Seringkali persoalan tentang penggunaan masa dan
usaha bermain dalam kehidupan harian kita terutamanya bagi yang masih belajar.
Namun, persoalan yang sama bukanlah asing bagi yang sudah bekerja atau yang sibuk
menguruskan rumah tangga.
Pernahkah kita sedari bahawa penggunaan masa yang
berkesan banyak menyumbang kepada kejayaan? Pernahkan kita terfikir mengapa
sejak dari kecil kita terperangkap dengan persoalan yang sama walaupun
pengalaman kita semakin bertambah seiring peningkatan usia?
Kita
diuji
Setiap makhluk yang dicipta Allah akan merasakan
pahit dan manis kehidupan. Itu sunnatullah yang ditetapkan Allah. Sepertimana
firman-Nya:
Adakah patut kamu menyangka Bahawa kamu akan masuk
syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti Yang telah
berlaku kepada orang-orang Yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa
kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan
(oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang Yang
beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?"
Ketahuilah Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan
berpegang teguh kepada ugama Allah). Surah Al-Baqarah (2: 214)
Jelas bahawa hidup manusia itu penuh dengan ujian.
Hakikatnya ujian itulah sumber kekuatan, membantu kita untuk taqarrub kepada
Allah. Ujian masa adalah salah satu cara kita diuji-Nya. Begitu jugalah masa,
hanya yang mampu lepas ujian itu mampu memanfaatkan masa sebaiknya. Setiap manusia
mempunyai cara berbeza untuk beradapatasi dengan kekangan masa. Ada yang
menjadi positif dan lebih menguruskan masa bila tahu masanya hampir tiada.
Namun, ada juga yang terus leka dan sambil lewa dalam menghadapi kesuntukan
masa. Kelapangan masa juga ujian, ke mana kita gunakan? Ke arah keredhaan atau
kemurkaan? Bagaimana anda? Bagaimana saya? Tanyalah diri, andai kita masih
"selesa" dengan kelapangan masa, fikir-fikirkanlah kembali.
Putaran
masa
"Hidup ibarat roda, kadangkala kita di atas,
ada masanya di bawah".
Hakikat masa juga selari dengan ungkapan di atas.
Kita melihat setiap detik terus berlalu dengan helaan nafas pinjaman Illahi.
Saya yakin kita semua pernah mengalami "zaman keemasan"
masing-masing. Mungkin ia berlaku semasa masih di sekolah rendah, atau bila
menjejak sekolah menengah. Ada juga yang baru merasai saat-saat manis itu di
zaman unversiti atau semasa bekerja. Hakikatnya, kita pasti pernah merasa.
Bukankah indah jika saat itu berulang? Namun, wajarlah untuk kita menyedari
bahawa Allah itu maha Adil, sedangkan malam dan siang sering di pergilirkan,
begitu jugalah dengan kejayaan dan kegagalan.
Sahabat-sahabatku,
Di sini saya ingin mengajak agar kita semua berfikir
tentang hikmah setiap kejadian yang menimpa kita. Pahit manis kehidupan itu menyumbang
kepada pengalaman dan akhirnya menjadi pengajaran buat kita. Allah memberi
ruang untuk kita berfikir sejauh mana kita menggunakan nikmat masa yang
diberikan dengan sebaiknya. Bila berjaya, pernahkah kita terfikir satu masa
kita akan jatuh dan tenggelam dalam kesedihan?
Kickstart
buat kita
"Kesenangan yang datang tak akan selamanya,
begitulah selepas susah ada kesenangan.."
Bait lagu "Kehidupan" ini boleh kita ambil
pengajaran tentang perihal pentingnya menghargai nikmat masa kurniaan Illahi.
Sahabat-sahabat sekalian, setelah kita menyedari tentang masa yang akan terus
berlalu meninggalkan kita, marilah kita bergerak dan bertindak ke arah kebaikan
dan perubahan.
Saya bukanlah
orang yang paling baik untuk menasihatkan. Hakikatnya, saya masih belajar dan
terus belajar memformulasi teknik penggunaan masa yang berkesan. Namun, di sini
ingin saya berkongsi sedikit tips yang boleh diamalkan:
1. Kenali kelemahan diri anda yang membawa kepada
penggunaan masa yang kurang efektif. Contohnya, suka tengok video dalam jangka
masa yang lama.
2. Cuba fikirkan cara terbaik untuk mengatasi
kelemahan di atas. Contohnya, hadnya masa yang digunakan untuk perkara tesebut
(kurang masa tengok video kepada satu sahaja)
3. Minta tolong sahabat atau saudara untuk ingatkan
dateline atau ingatkan anda untuk menggunakan masa sebaiknya.
4. Perhatikan kawan anda yang bijak menguruskan
masa. Cuba contohi mereka.
5. Pastikan anda berada dalam persekitaran yang
membina dan mendorong untuk menggunakan masa sebaiknya. Contohnya, pergi ke
perpustakaan di mana persekitarannya sangat membantu anda untuk mentelaah
pelajaran.
6. Yakin anda mampu berubah untuk menggunakan masa
sebaiknya.
7. Jangan putus asa jika cubaan tidak berjaya. Bagi
peluang untuk diri anda berubah.
8. Jangan terlalu selesa dengan kelapangan masa.
Sediakan diri untuk menghadapi saat-saat kesuntukan masa.
9. Berdoalah selalu kepada Allah, Dialah pemilik
hati kita. Allah itu dekat, mungkin kita yang menjauhkan diri dari-Nya.
...dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu
mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa
hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang Yang berdoa apabila ia
berdoa kepadaKu. maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi
perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik
serta betul. (Surah Ali-Imran: 2: 286)
Akhirnya, yakinlah bahawa kita mampu berubah dan
mampu memulakan [I]"kick start"[/I] untuk diri kita sendiri. Jangan
tunggu masa berlalu, kejayaan hanya pinjaman, jadikan kegagalan sebagai satu
kemanisan dengan mengambil pengajaran. Kita makhluk yang dikurniakan akal,
gunakanlah untuk menilai dan memerhati bukan sekadar menanti mengharap simpati.
Ayuh gunakan masa sebaiknya untuk mencipta kejayaan. Ya, anda boleh!
Wallahua'lam