Mengenai Saya

Foto saya
Malang, East Java, Indonesia
Uhibbuka Fillah...

Laman

Jumat, 21 Januari 2011

Panduan Memilih Jodoh


Mencari pasangan hidup bukan mudah. Pasangan hidup  maknanya pasangan untuk hidup bersama, bukan sekejap.
Jika umur panjang  mungkin bersama sehingga 50 tahun.
Bangun bersama, makan bersama,  berbual bersama, tidur bersama.
Berkongsi anak, berkongsi rumah,  berkongsi rasa, berkongsi kasih.
Maka, mencari pasangan hidup ini memang perkara serius. Serius.  Memang serius.
Jangan akibat si dia mengurat anda, maka anda terus  terpesona dan bersetuju. Jangan semata si dia comel atau glamour, maka  anda terus mengambilnya.
Fikir betul-betul. Solat istikharah dan banyakkan berdoa. Selagi  belum tenang jiwa, tunggu dulu. Usah tergopoh gapah. Mencari jodoh,  perlukan panduan. Perlu ada sandaran ilmu dan petunjuk.


Dalam banyak-banyak penulisan saya suka memetik sebahagian dari artikel Ust Hasrizal (Abu Saif) dalam lamannya SaifulIslam.com.
Antara yang menarik tulisan berikut:
Hadis Nabi SAW yang diulang-ulang sebagai slogan memanifestasikan keinginan berumahtangga.
Bukan tidak banyak penjelasan tentang hadis ini di pelbagai sumber  maklumat yang ada. Tetapi sering anak muda kecundang dalam mengimbangkan  kefahamannya dalam konteks TEPAT dan JELAS.
Selagi mana tidak tepat,  selagi itulah jalannya tersasar ke sana sini. Kehidupan yang tidak  ditentukan arahnya, adalah kehidupan yang tidak tentu arah.

Apa Tujuan Berumahtangga?
"Begin with the end in mind", adalah slogan kita untuk menepatkan matlamat kehidupan dan segenap peringkat perjalanannya.
Soal menentukan matlamat yang tepat, tidaklah begitu susah.
Berkahwin kerana harta? Harta bukan sumber bahagia.
Donald Trumph  yang kaya raya itu pun pernah mengeluh dalam temubualnya bersama John C.  Maxwell, "aku melihat ramai orang yang lebih gembira hidupnya dari  hidupku.
Padaku mereka itulah orang yang berjaya. Tetapi semua orang  mahu menjadi aku"
Harta bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.
Berkahwin kerana keturunan? Keturunan bukan jaminan sumber bahagia.
Syarifah hanya boleh berkahwin dengan Syed? Puteri hanya layak untuk  Megat?
Atau pantang keturunan berkahwin dengan ahli muzik bak kata Mak  Dara?
Soal keturunan bukan penentu mutlak kerana setiap manusia lahir  dengan fitrah yang satu dan murni, lantas setiap mukallaf dan mukallafah  mampu kembali kepada kemurnian itu, biar pun lahir ke dunia tanpa bapa  yang sah sekali pun.


Keturunan bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.
Berkahwin kerana kecantikan? Ahh, yang ini rumit barangkali.
Cinta itu dari mata turun ke hati. Maka mata pemutus pertama.
Jika  berkenan di mata, mudahlah mata memujuk hati.
Tetapi selama mana kecantikan menyenangkan kehidupan?
Kecantikan,  biar secantik mana pun, akan pudar dengan perjalanan masa. Kecantikan,  biar secantik mana sekali pun, boleh dicabar oleh naluri manusia yang  mudah kalah dengan alasan JEMU.
Mahu berkahwin sementara cantik, dan buang selepas cantik dan kacak bergaya itu dimamah usia?
Cantik bukan sumber bahagia, ia bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.
"Maka pilihlah yang memiliki agama... nescaya sejahtera hidupmu", pesan Nabi SAW.
Benar sekali, pilihlah yang beragama.
"Maka saya kena kahwin dengan ustazah, saya kena kahwin dengan ustaz!", kata seorang pelajar 'bidang bukan agama'.

