewahan
hidup - harta, rumah, kereta dan sebagainya bukan matlamat tetapi hanya alat
dalam kehidupan ini.
Kita memburu alat untuk mencapai
matlamat.
Ertinya, harta dan segalanya itu
adalah untuk membahagiakan rumahtangga kita. Begitulah sewajarnya.
Namun, apa yang sering berlaku
adalah kita sering tertukar. Alat jadi matlamat, matlamat menjadi alat.
Kebahagian rumahtangga sering jadi
pertaruhan dan acapkali tergadai dalam keghairahan kita memburu kemewahan
hidup.
Kita berkerja demi anak-anak,
anehnya anak-anak kita abaikan semasa bertungkus lumus bekerja. Kita tidak
sedar. Kita terus memburu dan memburu.
Bangun dari tidur, berkemas dan
terus bekerja. Hampir senja baru pulang. Tidak cukup dengan itu ada lagi kerja
yang kita bawa pulang ke rumah.
Tidak cukup lagi, kita keluar pula
bertemu pelanggan dalam kerja-kerja 'part time'.
Begitulah kita hari demi hari,
minggu demi minggu, bulan demi bulan dan akhir bertahun-tahun.
Tiba-tiba kita tersentak, mengapa
kita sudah jarang menikmati senyum dan gurauan isteri?
Mengapa kita sudah jarang mendapat
sentuhan dan belaian suami?
Mengapa ketawa dan gurau senda sudah
semakin hilang dalam rumah tangga?
Pada ketika itu, hati yang degil
masih mampu memberi alasan. Aku sibuk. Aku sedang mengejar kejayaan dalam
profesionalisme.
Sedikit masa lagi, perniagaan ku
semakin menjadi.
Nantilah, bila segalanya sudah
stabil aku akan kembali serius membina keharmonian keluarga. Nantilah, aku akan
ini, aku akan ini...
Begitulah selalunya diri kita
memberi alasan. Hati memberi justifikasi yang bukan-bukan.
Dan kita terus selesa dengan alasan,
biarlah suami, isteri atau anak-anak berkorban sementara, nantilah kita akan
bahagia!
Jangan keliru. Bahagia itu bukan
hanya di hujung jalan tetapi bahagia itu ada di sepanjang jalan.
Temuilah bahagia ketika kita
mencarinya. Carilah bahagia yang di sepanjang jalan itu dengan
menggenggam rasa cinta sentiasa dan selamanya.
Carilah harta, tetapi genggamlah
cinta. Carilah kemewahan hidup tetapi peluklah cinta itu sekuat-kuatnya. Jangan
diabaikan cinta itu walau sekelip pun. Maknanya, tunaikanlah hukum-hukum cinta
dalam apa jua pun keadaan.
Hukum-Hukum Cinta
Antara hukum cinta yang paling
diutamakan adalah: Cinta itu memberi, cinta itu mendengar, cinta itu berkorban,
cinta itu tanggungjawab, cinta itu mendoakan dan cinta itu memaafkan.
Contohnya, jangan kesibukan
menyebabkan kita jarang lagi memberi masa, perhatian, senyuman, nasihat dan doa
kepada pasangan kita.
Jangan hanya mengucapkan
kalimah-kalimah cinta yang bersifat 'kosmetik' semata-mata. Tetapi luahkan
dalam bentuk perbuatan dan tindakan yang dapat dilihat dan dirasakan.
Dan paling penting, jangan
sekali-kali diabaikan cinta suci yang menghubungkan cinta antara suami dan
isteri.
Cinta itu adalah cinta Allah!
Jagalah cinta kita kepada Allah, insya-Allah, Allah akan terus menyuburkan
cinta kita suami isteri.
Allah akan berikan hidayah dan
taufik ke dalam hati kita untuk terus berpegang pada matlamat.
Kita akan sentiasa beringat bahawa
dunia dan segala isinya ini hanya alat untuk memburu cinta Allah. Dan hanya
dengan memburu cinta Allah maka cinta kita sesama suami isteri akan
dikekalkan-Nya.
Dunia ini umpama lautan, ramai orang
yang memburunya ditenggelamkan.
Dunia ini menipu daya, ramai pula
manusia yang ditipunya. Betapa ramai orang yang memburu dunia dengan
menggadaikan sesuatu yang menjadi miliknya yang sangat berharga.
Iman, kasih saying, cinta sering
dilemparkan orang dilitar perlumbaan memburu dunia.
Dunia tidak salah, selagi kita
memburunya dengan niat untuk beribadah. Kita jadikan dia alat untuk memburu
kebahagiaan akhirat.
Jadilah dunia umpama kebun yang kita
pagar, kita bersihkan dan kita tanam dengan pohon-pohon kebaikan yang hasilnya
kita tuai di akhirat.
Jadilah dunia umpama jambatan yang
kita lalui.
Pastikan ia teguh, kukuh tetapi kita
tidak akan berlama-lama di situ... ia hanya jambatan. Tidak ada orang yang
membina rumah di atas jambatan. Rumah kita yang hakiki ialah di syurga.
Jika ada rasa-rasa itu di dalam jiwa
ketika kita memburu karier, kejayaan dalam perniagaan dan apa jua aktiviti
keduaniaan, insya-Allah cinta dan kasih sayang tidak akan diabaikan.
Orang yang ada di dalam hatinya
cinta Allah, sentiasa ada ruang yang lapang untuk mencintai sesama manusia
lebih-lebih lagi suami, isteri dan anak-anaknya.
Dengan cinta itu kita akan
menyelamatkan semua keluarga kita daripada neraka akhirat.
Dan neraka di akhirat itu hanya akan
dapat kita hindari jika kita berjaya menyelamatkan diri dan keluarga kita
daripada neraka dunia.
