"Umi!!!!" Khalid menjerit nyaring.
Sebaris rumah baru sahaja dihancurkan oleh
jentolak di hadapan matanya. Khalid yang bersembunyi di sebalik batu-batu yang
ada hampir sahaja menjerit ketakutan, mujur suaranya itu tersekat di kerongkong
sehinggalah tentera-tentera kejam itu berlalu pergi... Jika tidak, entahkan
hidup entahkan tidak lagi dirinya di muka bumi ini.
"Umi!!!" Khalid menjerit lagi.
Kanak-kanak berusia 6 tahun itu berlari-lari di
atas serpihan batu-bata,t erpaksa memungkinkan bahawa ibunya ada di situ...
Cuaca yang panas terik tidak memberhentikan kakinya daripada terus melangkah,
berlari ke segenap penjuru mencari insan yang paling dikasihinya.
"Khalid.. Khalid anak umi..."
Suara lembut itu membuatkan kepala Khalid menoleh
ke arah sisinya. Wajahnya yang dibasahi peluh tersenyum senang melihat
kehadiran Nur Laili, satu-satunya ahli keluarganya yang masih hidup pada saat
itu. Khalid berlari ke arah Nur Laili, Nur Laili mendakapnya senang...
"Umi, Khalid ingat umi dah tinggalkan Khalid
macam abi..."
* * *
"Khalid... Mari cepat pergi ke masjid,
sekejap lagi azan ni!"
Kedengaran suara Salman Al-Farisi memanggil dari
luar rumah. Khalid yang baru sahaja keluar dari bilik air terkedek-kedek lari
mendapatkan bapanya.
"Umi, Khalid pergi dulu..." ucapnya
seraya melangkah pergi...
"Abi, kenapa kita kena solat di masjid?. Umi
tak pergi masjid pun abi..." Khalid bertanya. Matanya yang bening
memandang tepat ke dalam anak mata Salman Al-Farisi.
Salman Al-Farisi menarik nafas panjang.
"Kita kan orang Islam sayang, kita lelaki,
lelaki kuat, jadi kena solat di masjid. Umi tak apa solat di rumah. Lagipun,
bila ramai-ramai orang Islam berkumpul di masjid, orang kafir pun akan gerun,
nampaklah orang Islam ni bersatu, bila bersatu, kita akankuat kan
sayang?" Salman Al-Farisi cuba menerangkan seringkas mungkin buat
kanak-kanak berusia 6 tahun itu.
"Tapi abi...."
"Kenapa Khalid?"
"Kenapa dulu masjid kosong saja, sekarang ni
baru nampak penuh... Bukankah sekarang ni banyak tentera, kat setiap penjuru
ada tentera, dulu tak ada tentera kenapa orang tak sibuk ke masjid?" Penuh
ketulusan suara itu bertanya.
Salman Al-Farisi termenung jauh. Tangannya yang memimpin
tangan Khalid digenggam seerat mungkin. Bagaimanakah cara terbaik untuknya
menerangkan keadaan ummah pada masa kini kepada kanak-kanak sekecil Khalid.
"Khalid... Kalau Khalid dapat apa yang
Khalid nak, tapi Khalid degil, tak mahu dengar cakap abi.. Tiba-tiba satu hari
semua tu abi ambil balik , Khalid hidup susah, baru Khalid rasa betapa
bermaknanya kesenangan yang lalu kan?"
Angguk.
"Macam tu jugalah keadaan sekarang ni. Dulu,
Allah bagi nikmat banyak sangat... Tapi manusia tak mahu bersyukur malah
manusia tak nak dengar cakap Allah. Sekarang ni, bila dah susah baru semua tahu
betapa pentingnya sesuatu arahan Allah. Mustahil arahan daripadaNya itu
sia-sia."
"Abi, Khalid tak mahu lawan cakap
Allah!" Khalid bersemangat.
"Ya sayang, Khalid kena jadi macam Khalid
Al-Walid. Dia seorang panglima perang yang hebat, dia tak pernah gentar dalam
mempertahankan agama Islam bahkan dia rela mati di jalan Allah".
Bersemangat Salman Al-Farisi memberi kekuatan buat si anak kecil itu.
Satu-satunya anak yang masih tinggal untuk bersama-samanya berjuang di jalan
Allah.
"Macam abang-abang?" Khalid bertanya
lagi.
Terlalu perit kenangan yang lalu itu untuk
dikenang. Anak-anaknya semua berjumlah 5 orang. Kelima-limanya adalah lelaki
dan 4 orang daripadanya telah pun syahid di jalan Allah. Biarpun perit, namun
Salman Al-Farisi tetap bersyukur kerana mempunyai anak-anak yang bergelar
mujahid fi sabilillah!
"Abi....."
Khalid mula menyorok di belakang Salman
Al-Farisi.
Lamunan Salman Al-Farisi terhenti. Matanya
tertancap, melihat objek-objek yang bergerak di hadapannya. Kelihatan beberapa
orang tentera berlegar-legar dengan senapang di sisi. Salman Al-Farisi
memandang Khalid di sisi yang ketakutan.
Allah... lindungilah anak yang tidak berdosa
ini...
Salman Al-Farisi mendukung tubuh kecil Khalid dan
melangkah gagah menuju ke masjid yang berada beberapa langkah lagi di
hadapannya. Khalid menangis semahunya di bahu abi tercinta...
* * *
Pom! Pom!
