Mengenai Saya

Foto saya
Malang, East Java, Indonesia
Uhibbuka Fillah...

Laman

Selasa, 04 Januari 2011

Kisah Pemuda, Janda Dan Dot Dot Dot


Di sebuah kampung, ada seorang pemuda yang sangat miskin dan miskin...dan miskin.  Kenapa saya ulang sampai tiga kali? Teruskan membaca baru dapat rasa betapa miskinnya pemuda ini. Kasihan!
Pemuda  ini tidak mampu membeli makanan sehingga beberapa hari tidak makan. Dia  tiada rumah dan menjadi 'tetamu tetap' di sebuah masjid di kampungnya  kerana tempat tinggalnya memang di masjid. Oleh kerana kebanyakan masa  hariannya di masjid, dia seringkali mengikuti majlis-majlis ilmu di  masjid itu; kuliah, tazkirah, ceramah dan apa-apa sahaja majlis ilmu di  sana. Itulah keistimewaan pemuda ini. Walaupun miskin dan kelaparan,  menghadiri majlis ilmu adalah rutin hidupnya.
Suatu  hari pemuda ini berasa sangat lapar. Sungguh kasihan kerana dia tidak  mampu membeli apa-apa makanan. Hampir mati akal dia memikirkan bagaimana  ingin mengisi perutnya kerana dia benar-benar kelaparan. Sehinggalah  terdetik di dalam hati...
"Urm,  bagaimana jika aku menyelinap masuk ke rumah orang-orang kampung dan  mencuri makanan mereka? Aduh! Aku merasakan benar-benar dalam keadaan  darurat. Mungkin dalam keadaan darurat begini menjadi keringanan buatku  untuk mencuri," pujuk hatinya ketika risau jika ia dalam keadaan berdosa.
Pemuda  miskin ini nekad. Ditunggunya sampai hari semakin gelap dan dia mula  bergerak perlahan-lahan ke sekitar kampung. Dipanjatnya dari bumbung ke  bumbung yang lain demi mencari sesuap dua makanan. Akhirnya, setelah  berusaha memanjat, sampailah dia ke sebuah rumah. Gelap. Sunyi.
"Ah, sudah tentu penghuninya tiada sekarang. Baik aku masuk!"
Dia  pun dengan segera menyelinap masuk dengan harapan tekaannya benar. Ya,  dia memang benar kerana sungguh rumah tersebut tidak berpenghuni buat  sementara waktu.


Berbekalkan kesamaran cahaya dari celahan tingkap,  pemuda ini menuju ke dapur dan terlihat sebuah periuk. Ketika membuka  tudung periuk itu, dia terkejut.

Sebiji TERUNG!
Itu sahaja yang dijumpainya. Pemuda itu lantas mengambil terung tadi  dan mula menggigitnya kerana benar-benar kelaparan walaupun ia hanya  sebiji terung. Setelah sekali menggigit, tiba-tiba dia tersentak.
"Ya  Allah! Apakah yang aku sedang lakukan. Malu aku pada-Mu Tuhan! Mana  mungkin aku mencuri harta orang lain sedangkan aku adalah orang yang  yang menjadi tetamu di masjid, menjadi tetamu dalam majlis-majlis agama.  Tidak sepatutnya aku bertindak sebegini. Aku takut akan-Mu wahai Tuhan  yang melihat segala tindak tandukku. Ampuni aku, aku amat takut akan  balasan-Mu"
Sepantas kilat dia meletakkan semula terung yang telah selamat digigitnya sekali dan menyelinap keluar, hilang dalam kegelapan.
Esoknya...

