Mengenai Saya

Foto saya
Malang, East Java, Indonesia
Uhibbuka Fillah...

Laman

Rabu, 19 Januari 2011

Senarai Harapan Menjadi Isi Tong Sampah?


Masih belum terlambat untuk mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah dan selamat tahun baru untuk kalendar masihi. Tahun berubah dan sentiasa menjadi baru. Manusia juga berubah menjadi menjadi baru cuma apa yang menjadi baru itu kita tidak tahu.
Sebenarnya ramai orang Malaysia yang jarang duduk dan muhasabah diri di tahun baru. Mungkin terlalu sibuk dengan kesibukan yang kita sendiri cipta. Itu adalah salah satu punca kegagalan ramai orang yang tidak mempunyai pembaharuan sungguhpun tahun itu sentiasa berubah menjadi baru.
Hari ini kalau disuruh kita menyenaraikan apa yang kita mahu ubah untuk tahun baru, maka kita akan mengambil pen dan kertas lantas menyenaraikan apa yang bermain di minda. Ia mungkin mengambil masa 5 minit dan siaplah satu senarai perkara yang mahu kita ubah sempena tahun baru. Tapi percayakah anda jika saya katakan bahawa sepantas senarai itu dibuat, sepantas itu juga senarai itu dilupakan? Maka lima minit selepas itu, senarai itu hanya menjadi sehelai kertas biasa yang mungkin esok hari akan berkubur didalam tong sampah kerana ditiup angin jatuh ke lantai dan dikutip bibik dalam rutin harian mengemas rumah.
Ini berlaku kerana kurangnya penghayatan. Kita bukan orang yang tidak pandai atau tidak tahu berusaha. Di tempat kerja atau didalam kerjaya, kita mantap dalam menghayati pekerjaan dan mampu membuat pencapaian. Barangkali kita terlupa kehidupan juga memerlukan masa untuk kita luangkan baginya untuk penghayatan.
Saya sendiri sudah bertahun-tahun berazam hendak berhenti merokok tetapi sampai ke hari ini tidak ada banyak perubahan. Saya sendiri menasihatkan orang supaya membuat perubahan tetapi diri saya sendiri kadangkala terlupa fokus kepada azam perubahan yang saya nukilkan sendiri. Adakah saya seorang yang tidak tahu menghayati? Saya seorang penggerak seni, usahawan dan 'motivator' malah mempunyai pencapaian yang memberansangkan dalam perihal penghayatan. Tetapi saya juga adalah manusia yang mana tidak lari dari lupa dan alpa.
Mungkin hari ini saya berkongsi satu penulisan sebagai pesanan kepada pembaca dan diri sendiri bahawa kita amat kurang meluangkan masa untuk menghayati diri. Maka dengan kurang penghayatan tersebut, jarang kita dapat melihat kelemahan diri. Apabila kita jarang dapat melihat kelemahan diri, maka kita tidak sedar kita ini makhluk biasa yang tidak lari dari kesilapan.


Kerana itulah juga kita jarang sedar akan pengabaian yang sukar menganjakkan kita untuk meningkat ke tahap yang lebih baik.
Saya amat yakin anda semua tahu perubahan itu bukan cerita yang senang untuk dilakukan. Kerana itu ia memerlukan penghayatan yang mana daripada penghayatan itu kita akan mengesan mengapakah perubahan yang kita senaraikan saban tahun tak pernah berubah. Oleh itu dalam penyenaraian kali ini, berikan sedikit tumpuan dan usahlah menyenaraikan terlalu banyak perkara. Biarlah ia hanya satu atau dua tetapi ia mesti dilakukan.
Maal Hijrah itu membawa mesej hijrah kepada umat Islam. Kita tidak boleh berhenti berhijrah. Hari ini kalau anda berkata 'saya adalah saya selamanya' maka jadilah anda umpama tunggul kayu yang menanti reput. Meletakkan polisi sedemikian rupa seolah kita adalah orang berpendirian adalah satu kaedah yang salah. Berpendirian haruslah beralasan dan alasan itu haruslah sesuatu ke arah kebaikan. Alasan yang membawa kepada kerosakan bukanlah satu pendirian yang baik sungguhpun ia juga adalah sejenis pendirian.
Hari ini kalau anda seorang yang seksi dan ingin berubah menjadi seorang yang belajar menutup aurat, maka letakkan kemahuan itu didalam hati. Kalau anda seorang suami yang egois dan mahu menjadi penyayang, kuatkan keinginan itu. Jika anda seorang yang lalai agama dan ingin kembali tali Allah, kukuhkan kehendak itu. Maka selepas ada keinginan, maka proses seterusnya adalah memahami jalan perlaksanaannya. Disinilah juga anda akan menghayati dan memahami pancaroba, cabaran serta kemungkinan sukar dalam mencapainya. Disinilah kita dapat bersedia untuk menghadapinya dan tidak terkial-kial dalam merealisasikan perubahan ini.
Jangan biarkan lagi senarai kita menjadi isi tong sampah. Jangan biarkan lagi harapan kita menjadi cerita sahaja. Jangan biarkan lagi perubahan baik yang dimahukan terkandas ditengah jalan. Bersamalah kita berusaha dan berdoa semoga tahun mendatang ini membawa lebih keberkatan, perubahan dan ketenangan dalam kehidupan.

Terimalah sebuah pantun kampung
Anak kecil berselepang kain,
Hendak mengutip si buah sentul,
Jangan cakap tak serupa bikin.
Sampai  ke tua tak jadi betul.


http://www.iluvislam.com/inspirasi/motivasi/1452-senarai-harapan-menjadi-isi-tong-sampah.html