Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha
Penyayang.
Memang.
Rasa lemah itu kadangkala menyapa diri.
Ujian-ujian yang datang bertimpa-timpa, kadang kala
membuatkan kita rebah dan tersungkur.
Terkadang, cukup satu ujian yang menerpa. Namun,
beratnya sudah cukup membuat kita hilang arah.
Jika kita berjaya bangun, dan kembali menyusun
langkah, alhamdulillah.
Namun, kadang-kadang kejatuhan yang kita alami itu
seakan-akan merenggut segala daya dan upaya kita. Tenaga yang masih bersisa
hilang entah ke mana, lantaran harapan buat hari esok yang semacam tiada.
Lalu, masihkah ada sinar harapan buat kita bangkit
kembali?
Bagaimana kita menyingkapinya?
Saya percaya, menyuruh orang bersabar tatkala diuji
itu jauh lebih mudah, berbanding diri sendiri yang menghadapinya.
Benar. Memang tidak dapat dinafikan. Saya pun pernah
berada dalam kondisi itu. Di kala, kata-kata motivasi yang kita sering
laung-laungkan kepada orang lain juga ada masanya seakan tidak punya kesan
terhadap diri. Keyakinan yang selama kita ini kita pegang pun mampu tergoyah
kembali.Maka di sini, kita dapat melihat kepentingan saling nasihat-menasihati
kepada kebenaran dan kesabaran, yang ditekankanNya melalui surah al-Asr.
Seringkali, kata-kata tulus mereka itu jualah yang
menyembuhkan semangat diri.
Namun bukan itu yang saya mahu sentuh di sini. Dalam
konteks diri kita sendiri, bagaimana seharusnya kita berdepan dengan ujian itu.
Bagaimanakah caranya untuk kita memotivasikan diri sendiri?
Ok. Perkara ini kita perlu faham dengan jelas,
supaya tatkala kita diuji nanti mudah-mudahan perkongsian ini turut mampu
membangkitkan kita kembali.
Mulakanlah dengan bersangka baik kepada Allah dalam
apa jua perkara.
Bersangka
baiklah.
Yakinlah, Dia tidak menciptakan sesuatu ujian atau
bencana itu, hanya dengan sia-sia. Pasti punya hikmah di sebalik peristiwa yang
menimpa.
"Diwajibkan atas kamu berperang, padahal
berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu,
padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu,
padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."
- \[Surah Al-Baqarah, 2: 216]
Kemudian, sertai kepositifan tadi (bersangka baik)
dengan bersabar. [I]Inallaha ma'as sobirin.[/I] Kerana sesungguhnya, Allah itu
berserta dengan mereka yang sabar.
Sabar.
Dan kelak, kesabaranmu itu pasti akan membuahkan
hasil yang bermanfaat. Agar kemudiannya kau dapat merenung kembali hikmah yang
Dia susunkan itu, sambil dirimu tersenyum.
Kesilapan
kita.
Ada masa kita silap.
Kita rasakan yang kita ini sudah cukup kuat,
bagaikan kita ini telah kebal dari sebarang titik-titik kelemahan.
Terkadang, kita rasakan bahawa kita mampu berdiri
sendiri sehinggakan kita fikir semua ujian yang datang kepada kita itu, mampu
untuk kita selesaikan seorang diri.
Tidak. Saya tidak salahkan kemahuan kita untuk hidup
berdikari.
Namun, kita sering lupa bahawa hakikatnya, kita ini
hanyalah makhlukNya yang serba lemah dan kekurangan. Mampukah kita menanggung
semua ujian itu dengan sendirinya tanpa sebarang bantuan?
"Allah hendak memberikan keringanan kepadamu,
kerana manusia diciptakan (bersifat) lemah." - \[Surah An-Nisa', 4: 32]
Ya. Manusia itu sifatnya tidak akan mampu berdiri
dengan sendirinya; jika tidak dia memperoleh kekuatan itu dari Allah.
Bukankah ujian itu datangnya dari Allah? Maka,
kepada siapa lagi harus kita kembalikan jika tidak kepada Dia Yang Maha Kuasa?
Namun, silapnya pada kita.
Kita sering menyombongkan diri untuk bersimpuh
memohon pertolonganNya.
Kita merasakan diri kita sudah lengkap sempurna.
Kuat, berkuasa.
Sedangkan hakikatnya, kita sedikit tidak punya daya
jika Dia tidak mengizinkannya.
Wujudnya
saat muhasabah.
Manusia jarang sekali mahu bermuhasabah diri.
Tatkala disentap dengan ujian yang berat barulah wujud saat mereka kembali
berfikir apakah salah silap mereka selama ini. Itupun jikalau mereka sedar.
Maka, salah satu hikmah dari ujian adalah wujudnya
masa kita untuk bermuhasabah.
Masa untuk kita merenung kembali sejauh mana
kehidupan ini telah dibawa.
Adakah kita masih berada pada landasan yang benar?
Hikmah dari muhasabah ini akan membawa kita melihat
dan memikirkan pula hikmah-hikmah yang lain dari ujian tadi.
Baik.