Bunyi ledakan peluru membantutkan konsentrasi
seluruh jemaah yang sedang bersolat. Khalid terpaku melihat beberapa baris
jemaah yang telah pun rebah ke bumi akibat ditembak ketika sedang bersolat.
Sebentar sahaja, dan tentera-tentera kejam itu pun pergi meninggalkan
mayat-mayat bergelimpangan di dalam masjid.
Khalid mula tidak keruan. Di mindanya tergambar
wajah abi tercinta... Khalid mundar-mandir. Satu persatu wajah para syuhada'
yang berada di lantai masjid di tatapnya. Dan...
"Abi!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!"
Khalid meraung. Wajah insan yang amat
disayanginya berada di situ. Kepala Salman Al-Farisi berlubang ditembusi
peluru. Darah yang berwarna merah pekat mengalir membasahi separuh
mukanya.Mengerikan.
"Abi... Kenapa tinggalkan Khalid..."
Pandangan Khalid mulai kelam dan Khalid rebah di
situ...
* * *
"Umi..." Khalid bersuara dalam sendunya
yang masih berbaki.
Nur Laili yang asyik mengelamun tersentak.
"Ya sayang.." Tangan yang mampu
menggoncang dunia itu mengusap lembut kepala Khalid. Penuh kasih.
"Kenapa negara Islam yang lain tak bantu
kita?"
Nur Laili terdiam, terpegun dengan pertanyaan si
anak kecil yang dimatangkan dengan kesusahan hidup, kengerian peperangan,
melarat tanpa insan bergelar ayah di sisi.
"Mereka bantu sayang, mereka beri duit,
makanan.."
"Tapi umi, Khalid nak senjata! Khalid nak
lawan tentera-tentera yang zalim tu!"
Nur Laili tersentak sekali lagi.
"Umi..." Perlahan, Khalid memanggil.
"Ya sayang..."
"Adakah mereka mendoakan
kita?".
"Siapa?"
"Semua orang Islam. Orang Islam semua
bersaudara, kan umi?"
Nur Laili terdiam. Kepetahan Khalid membuatkan
jiwanya bergelora.
Ya Allah, adakah kami berada dalam
ingatan saudara-saudara kami yang sedang hidup dalam kesenangan sekarang???.
"Umi..."
Khalid memanggil lagi.
"Ya..."
"Tidak malukah mereka apabila
ditanya di Padang Mahsyar nanti apa yang mereka telah lakukan untuk saudara
mereka yang berada dalam kesusahan seperti kita?".
"Siapa?"
"Semua orang Islam. Orang Islam semua
bersaudara, kan umi?"
Diam.
"Umi.."
"Ya nak.."
"Apa yang telah mereka lakukan untuk
kita?". Khalid yang selesa berada dalam pelukan seorang wanita
bergelar umi menggenggam erat tangan wanita solehah itu.
"Siapa?"
"Semua orang Islam. Orang Islam semua
bersaudara, kan umi?"
Ayat yang sama diulang-ulang oleh anak kecil itu.
Mata Nur Laili mula digenangi air...
"Umi tidak tahu sayang..."
''Oh Allah... Masihkah kami layak
bergelar saudara???''.
"Umi..."
"Ya sayang..."
Nur Laili mengucup penuh kasih dahi anak kecil
itu. Khalid tidak seharusnya merasai suasana seperti ini, terlalu kejam buat
dirinya...
"Umi... Abi pernah kata kalau perang,
seharusnya mereka berperang dengan tentera sahaja, bukan orang awam macam kita.
Betulkah umi?"
"Ya sayang.."
"Jadi mengapa kita digelar pengganas
umi?"
Nur Laili tidak mampu lagi menahan air matanya
daripada tumpah. Setitik demi setitik, dia tidak tahu mengapa mereka digelar
pengganas. Mungkinkah faktor media massa atau apa?. Itu semua dia tidak kisah
tapi mengapa ada juga segelintir umat Islam yang mengatakan mereka pengganas?.
Tidakkah mereka tahu keadaan saudara mereka ketika ini...
"Kenapa umi menangis?"
Khalid yang merasa titisan air mata jatuh ke atas
kepalanya lantas bangun dan mengelap air mata itu..
"Umi, di padang Mahsyar nanti, air
mata ini bakal menjadi saksi buat saudara-saudara kita yang diam, membisu tanpa
memberi bantuan, kan umi?".
Angguk.
Pom!!!.
Ledakan peluru itu tepat mengenai dada Nur
Laili... Khalid terperanjat. Ini merupakan kali kedua insan kesayangannya rebah
di hadapan matanya. Khalid menangis.. Tangannya yang kecil menggoncang-goncang
tubuh Nur Laili yang kaku. Sekejap sahaja, tangannya merah dibasahi darah umi tercinta.
"Umi, siapa lagi yang akan menerangi malam
Khalid..."
Tentera-tentera kejam itu mara menghampiri
Khalid. Senapang diacukan ke kepala kanak-kanak kecil itu. Khalid memandang
dengan perasaan amarah kerana maruah dia dan keluarganya telah dirobek-robek.
Dia tidak lagi gentar. Batu di sebelahnya di genggam kemas, dan..
"Aku mahu jadi seperti Khalid Al-Walid.
Allahu akbar!!" Khalid bangun dan melontar batu itu ke arah tentera yang
hampir dengannya. Serentak dengan itu juga bunyi ledakan peluru kedengaran
lagi, tepat menembusi kepala Khali. Khalid rebah di samping uminya...
"Umi.... Kita dapat jumpa abi dan
abang-abang nanti..."
Dan mata Khalid terpejam jua, untuk selamanya....