Sewaktu di sekolah menengah, seorang
pelajar baru bernama Aminah pindah ke sekolah saya yang majoriti pelajarnya
berbangsa Cina dan Melayu. Sepertimana di sekolah lain, setiap bulan kami
menduduki ujian bulanan untuk setiap subjek. Pelajar Cina terkenal cemerlang
dalam beberapa subjek tertentu, pelajar Melayu pula cemerlang dalam subjek
lain, manakala yang India pula lain ceritanya.
Bagaimanapun, satu subjek di mana
pelajar Cina dan India sentiasa menewaskan pelajar Melayu ialah Bahasa
Inggeris. Ini kerana, ramai daripada pelajar Cina dan India ibubapanya
berpendidikan tinggi dan bercakap dalam Bahasa Inggeris di rumah. Malah, ramai
yang ada tutor persendirian pula.
Entah macam mana, dalam peperiksaan
akhir tahun Tingkatan Lima, saya mendapat markah yang tinggi dalam Bahasa
Inggeris. Saya pun apa lagi, terasa bangga dan menunjukkannya kepada Aminah.
Namun reaksinya menghairankan saya. "Wow! Alhamdulillah, Jam. Awak
kalahkan semua pelajar lain!" Saya terpegun sejenak dan terfikir,
"Dia gembira kerana saya?" Tapi paling memeranjatkan saya ialah bila
dia menunjukkan pula kepada saya kertas ujiannya sendiri. Markahnya lebih
rendah daripada saya. Terpempan saya dibuatnya. Bagaimana boleh dia bergembira
sedangkan yang mendapat markah tinggi saya, bukannya dia?
Saat itu saya sedar bahawa dialah kawan
sejati yang amat sukar ditemui. Sejak itu, saya amat menyayangi dan
menghormatinya sebagai seorang rakan. Buat diri saya, inilah pengajaran tentang
pentingnya IKHLAS, bagaimana sepatutnya seorang insan yang ikhlas harus
berkelakuan kepada orang lain. Ia sesuatu yang baru untuk diri saya. Selama ini
saya menyangka, sikap dengki, iri hati dan cemburu bila orang lain melebihi
diri kita adalah kelaziman di dunia ini. Alangkah bersyukurnya saya kerana
dipertemukan dengan sahabat yang hatinya semulia dia.
KEIKHLASAN SUMBER KETENANGAN JIWA
Sebagai ibu bapa atau pendidik,
tahukah anda bahawa angka remaja yang membunuh diri dan yang menderita pelbagai
tekanan jiwa di seluruh dunia kini meningkat tinggi? Satu sebab utama ini
berlaku kerana remaja ramai yang mencari makna dan ketenangan hidup dari sumber
yang tidak wajar. Alkohol, dadah, perhubungan bebas luar nikah, merokok, dan
bermacam lagi hanya membawa kepada tekanan jiwa, kehidupan yang penuh derita,
kosong dan tiada makna.
Dalam Islam, keikhlasan adalah titik
tolak setiap fikiran dan perbuatan kita. Ini bermakna, apa sahaja yang kita
lakukan semata-mata bertujuan mencari keredhaan Allah Maha Pengasih. Cuba anda
renung sejenak. Mengapa pula Allah menghendaki sedemikian sedangkan Dialah Yang
Maha Berkuasa? Jawabnya: Kerana Allah Maha Pengasih tahu hanya keikhlasan yang
boleh menjamin kesejahteraan hidup kita. Satu-satunya cara untuk kita gembira
dalam hidup ialah apabila kita ikhlas berbuat apa sahaja semata-mata kerana
Allah, tanpa mengharapkan pujian orang lain.
Tidak lama dulu, saya mengikuti
seminat Heart Purification (Penyucian Hati) dianjurkan oleh Institut AlKauthar
(http://www.alkauthar.org), diajar oleh Sheikh Abu Abdissalam. Keratan notanya,
bila diterjemahkan, berbunyi begini:
"Bila anda mengharapkan cinta,
kasih sayang, pujian, kejayaan, kegembiraan dan pengiktirafan daripada insan
lain, anda akan putus asa. Satu-satunya cara untuk anda menikmati hidup yang
tenang dan penuh makna ialah dengan meletakkan harapan semata-mata kepada
Allah. Di dalam Al-Quran Allah berfirman: 'Ingatlah, bahawa dengan mengingati
Allah, hati menjadi tenteram.' Surah Ar-Ra'd: 28.'"