Penduduk  kampung mulai keluar masjid setelah tamatnya kuliah pada petang itu.  Hanya beberapa orang yang masih di dalam masjid membaca Al-Quran.  Seorang wanita masih berdiri di perkarangan dalam masjid dalam keadaan  yang resah. Wanita tersebut pantas mendekati tok imam yang telah  memberikan pengisian petang itu.
"Tok Imam, tolong bantu saya. Saya benar-benar buntu..." rayu wanita itu.
"Ya Allah, kenapa dengan kau wahai anakku. Ceritakanlah... jika aku boleh membantu, InsyaAllah aku akan membantumu."
"Aku ini seorang janda. Suamiku telah meninggal dunia," esakan mulai kedengaran.
"Beberapa  hari lepas, aku telah diganggu oleh pemuda-pemuda kampung ini dan  sungguh aku merasakan tidak selamat dan terasa terancam."
Tok Imam itu terdiam. Kerutan jelas di dahinya.



"Aku... aku  ingin tok imam membantuku mencarikan seorang suami untukku kerana aku  tidak ingin lagi terus diganggu oleh pemuda-pemuda di sini," ujarnya.
"Apa benar kau ingin aku membantu mu?" tanya imam tua tersebut. Wanita tersebut mengangguk.
Imam tua itu merenung ke sekeliling masjid. Lantas matanya terpaku pada pemuda miskin yang sedang bersandar di tepi tiang.
"Wahai pemuda, mahukah kamu ke mari?" Perlahan-lahan pemuda itu melangkah mendekati Tok Imam dan wanita tersebut.
"Sudikah kau mengahwini wanita ini?" pantas imam tua itu menyoal.
"Ya  Allah, adakah ini hanya khayalanku? Aku ingin berkahwin, tapi  percayalah, untuk membeli sebuku roti pun aku tidak mampu, apatah lagi  untuk menanggung orang lain!" jujur pemuda itu menjawab.
"Usah  khuatir wahai pemuda. Aku tidak perlukan hartamu. Aku sudah ada rumah  yang arwah suamiku  tinggalkan untukku. Aku tidak memerlukan hartamu.  Aku hanya perlukan seorang lelaki yang boleh menjaga dan melindungiku  dari ancaman luar," balas wanita tersebut.
Diam.  Lama pemuda itu berfikir. Dia kemudian mengangguk perlahan.
Setelah  bernikah disaksikan beberapa tetamu masjid, tok imam itu berkata;
"Sekarang  pulanglah kamu bersama suamimu ini. Semoga pernikahan ini mendapat  keberkatan-Nya dan dapat menyelamatkan kamu daripada gangguan orang."
Setibanya di rumah, wanita itu terus bertanya kepada pemuda miskin yang telah selamat menjadi suaminya.
"Adakah kau ingin makan? Aku akan menyiapkannya untukmu, wahai suamiku."
Pemuda itu hanya mengangguk. Dalam fikirannya sekarang bukan tertumpu  pada makanan (walaupun pada hakikatnya ia memang kelaparan) tetapi rumah  wanita tersebut. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Seolah-olah dia  pernah berada di situ sebelumnya.
"Kenapa aku seperti mengenali rumah ini?" soalnya dalam hati sambil berkerut. Oh tidak! Jangan-jangan...
"Silalah makan dahulu," kata si wanita sambil menghidangkan sesuatu.


