Mengenai Saya

Foto saya
Malang, East Java, Indonesia
Uhibbuka Fillah...

Laman

Sabtu, 25 Desember 2010

Inilah Makna Bahagia


Bahagia itu fitrah tabie manusia. Semua  orang ingin bahagia. Jika ada manusia yang berkata, alangkah bahagianya  kalau aku tidak bahagia, dia layak dihantar ke Hospital Bahagia. Kenapa?  Sudah tentu orang itu tidak siuman lagi. Manusia yang siuman sentiasa  ingin dan mencari bahagia. Bahkan, apa sahaja yang diusahakan dan  dilakukan oleh manusia adalah untuk mencapai  bahagia.

Bahagia itu relatif?
Malangnya, keinginan manusia untuk bahagia sering tidak kesampaian. Ini  disebabkan ramai manusia tidak tahu apa makna bahagia sebenarnya dan  mereka juga tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mendapatkannya. Jika  kita mencari sesuatu yang tidak diketahui dan dikenali, sudah pasti kita  tidak akan menemuinya. Oleh itu, usaha mencari kebahagiaan itu mestilah  bermula dengan mencari apa erti kebahagiaan itu terlebih dahulu.
Apakah erti bahagia? Ada yang beranggapan erti bahagia itu relatif.  Ia berubah-ubah dan berbeza antara seorang individu dengan yang lain.  Bagi yang sakit, sihat itu dirasakan bahagia. Tetapi apabila sudah  sihat, kebahagiaan itu bukan pada kesihatan lagi. Sudah beralih kepada  perkara yang lain lagi. Bagi golongan ini kebahagiaan itu adalah satu  "moving target" yang tidak spesifik ertinya.
Ada pula golongan pesimis. Mereka beranggapan bahawa tidak ada  bahagia di dunia ini. Hidup adalah untuk menderita. Manusia dilahirkan  bersama tangisan, hidup bersama tangisan dan akan dihantar  ke kubur  dengan tangisan. Bahagia adalah satu utopia, ilusi atau angan-angan. Ia  tidak ujud dalam realiti dan kenyataan.

Sumber dalaman atau luaran?
Sebelum mendapat jawapan tentang erti kebahagiaan yang sebenar, mesti  dipastikan sumber kebahagiaan itu. Ia datang dari mana? Apakah bahagia  itu datang dari luar ke dalam (outside-in) atau dari dalam ke luar  (inside-out)?
Ramai yang merasakan bahawa bahagia itu bersumber dari faktor luaran.  Ia bersumber daripada harta, kuasa, rupa, nama dan kelulusan yang  dimiliki oleh seseorang. Golongan ini merasakan jika berjaya menjadi  hartawan, negarawan, bangsawan, rupawan, kenamaan dan cendekiawan maka  secara automatik bahagialah mereka.
Atas keyakinan itu ramai yang berhempas pulas dan sanggup melakukan  apa sahaja untuk memiliki harta, kuasa dan lain-lain lagi.


Kita tidak  bahaskan mereka yang miskin, hodoh, tidak popular dan bodoh, lalu gagal  merasakan bahagia tetapi mari kita tinjau apakah hidup para hartawan,  rupawan, bangsawan, kenamaan dan cendekiawan itu bahagia?

