Di sudut pasar Madinah ada seorang
pengemis Yahudi buta yang setiap harinya selalu berkata kepada setiap orang
yang mendekatinya, "Wahai saudaraku, jangan dekati Muhammad, dia itu
orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian
mendekatinya maka kalian akan dipengaruhinya."
Namun, setiap pagi Muhammad
Rasulullah SAW. mendatanginya dengan membawakan makanan, dan tanpa berucap
sepatah kata pun, Rasulullah SAW. menyuapkan makanan kepada pengemis itu
sedangkan pengemis itu tidak mengetahui bahawa yang menyuapinya itu adalah
Rasulullah SAW.. Rasulullah SAW. melakukan hal ini setiap hari sampai baginda
wafat.
Setelah wafatnya Rasulullah SAW.,
tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi
buta itu. Suatu hari sahabat terdekat Rasulullah SAW. yakni Abu Bakar RA.
berkunjung ke rumah anaknya, Aisyah RA. yang tidak lain tidak bukan merupakan
isteri Rasulullah SAW. dan beliau bertanya kepada anaknya itu, "Anakku,
adakah kebiasaan kekasihku yang belum aku kerjakan?"
Aisyah RA. menjawab, "Wahai
ayah, engkau adalah seorang ahli sunnah dan hampir tidak ada satu kebiasaannya
pun yang belum ayah lakukan kecuali satu saja."
"Apakah Itu?" tanya Abu Bakar RA..
"Setiap pagi
Rasulullah SAW. selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk
seorang pengemis Yahudi buta yang ada di sana," kata Aisyah RA..
Keesokan harinya Abu Bakar RA. pergi
ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikan kepada pengemis itu. Abu Bakar
RA. mendatangi pengemis itu lalu memberikan makanan itu kepadanya. Ketika Abu
Bakar RA. mulai menyuapinya, si pengemis marah sambil menghardik, "Siapakah
kamu?"
Abu Bakar RA. menjawab, "Aku
orang yang biasa (mendatangi engkau)."
"Bukan! Engkau bukan orang yang
biasa mendatangiku," bantah si
pengemis buta itu.
"Apabila ia
datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini
mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih
dahulu dihaluskannya makanan tersebut, setelah itu ia berikan padaku," pengemis itu melanjutkan perkataannya.
Abu Bakar RA. tidak dapat menahan
air matanya, dia menangis sambil berkata kepada pengemis itu, "Aku memang
bukan orang yang biasa datang padamu. Aku adalah salah seorang dari sahabatnya,
orang yang mulia itu telah tiada. Ia adalah Muhammad Rasulullah
SAW.."
Seketika itu juga pengemis itu pun
menangis mendengar penjelasan Abu Bakar RA., dan kemudian berkata, "Benarkah demikian? Selama ini aku selalu
menghinanya, memfitnahnya, dia tidak pernah memarahiku sedikitpun, dia mendatangiku
dengan membawa makanan setiap pagi, dia begitu mulia...."
Pengemis Yahudi buta tersebut
akhirnya bersyahadat di hadapan Abu Bakar RA. saat itu juga dan sejak hari itu
dia menjadi Muslim.
Siapakah Suri Teladan Terbaik Selain Rasulullah?
Rasulullah merupakan ciptaan terbaik
ALLAH yang dikurniakan kepada umat manusia untuk mendidik mereka tentang erti
dan cara kehidupan yang berpaksikan keredhaan ALLAH.
Setiap perintah dan larangan ALLAH
disampaikan kepada umat manusia dengan asbab Baginda Rasulullah. Setiap
perintah yang memerlukan praktikalnya (ibadah), diajarkan ALLAH kepada
umat manusia melalui asbab baginda Rasulullah. Setiap peraturan dan syari'at
yang ditetapkan ALLAH disampaikan oleh baginda Rasulullah.
Akhlak bagi menjalani kehidupan
dengan sisipan redha ALLAH, diteladani oleh baginda Rasulullah dalam kehidupan
seharian baginda. Jika begitulah kesempurnaan yang ALLAH kurniakan kepada
baginda Rasulullah sebagai seorang guru dan suri tauladan, patutkah kita
sebagai umat baginda mencari selain baginda sebagai ikutan?
Wajibkah Menuruti Sunnah?
"Katakanlah (Muhammad); Jika
benar engkau cintakan ALLAH, ikutlah aku, nescaya ALLAH akan mengasihimu dan
mengampuni dosa-dosamu. Sungguh, ALLAH maha pengampun lagi maha pengasih."
Bukti kecintaan kita kepada ALLAH,
tujuan kita diadili oleh al-Quran melalui keta'atan kita dalam menuruti sunnah
baginda Rasulullah.
Jadi, masih perlukah kita bertanya
tentang keperluan menuruti sunnah baginda? Bahawasanya, hanya sunnah
baginda Rasulullah yang dapat menjamin kebahagian dan kejayaan umat manusia
dalam kehidupan dunia maupun akhirat.