Apakah neraka dunia itu? Nereka
dunia itu ialah hilangnya kasih sayang di tengah-tengah rumah yang besar.
Pudarnya cahaya wajah dan ketenangan
hati di tengah sinar lampu yang beribu-ribu ringgit harganya di tengah ruang
tamu rumah yang besar itu.
Dan hambarnya perbualan di dalam
kereta mewah yang sering bertukar ganti.
Yang ketawa ria ialah
pelakon-pelakon di dalam filem yang kita tonton, tetapi hati kita semakin
kosong, gersang dan sayu entah apa puncanya!
Lihatlah Rasulullah SAW. Betapa
sibuknya baginda... tetapi masih ada masa berlumba lari bersama Aisyah isterinya.
Betapa besar perjuangannya... tetapi
masih mampu meluangkan masa bersama isteri yang hendak melihat tarian dan
permainan pedang di suatu Hari Raya.
Ketika baginda kaya, dikorbankannya
harta... kerana baginda tidak kehilangan cinta.
Ketika baginda miskin... dihadapinya
dengan sabar kerana di dalam hatinya tetap ada cinta. Baginda tidak pernah
kehilangan cinta kerana di dalam hatinya ada cinta yang lebih besar... cinta
Allah!
Ayuh Intai-Intai Semula
Justeru, intai-intailah semula cinta
di dalam rumah tangga kita. Masih bersinar atau sudah pudar? Jika sudah pudar,
ayuh muhasabah kembali di mana puncanya? Apakah yang kita garap hingga kita
sanggup menggadaikannya?
Ayuh, lihat kembali 'di mana Allah'
dalam rumah tangga kita? Di mana solat jemaah, di mana zikir, di mana tazkirah,
di mana sadakah, di mana bacaan Al Quran...
Di manakah semua 'ayat-ayat cinta'
itu dalam rumah yang mungkin sudah semakin luas, kereta yang semakin mahal,
makanan yang semakin lazat, tabungan kewangan yang semakin banyak?
Dan pandang wajah isteri, renung
wajah suami... tatap lama-lama.
Bila kita terakhir kita bertentangan
mata dalam keadaan yang paling tenang, harmoni dan syahdu? Sekali lagi bila?
Bukankah mata itu jendela bagi hati.
Pertautan mata petanda pertautan hati?
Atau kita hanya melihat sekadar
imbasan, tolehan dan pandangan, tanpa ada rasa cinta, kasih, mesra, kasihan,
simpati, empati dan lain-lain perisa hati?
Apakah kita secara tidak sedar telah
bertukar menjadi 'haiwan berteknologi' dalam belantara dunia meterialisma yang
semakin ketandusan cinta?
Lalu, di kejauhan destinasi ketika
sibuk menguruskan kerja atau perniagaan, sudi apalah kiranya suami atau isteri
menghulurkan gugusan doa-doa yang paling kudus untuk pasangannya?
Atau ketika dia pulang nanti, kita
sapa tangannya dan bersalam penuh mesra lantas berdakapan dengan hati
yang terus berkata-kata, "inilah teman ku di dunia untuk menuju
syurga!" Inilah yang semakin hilang dalam rumah tangga kini.
Kita memburu tanpa sedar bahawa
kitalah yang sebenarnya diburu.
Diburu oleh kesibukan yang tiada
penghujung, keresahan yang tiada penawar. Kekosongan yang tidak dapat di
isi. Kerana hati tanpa cinta... adalah hati yang mati!
Carilah cinta kita yang hilang.
Insya-Allah kita akan temuinya semula cinta itu di tempat, suasana dan masa
ketika kita mula-mula menemuinya dahulu.
Bukankah kita bertemu kerana Allah?
Bukankah yang menyatukan kita kalimah-Nya?
Bukankah tempat termaktubnya lafaz
akad dan nikah di rumah Allah? Kembalilah ke sana.
Carilah kekuatan itu semula. Tidak
ada manusia yang terlalu gagah untuk hidup tanpa-Nya. Dan tidak ada hati yang
paling waja hingga mampu bertahan terhadap tipuan dunia tanpa cinta.
Renunglah mata isteri atau suami mu,
carilah cinta itu di situ. Masih ada? Atau telah tiada?
Dan kemudian genggam erat tangannya.
Mari kita cari semula cinta yang hilang itu bersama-sama!
Sayang... di kejauhan ini
Ku sentuh hatimu dengan rasaku
Debarnya debar cinta
Denyutnya denyut setia
Ku usap air matamu yang jernih
Dengannya ku sulamrasa kasih
Kutatap matamu yang duka
Di situ kutemui makna rela
Sayang.. dikejauhan ini
Ku sapa salam setiamu
Ku sambut senyum mesramu
Onak, duri dan jeriji besi ini
Tak kan menghalang bicara
... rasa kita berdua
Sayang, sayang, sayang,
Semakin terpisah...
cinta kita semakin indah
Semakin jauh...
kasih kita semakin kukuh
Kita boleh hilang segalanya
Namun kita tidak mampu kehilangan cinta!
Ku sentuh hatimu dengan rasaku
Debarnya debar cinta
Denyutnya denyut setia
Ku usap air matamu yang jernih
Dengannya ku sulamrasa kasih
Kutatap matamu yang duka
Di situ kutemui makna rela
Sayang.. dikejauhan ini
Ku sapa salam setiamu
Ku sambut senyum mesramu
Onak, duri dan jeriji besi ini
Tak kan menghalang bicara
... rasa kita berdua
Sayang, sayang, sayang,
Semakin terpisah...
cinta kita semakin indah
Semakin jauh...
kasih kita semakin kukuh
Kita boleh hilang segalanya
Namun kita tidak mampu kehilangan cinta!
Dikejauhan Ini.