Mengenai Saya
Laman
Minggu, 26 Desember 2010
Bila Kasih Diberi, Mengapa Dikhianati?
Saya berbual dengan seorang sahabat tentang kasih sayang. Juga tentang bagaimana menghargai kasih sayang yang dikurniakan. Sebelum saya huraikan hasil perbualan kami, saya ingin menyoal anda dengan pertanyaan saya ini.
Kamu fikir, siapakah sebenarnya yang paling sayang kepada kamu?
Mungkin ada yang menjawab ibu, pasangan hidup, sahabat karib, dan lain-lain. Mungkin. Tetapi, jika ada yang memberikan jawapannya adalah Allah, ketahuilah bahawa jawapan kamu itu bersamaan dengan jawapan saya.
Ya, yang paling sayang kepada kita ialah Dia. Pencipta kita. Pembuat kita. Allah.
Bayangkan, kita sebagai manusia yang lemah ini pun akan sayang kepada sesuatu yag dihasilkan dengan titik peluh kita sendiri, bagaimana pula dengan Dia yang mengakui secara jelas bahawa Dialah Yang Maha Penyayang.
Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
]Perasaan Sayang Yang Makhluk Miliki Adalah Kurniaan Allah
Kita biasa melihat betapa sayangnya seorang ibu atau bapa kepada anaknya. Juga perasaan sayang seorang iteri kepada suaminya. Namun, biasakah kita melihat bahawa perasaan sayang mereka ini, Allahlah yang mengurniakannya kepada mereka.
Berkenaan perkara ini, sahabat nabi, Abu Hurairah R.A. ada meriwayatkan sebuah hadis dengan katanya,
"Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda: Allah telah menjadikan kasih sayangNya terbagi dalam seratus bahagian. Dia menahan sembilan puluh sembilan bahagian di sisi-Nya dan menurunkan satu bahagian ke bumi. Dari satu bahagian itulah para makhluk saling kasih-mengasihi sehingga seekor ibu binatang mengangkat cakarnya dari anaknya kerana takut melukainya."[riwayat Imam Muslim]
Bayangkan, betapa banyaknya kasih dan sayang yang Allah miliki. Maka betapa besarnya pula kasih sayang Allah kepada manusia kerana manusialah makhluk yag paling dikasihiNya.
Pernah suatu hari Sayyidina Umar datang menghadap Rasulullah s.a.w. dengan membawa beberapa orang tawanan. Di antara para tawanan itu terlihat seorang wanita sedang mencari-cari, lalu jika ia mendapatkan seorang bayi di antara tawanan dia terus mengambil bayi itu lalu mendakapkannya ke perut untuk disusui.
Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bagaimana pendapat kamu sekalian, apakah wanita ini akan melemparkan anaknya ke dalam api?" Para sahabat menjawab: "Tidak, demi Allah, sedangkan dia mampu untuk tidak melemparnya." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sungguh Allah lebih mengasihi hamba-Nya daripada wanita ini terhadap anaknya."
Begitu sekali kasihnya Allah kepada hambaNya. Tidakkah kita patut berfikir untuk menghargainya?
Menghargai Kasih Sayang Allah
Kita ini, bila kita tahu ibu bapa sayang kepada kita, kita jadi tak tergamak untuk lukakan hati mereka. Tak sampai hati hendak buat perkara yang mereka tak suka kita buat. Tetapi, kita buat juga secara sembunyi.
Namun, Allah lain. Dia tak sama dengan orang yang kita sayang. Allah, bila Dia menyuruh kita berbuat sesuatu, atau melarang kita dari melakukan sesuatu yang lain, Dia sentiasa Melihat kita. Maka, di sinilah nilaian kepada sejauh mana kita menghargai kasih dan sayang yang Allah berikan.
Adakah kita tetap buat yang Allah larang?
Atau masih tak laksanakan perkara yang Dia suruh?
Sedangkan Dia tetap melihat apapun yang kita lakukan.
Tinggalkan Dosa Kerana Hutang Kasih
Kita selalu dengar ustaz-ustaz kita pesan supaya tinggalkan maksiat kerana setiap maksiat kita itu balasannya adalah neraka Allah. Neraka pula azabnya tidak terfikir oleh otak, tidak terucap pula oleh lidah. Betapa dahsyat.
Tapi masih ramai yang tidak tinggalkan maksiat.