Pada hemat saya, ayat di atas cukup
menarik kerana ia memberi bukti yang kukuh mengapa kita mesti ikhlas. Ibu bapa
dan pendidik perlu peka; jika inginkan anak-anak dan anak didik yang
benar-benar gembira, tenang dan berjaya hidupnya, ajar mereka supaya ikhlas.
Emosi negatif seperti dengki mendengki, cemburu dan iri hati tidak bertempat,
tamak haloba dan benci akan lenyap dengan sendirinya bila kita ikhlas.
TIPS MENGAJAR ANAK SUPAYA IKHLAS
Ikhlas juga bermakna kita bersikap
jujur dan tidak berpura-pura. Telus dengan diri sendiri dan orang lain serta
mengakui kelemahan diri sendiri. Bayangkan jika diri tidak ikhlas. Ia hanya
membuatkan anda pincang. Bagaimana mungkin anda boleh menjadi orang yang lebih
baik jika tidak telus dengan diri sendiri? Bagaimana mungkin mengharapkan untuk
mendidik anak menjadi ikhlas jika kita sendiri tidak ikhlas?
Cara-cara mudah untuk mendidik anak
bersikap ikhlas:
- Terapkan dalam mindanya. Ulang dan ulang lagi. Bila anda menghantar anak ke
sekolah atau sebelum dia melangkahkan kaki ke sekolah, ingatkan
"Ajim, ikhlaslah dengan apa sahaja yang Ajim buat." Tanya dia
"Kenapa Ajim mesti ikhlas?" Katakan "Sebab, itulah satu-satunya
cara untuk hati menjadi tenteram. Jika kita tidak ikhlas, semua usaha kita
sia-sia kerana Allah tidak akan menerimanya."Jika anda ulangi setiap
hari, kata-kata ini akan tertanam di dalam kotak fikiran anak anda.
- Jangan salahkan orang lain. Meskipun orang lain tidak tahu kesilapan anda, akuilah
jika anda yang bersalah.Jangan sekali-kali menganggap diri terlalu mulia
untuk meminta maaf kepada suami atau isteri, anak, rakan, jiran atau ibu
bapa sendiri.Tanyalah "Apa yang boleh aku lakukan untuk memperbaiki
keadaan ini?"
- Jangan harapkan balasan untuk kebaikan yang anda
lakukan. Ini penting, lebih-lebih lagi
jika orang yang anda bantu langsung tidak menghargai usaha anda atau lebih
teruk, membalasnya dengan kata-kata kesat.Yakinlah bahawa Allah akan
memberi anda ganjaran bagi kebaikan yang anda lakukan.
- Bergembiralah jika orang lain lebih baik daripada anda. Seperti kawan baik saya, Aminah, tunjukkan kepada
anak anda bahawa anda gembira bila sahabat, saudara-mara atau adik-beradik
anda lebih senang hidupnya. Doakanlah untuk kesejahteraan mereka seperti
anda mendoakan untuk diri anda dan keluarga sendiri.
Terbaru, saya menghadiri satu lagi
seminar anjuran Institut AlMaghrib (http://almaghrib.org) berjudul A Heart
Serene (Hati Yang Tenang) yang diajar oleh Sheikh Riad Ouarzazi. Petikan
daripada notanya bila diterjemah berbunyi begini:
Beberapa tanda keikhlasan:
- Niat yang murni sebelum memulakan sesuatu perbuatan
- Menyempurnakan apa sahaja yang dibuat sama ada dilihat
oleh orang lain atau sebaliknya
- Mengalu-alukan nasihat daripada rakan taulan
- Sentiasa insaf dengan kelemahan sendiri
- Merasakan yang sumbangan anda kecil berbanding orang
lain
- Dan banyak lagi ...
Saya kira anda mungkin
tertanya-tanya apa yang terjadi kepada sahabat karib saya, Aminah. Kini beliau
seorang pakar psikiatri pediatrik, iaitu doktor pakar penyakit mental
kanak-kanak. Saya boleh bayangkan beliau sekarang, melayani semua kanak-kanak
yang berjumpa dengannya dengan senyumannya yang mesra dan ikhlas. Tidak syak
lagi, beliau menceriakan sesiapa sahaja yang menemuinya!