Penyakit "Tidak Jelas"
Setelah begitu tepat sekali kita menolak harta, keturunan dan rupa  paras sebagai sebab untuk memilih pasangan, tibalah kita kepada masalah  paling besar menguruskan fikiran tentang perkahwinan, iaitu penyakit  "tidak jelas", apabila tiba kepada soal beragama.
Apakah yang memiliki agama itu mesti seorang yang ustazah atau ustaz?
Maka berkahwin dengan golongan ini, jaminan bahagia. Benarkah begitu?
Di sinilah penting untuk kita bezakan golongan yang TAHU agama, MAHU beragama dan MAMPU dalam beragama.


Soal mendapatkan ilmu sebagai jalan beragama, adalah prinsip besar di  dalam Islam. Lihat sahaja langkah pertama proses wahyu, ia bermula  dengan perintah BACA sebagai wasilah menggarap pengetahuan.
Tetapi apakah TAHU itu merupakah maksud kita beragama dengan agama Islam ini?
Sejauh mana gred 'A' yang digarap dalam subjek "PengeTAHUan Agama  Islam" menjadi bekal dan perisai generasi Muslim dalam beragama?
"Yang memiliki agama" itu lebih luas dari sekadar sempadan tahu agama. Ia adalah soal MAHU yang menjadikan pengetahuan agama itu dihayati, dan MAMPU dalam erti dia sentiasa bermujahadah untuk memperbaiki diri.
Maka janganlah disempitkan maksud mencari yang beragama itu hanya  pada mereka yang berlabelkan "jenama TAHU agama" tetapi apa yang lebih  penting adalah mereka yang MAHU dan terbukti pada perbuatan hariannya  dia sentiasa berusaha menuju MAMPU.
Dia mungkin seorang ustazah.
Dia juga mungkin seorang jurutera dan doktor.
Dia mungkin bertudung labuh.
Dia juga mungkin belum bertudung tetapi sentiasa mencari jalan untuk  menuju kesempurnaan kebaikan. Dia seorang yang membuka dirinya untuk  dibimbing dan diajar. Seorang yang 'teachable".

Hanya 'Beragama'?
Ada pula yang menyangka bahawa kebahagiaan rumahtangga itu terletak  pada beragamanya pasangan kita. Soal harta, keturunan dan rupa paras  tidak punya sebarang makna.
Maka jadilah seorang perempuan itu fasih lidahnya tentang agama dan  rapi pakaiannya sebagai isyarat dia beragama, tetapi dia tidak  mengetahui nilai harta.
Dia boros dan tidak bijak menguruskan harta  rumahtangganya.
Dia nampak elok beragama, malah mungkin seorang pejuang agama, tetapi  dia tidak peduli nilai keturunan dan kekeluargaan.


Dia tidak menghargai  keluarganya sendiri, tidak menghargai keluarga suami atau juga keluarga  isteri.
Padanya, soal keluarga dan keturunan bukan urusan agama.
Dia bijak dalam memperkatakan tentang agama, tetapi dia menjadikan  alasan agama untuk tidak peduli kepada penampilan diri. Pakaiannya  selekeh atas nama agama, kulitnya tidak dijaga bersih, beralasankan  agama.
Jika perempuan, dia tidak peduli untuk mewangikan diri atau  bersolek mengemas diri, kerana padanya itu semua bukan kehendak agama,  dan si suami menikahinya bukan kerana itu.
Saban hari mukanya bertepek  dengan bedak sejuk dan tubuhnya bersarung baju kelawar. Hambar..
Jika lelaki, dia biarkan diri selekeh dan sentiasa berkemban di dalam  kain pelekat dan baju pagoda, membiarkan bau peluh jantannya tidak  berbasuh, kerana semua itu tiada kena mengena dengan agama.
Jadilah agama, sebagai alasan untuk sebuah rumahtangga itu menjadi  rumahtangga terhodoh, terburuk dan terselekeh... atas nama berkahwin  kerana beragama.


http://www.iluvislam.com/keluarga/perkahwinan/1033-panduan-memilih-jodoh.html