Jadi, selain dari ancaman azab-azab yang sangat mengerikan itu, saya ingin mengajak kita kepada menghindar maksiat dengan menginsafi bahawa kita sudah terlalu banyak berhutang kasih kepada Allah. Sangat banyak. Kasih Allah kepada kita bukan sekadar semasa kita hidup, bahkan sebelum kita hidup dan selepasnya.
Diriwayatkan oleh Saiyidina Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda,"Tatkala Allah menciptakan makhluk, Allah telah menuliskan dalam kitab catatan-Nya yang berada di sisi-Nya di atas arsy bahawa sesungguhnya kasih sayang-Ku mengalahkan murka-Ku" \[riwayat Imam Muslim].
Sahabat-sahabat, tergamaknya kita membalas kasih sayang Allah dengan kemungkaran. Hamba apakah kita ini?
http://www.iluvislam.com/tazkirah/dakwah/1195-bila-kasih-diberi-mengapa-dikhianati.html
Kecurian - Apa Perlu Kita Lakukan?
Sebenarnya saya tidak mahu memperkatakan tentang ini, tetapi atas kerisauan saya yang maha dahsyat, saya tulis juga sebagai peringatan sesama kita.
Agak panjang, tetapi mohon luangkan sedikit masa ya. Terima kasih.
Jam 4 pagi tadi, rumah kami hampir dimasuki pencuri!
Alhamdulillah, dia tidak memasuki rumah kami, tetapi dia berjaya memasuki kereta Viva emak saya, mencuri Touch N' Go dan beberapa helai duit kertas.
Kehadiran pencuri itu disedari oleh kakak sulung saya, kerana si jahanam itu (eh maaf ya, emo sikit, haha!) berani pula menghulurkan tangan dengan lampu suluh.
Nasib baik kakak saya tersedar kerana lampu suluh pencuri itu terlanggar besi tingkap.
Kakak saya memang selalu membuka sedikit tingkapnya bagi aliran udara, dan kerana kucing-kucing kami selalu masuk melalui tingkap selepas seharian bercanda di luar, demi mengelakkan kejadian dahulu berulang lagi.
Oleh kerana kakak saya tersedar dan terkejut, dia sergah pencuri itu, dan terus pencuri itu menarik tangannya. Tetapi tidak kedengaran bunyi lari lintang-pukang. Kami syak dia sekadar tunduk sebelum bersembunyi.
Kakak saya yang cemas, keluar dan mengetuk bilik emak saya terjerit-jerit.
Tetapi tiada apa-apa lagi yang berlaku selepas itu, hinggalah semasa emak saya mahu pergi kerja dan menekan alarm, keretanya berbunyi seolah-olah pintu tidak tutup rapat.
Ada beberapa perkara pelik dengan kejadian ini, namun saya tidak mengharapkannya. Sekadar mengaitkan dengan kejadian yang menimpa orang lain.
Pencuri itu berjaya masuk ke laman rumah kami kerana pintu pagar tidak berkunci, memasuki kereta emak saya, tetapi dia tidak mencuri kereta.Sekadar Touch N' Go dan duit. Malah radio juga tidak dicuri.
Dia berani suluh ke dalam rumah kami dari luar dan tiada tanda-tanda dia kelam-kabut.
Selepas mengamati segala tindak-tanduknya, kami sebulat suara bersetuju yang pencuri lahanat itu (eh, maafkan sekali lagi kekasaran saya) adalah pencuri profesional.
Membawa lampu suluh, tidak cemas walaupun disergah, dan memasuki kereta emak saya tanpa sebarang bunyi.
Sangat licik dan berani! Dan kami rasa, dia baru sekadar ushar-ushar. Saya sangat tidak percaya kalau emak saya tidak kunci kereta, hanya kerana dia parkir di dalam.
Itu bukan cara kami, kerana kami bukan gated-community, pak guard pun macam tak ada faedah.
Kau angkat tangan, kau beri senyuman mesra sikit, dah boleh masuk. Lebih-lebih lagi selepas kejadian pahit ini.
Memang tidak mungkin langsung kami, lebih-lebih lagi emak saya, tidak kunci keretanya. Nampak sangat pencuri itu bijak membuka kereta tanpa perlu memecahkan tingkap ataupun mengumpil lubang kunci.
Entahlah, yang ini masih menjadi misteri. Mungkin juga emak saya akhirnya terlupa kunci kereta. Mungkin?