Realiti hidup jutawan, rupawan dan selebriti.
Realitinya, sudah menjadi "rules of life" (sunatullah), manusia tidak  mendapat semua yang diingininya. Tidak ada seorang manusia pun yang  dapat mengelakkan diri daripada sesuatu yang tidak disenanginya. Hidup  adalah satu ujian yang menimpa semua manusia, tidak kira kedudukan,  harta dan pangkatnya. Firman Allah:
"Dijadikan mati dan hidup adalah untuk menguji manusia siapakah yang terbaik amalannya." (Surah Al-Mulk)
Si kaya mungkin memiliki harta yang berjuta, tetapi mana mungkin dia  mengelakkan diri daripada sakit, tua dan mati? Inilah yang berlaku  kepada Cristina Onasis pewaris kekayaan ayahnya Aristotle Onasis, yang  mati pada usia yang masih muda walaupun memiliki harta yang berbilion  dollar.
Mereka yang rupawan, tidak boleh mengelakkan diri daripada  cercaan. Madonna, Paris Hilton (sekadar menyebut berapa nama) pernah  dikutuk akibat kelakuan buruk masing-masing. Lady Diana yang memiliki  semua pakej kelebihan wanita idaman akhirnya mati dalam keadaan yang  tragis dan menyedihkan sekali.
John Lenon tidak dapat mengelakkan diri daripada dibunuh walaupun  dirinya dipuja oleh jutaan peminat. Elizabeth Taylor pula sedang  membilang usia yang kian meragut kecantikan dan potongan badannya. Itu  belum dikira lagi nasib malang yang menimpa negarawan dan bangsawan  tersohor seperti Al-Malik Farouk (Mesir), Shah Iran (Iran), Ferdinand  Marcos (Filipina), Louis XVI (Perancis), Tsar (Rusia) dan lain-lain  lagi. Tegasnya, kesakitan, cercaan, dijatuhkan dan lain-lain ujian hidup  telah menumpaskan ramai hartawan, rupawan, negarawan dan cendekiawan  dalam perlumbaan mencari kebahagiaan.

Bukti hilangnya bahagia.
Apa buktinya, mereka hilang bahagia? Tidak payah kita berhujah  menggunakan Al Quran dan Al Hadis, melalui paparan media massa sahaja  sudah cukup menjadi bukti betapa tidak bahagianya mereka yang memiliki  segala-galanya itu.


Aneh, apabila selebriti dari Hollywood, yakni mereka  yang memiliki rupa yang cantik, harta yang berbilion dolar, nama yang  tersohor tetapi dilanda pelbagai masalah kronik. Senarai nama yang  berkenaan cukup panjang...
Mereka yang terlibat dengan arak, rumah tangga cerai berai, dadah,  jenayah, sakit jiwa dan bunuh diri ini sudah tentu tidak bahagia. Jika  mereka bahagia dengan nama, harta dan rupa yang dimiliki tentulah mereka  tidak akan terlibat dengan semua kekacauan jiwa dan kecelaruan peribadi  itu. Tentu ada sesuatu yang "hilang" di tengah lambakan harta, rupa  yang cantik dan nama yang popular itu.

Ujian hidup punca hilang bahagia?
Mari kita lihat persoalan ini lebih dekat. Apakah benar ujian hidup  menghilangkan rasa bahagia dalam kehidupan ini? Apakah sakit, usia tua,  cercaan manusia, kemiskinan, kegagalan, kekalahan dan lain-lain ujian  hidup menjadi sebab hilangnya bahagia? Jawabnya, tidak!
Jika kita beranggapan bahawa ujian hidup itu penyebab hilangnya  bahagia maka kita sudah termasuk dalam golongan pesimis yang beranggapan  tidak ada kebahagiaan di dunia. Mengapa begitu? Kerana hakikatnya [B]hidup  adalah untuk diuji[/B]. Itu adalah peraturan hidup yang tidak boleh  dielakkan. Sekiranya benar itu penyebab hilangnya bahagia, maka tidak  ada seorang pun manusia yang akan bahagia kerana semua manusia pasti  diuji.
Atas dasar itu, ujian hidup bukan penyebab hilangnya bahagia. Sebagai  perumpamaannya, jika air limau nipis diletakkan di atas tangan yang  biasa, maka kita tidak akan berasa apa-apa. Sebaliknya, jika air limau  itu dititiskan di atas tangan yang luka maka pedihnya akan terasa. Jadi  apakah yang menyebabkan rasa pedih itu? Air limau itu kah atau tangan  yang luka itu? Tentu jawapannya, luka di tangan itu.

Metafora air limau dan luka di tangan
Air limau itu adalah umpama ujian hidup, manakala tangan yang luka itu  ialah hati yang sakit. Hati yang sakit ialah hati yang dipenuhi oleh  sifat-sifat mazmumah seperti takbur, hasad dengki, marah, kecewa, putus  asa, dendam, takut, cinta dunia, gila puji, tamak dan lain-lain lagi.  Ujian hidup yang menimpa diri hakikatnya menimbulkan sahaja sifat  mazmumah yang sedia bersarang di dalam hati. Bila diuji dengan cercaan  manusia, timbullah rasa kecewa, marah atau dendam. Bila diuji dengan  harta, muncullah sifat tamak, gila puji dan takbur.