Apakah hikmah yang ingin Dia tunjukkan kepada kita
melaluinya?
Manusia itu selalu bersifat lupa diri tatkala diberi
nikmat. Namun, tatkala kita diuji dengan sedemikian rupa, barulah kita
bersegara kembali mencariNya. Sungguh-sungguh kita mohon padaNya agar
dipermudahkan segala kesulitan yang ada. Sedang selama ini, hendak
mengingatiNya sebentar pun terasa berat. Astagfirullah, hamba jenis apakah kita
ini?
"Dan apabila manusia ditimpa bahaya, dia
berdo'a kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah
Kami hilangkan bahaya itu darinya, dia kembali (ke jalan yang sesat),
seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya
yang telah menimpanya. Demikianlah dijadikan terasa indah bagi orang-orang yang
melampaui batas apa yang mereka kerjakan." - \[Surah Yunus, 10: 12]
Maka, di situ punya hikmah untuk sama-sama kita
renungkan.
Bersangka baiklah kepada Allah atas ujian yang
menimpa kita.
Dia mahu kita kembali kepadaNya.
Dia mahu kita selamat di 'sana'.
Dia mahu kita merenung sebentar dan bermuhasabah
kembali.
Sekarang, jawab dengan hati kita. . .
Benarkah selama ini kita telah meletakkan Dia
sebagai matlamat hidup kita?
Atau tanpa sedar kita meletakkan perkara-perkara
lain (nikmat-nikmat yang Dia tarik itu mungkin) sebagai tujuan hidup yang mesti
kita capai?
Benarkah kita telah meletakkan pergantungan kita
sepenuhnya kepadaNya?
Atau mungkin, kita meletakkan pergantungan kita
kepada 'tuhan-tuhan' lain (manusia-manusia lain atau diri sendiri) lebih, berbanding
Dia Yang Maha Sempurna?
Moga-moga, hati-hati yang bersih itu mampu
memberikan jawapan yang jujur.
Kerana saya yakin, pasti semua tahu, bahawa apabila
kita sudah mengakui Allah itu sebagai Tuhan kita, seharusnya hanya Dialah yang
menjadi matlamat utama hidup kita. Dan hanya kepadaNya jualah tempat kita
bergantung segala.
Dan perkara-perkara lain yang 'terkorban' (ketika
diuji) itu, tidak lain hanyalah salah satu kurnia dariNya dan juga sebagai ujian
pembuktian keimanan manusia.
Seharusnya ia tidak mampu menggoyah matlamat hidup
serta keyakinan kita.
Selama ini, adakah itu cara kita melihat?
Penutup:
Kembali sedar matlamat dan peranan hidup
Kembalilah menapak bersama matlamat dan hala tuju
yang jelas.
"Aku tidak menciptakan jin dan manusia
melainkan agar mereka mengabdikan diri kepadaKu." - \[Surah Ad-Dzariyat,
51: 56]
"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada
para malaikat, 'Aku hendak menjadikan khalifah di bumi". Mereka berkata,
'Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di
sana, sedangkan kami sentiasa bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?' Dia
berfirman, 'Sungguh Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.'" -
\[Surah Al-Baqarah, 2: 30]
Manusia itu seharusnya sedar, bahawa tujuan dia
tercipta di muka bumi ini adalah untuk menghambakan diri kepadaNya
(melaksanakan tanggungjawab dan perintahNya, serta meninggalkan laranganNya).
Manusia itu sewajarnya sedar peranan yang perlu dia
mainkan di muka bumi ini ialah sebagai khalifah; yakni dengan memakmurkan muka
bumi, serta membawa manusia kembali kepada Allah, satu-satunya 'Illah' (Tuhan)
seluruh semesta.
Setelah kesedaran, kefahaman, dan keyakinan tadi
mendasar, semua permasalahan tadi pasti akan tampak lebih mudah. InshaAllah.
Wajar sahaja kita merasa sedih tatkala diuji, kerana
itu merupakan lumrah seorang manusia. Namun, amatlah tidak wajar untuk kita merasa
kecewa dan berputus asa. Sekaligus, kita tidak akan sesekali memanjangkan
kesedihan yang dirasa.
Ya. Ia adalah atas keyakinan kita bahawa Allah itu
Tuhan yang menciptakan segala.
Memperhambakan diri kepadaNya merupakan tujuan hidup
kita.
Dan
pasti, Dia tidak menciptakan sesuatu sia-sia, melainkan ada hikmahnya.
Jika kita sudah sedar akan perkara ini, maknanya,
hikmah dari ujian itu seharusnya sudah nampak. Kebangkitan yang
ditunggukan-tunggukan itu juga seharusnya sudah dimulakan langkahnya.
Wahai diri,
Kali ini. . .
Letakkan Dia 'bersama' ketika kamu menapak.
Dan pasti, jalan penyelesaian itu akan mula
kelihatan.
" ... Barangsiapa bertaqwa kepada Allah,
nescaya Dia akan membukakan jalan keluar bagiNya, dan Dia memberinya rezeki
dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada
Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah
melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap
sesuatu." - \[Surah At-Talaq, 65: 2-3]