Tetapi ya, kejadian sebegini berlaku hanya kerana kita lalai seketika. Dalam banyak-banyak hari kita berjaga-jaga, tiba-tiba hanya kerana sekali kelalaian, kita terpaksa menanggung akibatnya.
Macam hal ini, selalunya kami kunci pagar, tidak kira keluar pada pukul berapa.
Tetapi hendak dijadikan cerita, adik bongsu saya keluar selepas maghrib, adik kedua saya pula baru balik dari kerja lebih kurang jam 9 malam, pagar itu tidak dikunci kerana menganggap adik bongsu saya belum balik.
Emak saya terjaga jam 12 tengah malam, lihat masih belum berkunci, tetapi beranggapan yang sama, iaitu adik bongsu saya belum balik.
Hanya kerana tanggapan masing-masing, dan kelalaian, rumah kami dimasuki pencuri buat kali kedua, walaupun sekadar di halaman rumah.
Isunya, pencuri itu sudah melepasi pagar. Itu langkah pertama berlakunya kecurian.
Maka di sini saya mahu kongsikan sedikit peringatan buat diri sendiri, dan kawan-kawan yang membaca.
01.Jangan lupa kunci pintu.
Pintu pagar, mungkin boleh dimaafkan sekiranya leceh asyik perlu dimangga, tetapi selepas jam 10 malam, mohon mangga. Pintu kayu yang ada tombol itu pula, mohon kunci 24 jam.
Tambah selak sekiranya perlu. Jangan sangka jam 10 pagi ke, 3 petang ke, 8 malam ke, pencuri tidak boleh masuk.
Adalah lebih parah apabila kita sedang syok-syok tonton TV sambil makan nasi, tiba-tiba masuk orang yang tak dikenali, sambil bawa pisau. Mahu tercekik nasi kau.
02.Jangan lupa tutup dan kunci tingkap.
Sekiranya untuk tujuan menganginkan bilik, hanya buka pada waktu siang, dan pastikan tingkap tidak boleh dimasuki manusia.
Dan tolong jangan buka tingkap yang berhampiran pintu. Orang jahat hulur tangan, pulas tombol, dah boleh masuk. Tak ada maknanya, Nab.
03.Jangan gantung kunci berhampiran tingkap ataupun pintu.
Ini memang cari nahas. Tidak kira kunci apa sekalipun. Kunci rumah apatah lagi. Kunci kereta sila simpan di bilik masing-masing.
Dulu kami gantung kunci betul-betul di sebelah sliding door, yang bersebelahan dengan pintu utama sebab lebih mudah bagi kami apabila mahu buka mangga pintu.
Tetapi memang lebih mudahlah untuk pencuri masuk senang-lenang.
Sekarang saya sudah alihkan tempat gantung kunci itu di tempat yang tidak dapat dicapai tangan. Harap pencuri tidak perlu gigih hulur kayu panjang beratus-ratus sentimeter.
Memang cacat otak kalau dia terfikir begitu. Melendut kot kayu kau!
04.Jangan letak apa-apa barang berharga di dalam kereta.
Touch N' Go adalah salah satu daripadanya. Ini kad debit, maknanya ada sejumlah wang di dalamnya.
Tak kisahlah kalau tinggal seringgit dua, tetapi kad itu sendiri ada harganya.
Dulu RM15, sekarang saya tidak tahu berapa.
Jangan kerana kad bernilai RM15 itu, pencuri berkeinginan untuk pecah kereta kita, seterusnya membolehkan dia curi benda lain, atau paling sakit, kereta kitalah kan?
05.Jangan jadikan keluar rumah lewat malam dan balik awal pagi sebagai habit.
Ini sudah banyak kali saya beritahu adik-adik saya, tetapi sekejap sahaja mereka dengar, kemudian mereka buat balik.
Ini bahaya kerana pada waktu begini, kebanyakan orang sedang tidur.
Apa yang menyebabkan ini lebih bahaya, mereka boleh pukul leher kau masa kau tengah sibuk-sibuk nak kunci pintu, sampai kau pengsan.
Peratusan jeritan mengaduh kau pada waktu ini didengari oleh orang lain adalah tipis.
Kalaupun dia pukul tidak sampai pengsan, mungkin dia belasah pula, dan hingga ke satu tahap, nyawa melayang.
Selepas kau dah 'diselesaikan', dia masuk dengan riang-ria cuti sekolah, curi barang-barang, dan mungkin nyawa ahli keluarga lain pula dalam bahaya. Astaghfirullah, harap dijauhkan.