Justeru, miskin, cercaan manusia dan lain-lain itu bukanlah penyebab  hilang bahagia tetapi rasa kecewa, marah dan tidak sabar itulah yang  menyebabkannya. Pendek kata, ujian hidup hakikatnya hanya menyerlahkan  sahaja realiti hati yang sudah tidak bahagia lama sebelum ia menimpa  seseorang.
Dengan segala hujah di atas terbuktilah bahawa pendapat yang  mengatakan bahagia itu datang dari luar ke dalam adalah tertolak sama  sekali. Ini kerana faktor "kesihatan" hati jelas lebih dominan dalam  menentukan bahagia atau tidaknya seseorang berbanding segala faktor  luaran. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kebahagiaan itu  datang dari dalam ke luar –[B] soal hati[/B].

Inilah erti bahagia
Secara mudah [B]kebahagiaan itu ialah memiliki hati yang tenang dalam  menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan[/B]. Inilah erti bahagia yang  sebenar selaras petunjuk Allah di dalam Al Quran. Firman Allah:
"Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang." (Surah Al-Ra'du 28)
Rasulullah S.A.W. juga telah bersabda:
"Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging.  Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak  maka rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah ia adalah hati." (Hadis riwayat Bukhari Muslim)
Rasulullah S.A.W bersabda lagi:
Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati.
Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa  yang dimiliki – bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang  tiada.
Oleh itu hati perlu dibersihkan serta dipulihara dan dipelihara  "kesihatannya" agar lahir sifat-sifat mahmudah seperti amanah, sabar,  syukur, qanaah, reda, pemaaf dan sebagainya.   Kemuncak kebahagiaan  ialah apabila hati seseorang mampu mendorong pemiliknya melakukan  kebaikan dan menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh  Islam dengan mudah dan secara "auto pilot".
Kaedah Mencari Bahagia Menurut Al-Quran dan Sunnah


1. Beriman dan beramal salih.
"Siapa yang beramal salih baik laki-laki ataupun perempuan dalam keadaan  ia beriman, maka Kami akan memberikan kepadanya kehidupan yang baik dan  Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa  yang mereka amalkan." (Surah An-Nahl: 97)
Ibnu 'Abbas RA meriwayatkan bahawa sekelompok ulama mentafsirkan bahawa  kehidupan yang baik (dalam ayat ini) ialah rezeki yang halal dan baik  (halalan tayyiban).
Sayidina Ali pula mentafsirkannya dengan sifat  qana'ah (merasa cukup).
Ali bin Abi Thalhah dari Ibnu 'Abbas,  meriwayatkan bahawa kehidupan yang baik itu adalah kebahagiaan.

2. Banyak mengingat Allah.
Dengan berzikir kita akan mendapat kelapangan dan ketenangan sekali gus  bebas daripada  rasa gelisah dan gundah gulana. Firman Allah:
"Ketahuilah dengan mengingat (berzikir) kepada Allah akan tenang hati itu." (Surah Ar-Ra'd: 28)

3. Bersandar kepada Allah.
Dengan cara ini seorang hamba akan memiliki kekuatan jiwa dan tidak mudah putus asa dan kecewa. Allah berfirman:
"Siapa yang bertawakal kepada Allah maka Allah akan mencukupinya." (Surah Ath-Thalaq: 3)

4. Sentiasa mencari peluang berbuat baik.
Berbuat baik kepada makhluk dalam bentuk ucapan mahupun perbuatan dengan  ikhlas dan mengharapkan pahala daripada Allah akan memberi ketenangan  hati.
Firman-Nya:



"Tidak ada kebaikan dalam kebanyakan bisikan-bisikan mereka kecuali  bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh ( manusia) untuk bersedekah  atau berbuat kebaikan dan ketaatan atau memperbaiki hubungan di antara  manusia. Barang siapa melakukan hal itu karena mengharapkan keredaan  Allah, nescaya kelak Kami akan berikan padanya pahala yang besar."  (Surah An-Nisa: 114)

