Mengenai Saya

Foto saya
Malang, East Java, Indonesia
Uhibbuka Fillah...

Laman

Sabtu, 25 Desember 2010

Cita-Cita Yang Tak Pernah Menjadi


Bertanyalah pada mereka yang berusia lebih 20 tahun : apakah bidang yang mereka  terokai itu, adalah apa yang mereka impikan? Saya percaya 5 daripada 10  orang daripada mereka yang ditanya itu akan mengiyakan dengan yakin dan  bangga. Mereka ini akan berkata, 'ya' inilah bidang yang mereka ingin  ceburi.
Bertanyalah pula pada mereka yang berusia lebih 30 tahun : apakah bidang yang mereka  ceburi itu adalah apa yang mereka impikan? Saya percaya, daripada 10  orang yang ditanya, tidak seorang pun daripada mereka sedang menikmati  bidang yang mereka cita-citakan.
Tanyalah mereka yang lebih 30  tahun di sekeliling anda; jiran, kenalan, sahabat, rakan sepejabat,  malah sesiapa sahaja. Anda akan dapati bidang yang mereka terokai itu  sama sekali bukan bidang yang dicita-citakan.
Malah,  tanyalah diri kita sendiri. Apakah bidang yang menjadi kerjaya kita  kini adalah sebenar-benarnya bidang yang kita impi-impikan? Jawapan yang  jujur tentulah 'tidak!'
Okeylah,  mana mungkin tiada sesiapa pun yang tidak mencapai dan menikmati apa  yang dicita-citakan? Kenyataan di atas mungkin sekali andaian. Namun,  jika kita temui orang yang benar-benar mempunyai cita-cita sejak kecil  untuk menjadi arkitek dan dapat melanjutkan pelajaran dari peringkat  diploma, degree, master dan peringkat kedoktoran di dalam bidang itu,  dan kini adalah seorang arkitek ~ tanyalah kepada mereka apa yang mereka  mahu? Jawapan mereka ialah mereka mahu meninggalkan bidang itu dan  menceburi bidang lain!


Mengapa terjadi begini? Mengapa  cita-cita yang diingini beralih arah, seiring waktu beranjak? Mengapa  pula cita-cita yang digapai hendak dilepaskan pula? Bukankah ini  menandakan hanya Dia berkuasa terhadap apa sahaja?
Merancanglah  dengan teliti dan rapi. Kemudian berusahalah dan gapailah apa yang  diimpikan itu. Sebaik sahaja kita berasa berjaya memperoleh sesuatu  dengan usaha kita sendiri, tanpa kita sedari, apa yang dicita-citakan,  apa yang tergapai semuanya akan melorot dari genggaman.
Kerana  apa? Kerana Allah tidak mahu kita berasa, kitalah yang berjaya di atas  usaha sendiri. Lantas berdasarkan kejayaan itu, kita terus berusaha dan  berusaha hingga mempunyai kepercayaan yang kita berkuasa terhadap  kehendak itu. Lantas perasan kitalah master of our destiny lalu melupakan kesemuanya adalah di dalam genggaman-Nya.
"Ketahuilah  bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan  hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan)  serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan)  bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa  keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak;  (semuanya itu terhad waktunya)
samalah  seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur)  menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya,  kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu),  selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; Akhirnya ia menjadi hancur  bersepai dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa)
di  akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya  mengutamakan kehidupan dunia itu) dan (ada pula) keampunan besar serta  keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan  akhirat) dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah  kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya."

~ Al- Hadid: 20
Justru itu, janganlah terlalu berbangga
bila memperoleh apa yang diimpikan.
Jangan pula meraung sakan andainya
apa yang dicita-citakan tidak dapat digapai.
Segala-galanya adalah


hak Pencipta seluruh alam ini.


http://www.iluvislam.com/inspirasi/motivasi/1370-cita-cita-yang-tak-pernah-menjadi.html