06.Pasang lampu di luar, terang-seterang-terangnya.
Emak saya tidak suka idea ini, kerana bil elektrik melambung.
Malah emak saya kata, ini lebih membuatkan orang tahu apa yang ada di dalam kereta, dan apa yang ada di halaman rumah.
Tetapi bagi saya, apa sangatlah bil elektrik itu dibanding nyawa kita sendiri. Yang penting, kalau kita nampak ada orang memasuki halaman rumah kita, kita nampak macam mana wajahnya, dan bukan sekadar bayang-bayang.
Malah sekiranya jiran-jiran kita ada yang belum tidur, dapat melihat sesiapa yang sedang berlegar di halaman rumah kita.
Tetapi sekiranya semua langkah berjaga-jaga sudah dilakukan dengan jayanya, tetapi berlaku juga, saya ada peringatan lain bagi menghadapi situasi itu.
01.Sentiasa kunci bilik masing-masing, dan jangan buka bilik walaupun diketuk bertalu-talu, hingga orang yang mengetuk itu bersuara. Jadikan ini satu habit. Tidak kira waktu siang ataupun waktu malam.
Ketukan pertama, kita biarkan. Ketukan kedua, kita tanya, "Siapa?".
Kalau yang menyahut itu suara ahli keluarga kita, pastikan suara mereka tidak seperti ketakutan. Tanya lagi, "Mahu apa?".
Kalau yang mengetuk itu terus mengetuk tanpa menyahut, jangan buka pintu bilik. Jangan sekali-kali! terus sendal pintu dengan meja, almari atau apa-apa sahaja yang boleh.
Kemudian hubungi kenalan terdekat, supaya datang memantau. Jiran sebelah rumah lebih afdhal.
Hal ini, kalau kita mampu letak kanta untuk mengintai macam di bilik hotel itu, mengancam juga.
02.Apabila semua sudah sepakat untuk tidak buka pintu sekiranya yang mengetuk tidak menyahut, insya-Allah nyawa masing-masing akan selamat. Kalau bilik kita ada pintu lain yang menghubungkan kita dengan bilik ahli keluarga lain, masuk ikut pintu itu dan kejutkan semuanya.
Kumpul di dalam satu bilik, dan minta mereka sendal pintu bilik mereka dengan almari atau meja.
Kemudian telefon polis.
Bilik saya boleh dihubungkan dengan bilik adik pertama saya melalui beranda, dan bilik adik saya itu boleh dihubungkan dengan bilik adik bongsu saya melalui bilik air.
Sama halnya dengan bilik kakak dan emak saya. Mereka berkongsi bilik air.
Tetapi yang silapnya pagi tadi, kakak saya yang cemas sudah keluar bilik dan mengetuk pintu emak saya.
Ini sangat-sangat bahaya. Tiada siapa tahu berapa ramai yang datang, bimbang ada yang sudah di dalam rumah.
Lebih baik ketuk pintu bilik air dan duduk di dalam satu bilik.
03.Pastikan ada senjata di dalam bilik kita. Tidak kira senjata tajam mahupun tumpul, mohon letakkan berhampiran katil. Dulu ayah saya ada pedang dan parang, dia letak dicelah almari. Takut, kan?
Seorang ayah memang protective. Selepas ayah saya meninggal, pedang itu adik saya ambil dan simpan di dalam almari.
Cuma harap senjata seperti ini tidak disalahgunakan.
Paling tidak, sediakan kayu seperti kayu besbol ataupun pistol angin, atau pisau daging sekiranya perlu.
Garfu, harap tidak perlu susah-susah simpan. Pisau lebih baik. Jangan pisau sapu mentega ya.
04.Tolonglah simpan nombor-nombor penting seperti polis, bomba, jiran sebelah dan sesiapa sahaja yang dapat datang ke rumah kita pada waktu kecemasan.
Jangan sekadar ada nombornya, pastikan juga telefon sentiasa ada kredit.
Jangan asyik guna kredit untuk telefon buah hati, sayang oooooi.
05.Sekiranya telefon tiada berfaedah demi menyelamatkan diri, sendal pintu dengan almari dan mula menjerit di tingkap supaya jiran tetangga terdengar.
JERIT KUAT-KUAT, KATA ADA PENCURI DAN MINTA TOLONG! Jerit berulang kali hingga jiran menyalakan lampu dan keluar dari rumah.