5. Tidak panjang angan-angan tentang masa depan dan tidak meratapi masa silam.
Fikir tetapi jangan khuatir. Jangan banyak berangan-angan terhadap masa  depan yang belum pasti. Ini akan menimbulkan rasa gelisah oleh kesukaran  yang belum tentu datang. Juga tidak terus meratapi kegagalan dan  kepahitan masa lalu karena apa yang telah berlalu tidak mungkin dapat  dikembalikan semula.
Rasulullah SAW bersabda: "Bersemangatlah untuk  memperoleh apa yang bermanfaat bagimu dan minta tolonglah kepada Allah  dan janganlah lemah. Bila menimpa mu sesuatu (dari perkara yang tidak  disukai) janganlah engkau berkata:
"Seandainya aku melakukan ini nescaya  akan begini dan begitu," akan tetapi katakanlah: "Allah telah  menetapkan dan apa yang Dia inginkan Dia akan lakukan," karena  sesungguhnya kalimat 'seandainya' itu membuka amalan syaitan." (Hadis Riwayat  Muslim)

6. Melihat "kelebihan" bukan kekurangan diri.
Lihatlah orang yang di bawah dari segi kehidupan dunia,  misalnya dalam  kurniaan rezeki karena dengan begitu kita tidak akan meremehkan nikmat  Allah yang diberikan Allah kepada kita. Rasulullah SAW bersabda:
"Lihatlah orang yang di bawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas  kamu karena dengan (melihat ke bawah) lebih pantas untuk kamu tidak  meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu." (Hadis Riwayat  Al-Bukhari dan Muslim)

7. Jangan mengharapkan ucapan terima kasih manusia.
Ketika melakukan sesuatu kebaikan, jangan mengharapkan ucapan terima  kasih ataupun balasan manusia. Berharaplah hanya kepada Allah. Kata  bijak pandai, jangan mengharapkan ucapan terima kasih kerana umumnya  manusia tidak pandai berterima kasih.


Malah ada di antara hukama  berkata, "sekiranya kita mengharapkan ucapan terima kasih daripada  manusia nescaya kita akan menjadi orang yang sakit jiwa!" Firman Allah:
"Kami memberi makan kepada kalian hanyalah karena mengharap wajah Allah,  kami tidak menginginkan dari kalian balasan dan tidak pula ucapan  terima kasih." (Surah Al-Insan: 9)

Zikrullah Yang Membawa Bahagia
Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Zikrullah akan memberi  ketenangan buat hati. Ketenangan hati itulah kebahagiaan sebenar. Tetapi kenapa ada orang yang berzikir tetapi hati tidak ataupun belum tenang? (Untuk mendapat jawapannya, sila rujuk [LINK=/inspirasi/motivasi/1246-mencari-ketenangan-hati.html]artikel Mencari Ketenangan Hati.
Hati adalah sumber dari segala-galanya  dalam hidup kita[/B], agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu  menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan  hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak  kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti.
Ingatlah, untuk menjaga kebersihan hati,  (selain berzikir) kita perlu [B]menjaga penglihatan, pendengaran,  fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT[/B]. Dengan  menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan  hati yang bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat.  Jadi  berhati-hatilah menjaga hati kerana ia adalah punca ketenangan dan  kebahagiaan diri!
Kita harus melatih hati kita supaya sentiasa berniat baik dan inginkan sesuatu yang baik. Sentiasa riang, gembira dan tenang dengan  setiap pekerjaan yang dilakukan. Sentiasa melakukan kerja amal, tolong  menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup  dengan berkasih sayang antara satu dengan lain.
Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan  memperbanyak mendekatkan diri kepada Allah SWT dan memperbanyak doa agar  Allah SWT mengurniakan kita hati yang bersih dan selalu dekat  dengan-Nya. Itulah beberapa hal yang mungkin dapat kita jadikan landasan  untuk mencari kebahagiaan hidup di dunia ini dan juga sebagai bekal  untuk menghadapi kehidupan akhirat nanti.
Sebenarnya kebahagiaan hidup yang hakiki dan ketenangan hanya  didapatkan dalam agama Islam yang mulia ini. Sehingga yang dapat hidup  bahagia dalam erti yang sebenarnya hanyalah orang-orang yang berpegang  teguh dengan agama.


http://www.iluvislam.com/inspirasi/motivasi/1344-inilah-makna-bahagia.html