Terdapat dua ekor itik dan seekor
kura-kura yang bersahabat baik tinggal di suatu kawasan yang semakin kering dek
kemarau panjang. Binatang-binatang yang bermastautin di situ telah lama
meninggalkan tempat tersebut memandangkan semakin hari semakin sukar untuk
mendapatkan makanan dan minuman. Semua kolam kering dan tumbuh-tumbuhan semakin
kekuningan dimamah sinaran mentari yang hangat membahang.
Disebabkan keadaan semakin mendesak,
maka dua ekor itik itupun telah berpakat dan mengambil keputusan untuk
berpindah ke kawasan yang lebih lembab dan berair. Kura-kura berasa risau
memandangkan sahabat baiknya ingin meninggalkan tempat tersebut.
Dengan keadaannya yang bergerak
lambat dan tidak boleh terbang seperti mereka, agak mustahil untuk dirinya
mengikuti jejak langkah mereka. Maka dia pun berkatalah kepada kedua-dua ekor
itik tersebut.
"Kalian hendak berpindah, nanti
aku akan mati kekeringan di sini. Aku tidak mampu terbang mengikutimu mencari
tempat yang lebih baik. "
"Hmmm.. betul juga kata kamu Si
Kura-Kura. Owh, tidak mengapa jika kamu mahu, kami boleh membantu kamu untuk
sama-sama berpindah," ujar salah seekor itik tersebut setelah berfikir
seketika.
"Bagaimana?" balas kura-kura
kembali.
"Kami berdua akan menggigit
sebatang kayu dan kamu juga mesti menggigit kayu itu untuk sampai ke destinasi
kita dengan selamat. Bagaimana, kamu setuju?" Soal itik.
"Owh, kalau begitu aku
setuju," kura-kura memberi persetujuan tanpa berbelah bagi.
Maka terbanglah kedua-dua ekor itik
itu mencari tempat tinggal baru bersama kura-kura. Tiba-tiba sedang melalui
suatu kawasan, ada beberapa orang budak nakal yang mengejek kura-kura.
"Hei kura-kura! Ada hati nak
terbang tinggi. Engkau tu dah memang semulajadinya tidak boleh terbang, ada
hati nak terbang tinggi macam itik. "
Kura-kura berasa geram dan marah
dengan ejekan tersebut, tetapi dia masih tidak berkata apa-apa kerana dia tahu
jika dia membuka mulut pasti dia akan terjatuh.
Kedua-dua itik tersebut terus
terbang meninggalkan mereka tanpa mempedulikan ejekan budak-budak itu. Setelah
penat terbang mencari destinasi impian, mereka melalui satu lagi kawasan yang
dipenuhi dengan budak-budak yang sedang bermain. Mereka begitu kagum dengan
keberanian dan kesungguhan kura-kura.
"Kura-kura, kami kagum dengan
semangat yang ditunjukkan oleh kamu. Walaupun kamu tidak boleh terbang, tetapi
kamu berusaha dengan gigih dan mahu ditolong oleh sahabat-sahabat mu, "
jerit mereka kepada kura-kura.
Disebabkan teruja dengan pujian
budak-budak tersebut, maka kura-kura pun membuka mulutnya untuk menjawab pujian
budak-budak itu.
'ALHAMDULILLAH, aku ingin pergi ke
tempat yang lebih baik dan berair bersama itik-itik"
Sebelum sempat menghabiskan
kata-katanya, maka jatuhlah kura-kura itu ke atas tanah dan berkecailah
badannya.
Begitulah berakhirnya kisah Itik dan
Kura-Kura. Apabila dikeji, dihina, kura-kura begitu kuat tetapi kura-kura yang
dulu bersemangat kental akhirnya mati menyembah bumi dek kerana sedikit pujian.
Begitu juga dengan kita, kita akan
kuat apabila dihina dan diberi pelbagai tohmahan tetapi kita mudah terbuai
dengan puji-pujian. Dalam kehidupan ini, kita janganlah cepat lemah dengan
kejian, dan cepat riak dengan hanya sedikit pujian.Sebaliknya sentiasa
bersyukur dan jadikan setiap kejian, umpatan dan fitnah tersebut sebagai sumber
kekuatan kita untuk terus berjaya. Dan jika kita dipuji, janganlah pula berasa
riak. Sebaliknya kembalilah segala pujian tersebut kepada-Nya, kerana tanpa
keizinan-Nya tidak mungkin kita mampu memiliki apa yang kita usahakan.
Awal pujian adalah lembah kehinaan.
Janganlah kita mudah terbuai dengan pujian yang diberikan, kelak kita yang akan
binasa.
http://www.iluvislam.com/inspirasi/motivasi/1462-itik-dan-kura-kura.html