06.Last but not least, Nyawa Adalah Lebih Penting Daripada Harta Benda. Biarkan sahaja mereka ambil apa yang mereka mahu, kerana barang-barang itu boleh diganti balik.
Harap maaf ya kerana sudah membebel-bebel. Saya benar-benar bimbang dengan kejadian ini.
Ini sudah kali kedua, dan kami masih bernasib baik kerana tiada kecurian bernilai besar dan tiada nyawa yang terancam.
Dan saya rasa masih ramai yang menganggap, mereka selamat apabila berada di dalam rumah sendiri.
Kita mungkin selamat di dalam, tetapi tidak bermaksud yang jahat-jahat itu tidak masuk.
Tolong jaga diri masing-masing ya. Dan tolong jangan anggap semua langkah keselamatan ini untuk menjaga diri sendiri sahaja.
Fikirkan ahli keluarga yang lain, dan saling mengingati. Kalau rasa-rasa malas nak kunci pintu, fikir setiap kemungkinan yang akan berlaku atas kemalasan kita.
http://www.iluvislam.com/tazkirah/nasihat/1374-kecurian-apa-perlu-kita-lakukan.html
Rasulullah SAW Mandi Bersama Isteri
Pernahkah anda mandi bersama-sama isteri anda? Kalau belum, anda patut mencubanya. Mandi bersama dengan saling jirus-menjirus serta gosok-menggosok dan sebagainya adalah amalan yang cukup bermakna dalam kehidupan suami isteri.
Insyallah mandi bersama-sama ini dapat mengukuhkan lagi rasa kasih suami isteri. Amalan ini bukan petua yang datang dari orang zaman dulu, bukan juga saranan tokoh motivasi, tetapi ia adalah amalan Rasulullah sallallahi 'alaihi wa sallam –manusia paling agung dan paling mulia di atas muka bumi ini.
Imam Al-Bukhari meriwayatkan yang bermaksud :
"Daripada Aisyah R.Ha berkata : aku sentiasa mandi bersama dengan Nabi SAW daripada satu bekas. tangan kami sama-sama berselisih (ketika menggunakan air dalam bekas itu)" (Sahih Al-Bukhari : hadis no : 253)
Hadis ini menunjukkan bagaimana indah dan romantiknya Nabi SAW dengan isteri-isterinya. Gambaran romantik ini, dirakamkan sendiri oleh Aisyah yang bercerita bagaimana Baginda SAW boleh mandi bersama-sama sehingga tangan mereka berselisih dan berganti-gantian.
Mandi yang dimaksudkan dalam perbincangan ini, tidak dikhususkan kepada mandi biasa sahaja, bahkan termasuk juga mandi jinabah atau disebut sebagai mandi wajib.
Dalam hadis riwayat Imam Muslim, ada dinyatakan
"Aku selalu mandi bersama dengan Rasulullah SAW daripada satu bekas, dan kami ketika itu sedang berjunub." (Sahih Muslim : 482)
Mandi bersama bukan sekadar berada di bilik air bersama-sama sambil mandi-manda. Malah ia disertakan juga dengan aktiviti-aktiviti romantik yang boleh meningkatkan kemesraan dan keseronokan. Nabi SAW sendiri ketika mandi itu, tidak sekadar mandi bersama-sama semata-mata. Aisyah yang mandi bersama Nabi bercerita bahawa ketika sedang Nabi SAW mandi bersama, Baginda SAW merungkai-rungkaikan rambut Aisyah (Sahih Muslim : 498). Demikianlah romantiknya Rasulullah sallallahi 'alaihi wa sallam.
Selain itu, sambil-sambil mandi pasangan suami isteri bolehlah bergurai senda, dan berseronok. Rasulullah sallallahi 'alaihi wa sallam sendiri pernah mandi bersama sambil bergurau-gurau. Mereka berdua bermain-main air, dengan berebut-rebut mengambil air sehinggakan Aisyah dalam suasana sedang berseronok-seronok meminta kepada Nabi agar air itu disimpan untuknya kerana semuanya telah diambil oleh Nabi SAW (Sunan An-Nasai : 239).
Bahkan aktiviti mandi manda bersama ini juga boleh menjadi aktiviti kemesraan intim yang amat menyeronokkan. Dalam suasana berdua dalam satu tempat mandi, dan dalam suasana sejuk itu tentunya suami isteri akan terdorong untuk lebih mesra dan intim. Dalam hal ini, Ummu Salamah pernah bercerita bahawa dia mandi bersama dengan Nabi SAW dan ketika itu Baginda menciumnya. Menurutnya, peristiwa ini berlaku, ketika Baginda sedang berpuasa (Mushad Ahmad : 25355).