"Ya Allah... adakah aku bermimpi? Ini adalah terung yang telah ku gigit semalam. Ya Allah..apakah tandanya ini?"
"Maaf  wahai suamiku. Aku hanya ada terung ini yang sempat ku rebus semalam.  Aku terkejut kerana ia telah digigit. Pelik, siapa yang telah  mengigitnya sedangkan tiada sesiapa di rumah ini sewaktu ku keluar," jelas wanita itu dalam kesayuan kerana tidak mampu menghidangkan yang terbaik untuk suaminya.
"Wahai  isteriku. Mahukah kau mendengar suatu kisah? Se.. sebenarnya aku lah  yang telah menyelinap masuk ke rumahmu semalam dan menggigit terung  ini," akui pemuda itu ikhlas. Berubah wajah wanita itu.
"Maafkan  aku. Semalam, aku sangat kelaparan. Sudah beberapa hari aku tidak makan  dan aku tidak mampu untuk membeli apapun. Aku bertekad untuk mencuri  makanan di luar. Ku fikir aku benar-benar dalam keadaan darurat. Namun,  setelah selamat mengigitnya sekali, aku merasa benar-benar tersedar dan  merasakan sangat takut kepada Allah yang menjadi saksi perbuatanku. Aku  malu... aku takut akan azabnya atas kelalaianku. Maafkan aku," ujar pemuda itu sambil tertunduk menangis.
"Tidak  mengapa suamiku. Aku sudah memaafkanmu. Akan tetapi ketahuilah bahawa  aku benar-benar cemburu akanmu. Tahukah kau mengapa?" soalnya.
Pemuda itu berhenti menangis lalu merenung isterinya.
"... kerana sifat TAQWA mu! Kerana takutkan Allah, kau berhenti daripada terus melakukan dosa  dan berterus-terang padaku. Sekarang, tidakkah kau sedar? Kerana sifat TAQWA yang  ada pada dirimu itu, Allah membalasnya semula bukan hanya dengan terung  yang telah kau gigit semalam, tapi seluruh isi dalam rumah ini termasuk  diriku kepadamu, telah menjadi milikmu secara halal. Tidak perlu lagi  kau mencuri. Semuanya  telah Allah hadiahkan semula kepadamu kerana KETAQWAANmu itu," ujar wanita itu sambil tersenyum. Pemuda miskin itu cepat-cepat bersujud tanda mensyukuri hadiah Allah kepadanya.
Jika pembaca dapat menilai kembali kisah ini daripada asal, apakah 'main point' yang saya ingin sampaikan?
Ia adalah tentang TAQWA.
Kerana  takutkan Allah, pemuda itu telah meninggalkan semula terung yang  digigitnya ke tempat asal. Dia malu kepada Allah, dan dia benar-benar  takut Allah akan menghukumnya. Kerana [B]TAQWA[/B] yang ada padanya, Allah  membalasnya semula bukan sahaja terung yang selamat digigitnya tanpa  izin, tetapi termasuk tuan empunya rumah dan isi rumah tersebut  kepadanya. Semuanya secara HALAL tanpa perlu rasa ragu-ragu.
                     

Akan  tetapi bukan harta dunia yang dikejar, tetapi rasa takut yang  berterusan kepada Tuhan yang Maha Melihat, yang Maha Mengetahui dan yang  Maha Pengasih, dalam melakukan sesuatu walaupun ia hanya sekecil-kecil  hal (dalam kisah ini: mencuri sebahagian kecil terung!).  Sesungguhnya  beruntung bagi orang-orang yang bertakwa kerana kasih sayang Allah yang  berlipat ganda bukan sahaja di dunia, malah di akhirat kelak.
Firman Allah dan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud:
"Wahai  orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap  orang memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok  (Akhirat), dan bertakwalah kepada Allah. Sungguh, Allah Maha Teliti  terhadap apa yang kamu kerjakan" (Surah Al-Hasyr: 18)
Kemudian Allah sambung lagi dalam surah yang sama, ayat seterusnya;
"Dan  janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, sehinggalah  Allah menjadikan mereka lupa akan diri sendiri. Mereka itulah  orang-orang yang fasik." (Surah Al-Hasyr: 19)
Wasiat  Nabi صلى الله عليه وسلم   kepada Muadz bin Jabal رضي الله عنه ,  "Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana pun kamu berada, tampallah   keburukan dengan kebaikan niscaya akan dapat menghapusnya dan  pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik." (Hadis riwayat Ahmad dan At-Tirmidzi)
Dan  banyak lagi firman Allah dalan Al-Quran tentang taqwa. Marilah berusaha  menjadi orang-orang yang bertakwa demi menggapai redha-Nya dalam setiap  inci pun yang kita lakukan. Kita masih lagi ada masa.
Oh ya! Sebenarnya yang sengaja saya tulis 'dot-dot-dot' pada tajuk di atas adalah sebenarnya:
"Kisah Pemuda, Janda dan TAQWA".
Moga kisah ini bermanfaat untuk semua termasuk diri saya.