Demikianlah hebatnya cinta Rasulullah sallallahi 'alaihi wa sallam. Kita sebagai umatnya amat wajar menjadikannya sebagai petunjuk dan pengajaran. Jika Rasulullah sallallahi 'alaihi wa sallam menyuburkan kasih melalui mandi bersama, mengapa kita tidak boleh lakukannya. Alangkah malangnya jika perasaan malu tidak bertempat menghalang kita untuk mencontohi amalan Rasulullah SAW ini dalam rumahtangga kita sendiri.
Selain itu, anggapan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa mandi bersama-sama dengan isteri merupakan amalan tidak sopan, merupakan satu anggapan yang salah dan tersasar dari ajaran Islam. Mandi bersama ini secara tidak langsung akan menimbulkan rasa dihargai bagi isteri dan seterusnya menambahkan lagi kasihnya kepada suami. Bagi suami pula, amalan ini dapat meringankan tekanan kerja di samping menimbulkan ketenangan hasil kegembiraan yang dirasai oleh isteri.
Bagi suami, usahlah malu untuk mengajak isteri mandi bersama. Janganlah menyangka bahawa mandi bersama isteri akan menjatuhkan martabat anda sebagai seorang suami yang menjadi ketua keluarga. Ingatlah, jika Rasulullah sallallahi 'alaihi wa sallam sendiri melakukannya, tentu tersirat seribu macam kelebihan di dalam amalan ini.
Bagi isteri pula, janganlah menolak apabila di ajak oleh suami mereka untuk mandi bersama. Lihatlah Aisyah dan Ummu Salamah yang tidak menolak ajakan Nabi SAW untuk mandi bersama-sama. Bahkan, dilihat bahawa Aisyah amat berbangga dan gembira dengan tindakan Nabi yang mandi dengannya sehingga sanggup menceritakan hal ini. Jika tidak, masakan kisah ini dibukukan dalam kitab-kitab hadis.
Demikianlah pedoman berumahtangga yang dipetik dari kehidupan Rasulullah sallallahi 'alaihi wa sallam. Mudah-mudahan rakan-rakan semua terdorong untuk mengikuti jejak insan mulia ini dalam usaha untuk mengukuhkan institusi rumah tangga. Moga kita semua dirahmati Allah SWT.
http://www.iluvislam.com/keluarga/perkahwinan/1378-rasulullah-saw-mandi-bersama-isteri.html
Bunga Yang Cantik Jarang Harum
Wanita sinonim dengan kecantikan. Istilah "cermin" dalam bahasa Arab dekat sangat dengan wanita – kerana cermin itu dekat pula dengan kecantikan. Bercermin untuk kelihatan cantik. Ke mana-mana wanita pergi, cermin ada di sisi.Bagi yang tidak cantik bagaimana? Mereka bukan wanita?
Tunggu dulu, setiap yang Allah cipta pasti indah kerana Allah itu Maha Indah dan suka pada keindahan. Tuhan tidak mencipta manusia hodoh, Tuhan hanya mencipta manusia dengan kecantikan berbeza. Jadi, ingat itu... setiap wanita berhak untuk cantik!
Soalnya, di manakah letaknya kecantikan sebenar pada seorang wanita? Kalau kita tanyakan kepada para lelaki maka sudah pasti kita akan temui pelbagai jawapan. Ada yang merasakan kecantikan wanitaitu pada wajah, pada bentuk tubuh, pada kebijaksanaan atau pada tingkah lakunya.
Dan pada yang menyatakan kecantikan pada wajah pula terbahagi kepada pelbagai pandangan, ada yang mengatakan kecantikannya terletak pada hidung, pada mata dan sebagainya. Pendekata kecantikan itu bagi anggapan sesetengah orang sangat relatif sifatnya. Lain orang, lain penilaiannya.
Namun sebagai seorang Islam, kita tentulah ada kayu ukur tersendiri untuk menilai kecantikan. Kita tentunya mengukur kecantikan wanita mengikut kayu ukur Islam. Dan tentu sahaja kecantikan yang menjadi penilaian Islam adalah lebih hakiki dan abadi lagi.
Misalnya, kalaulah kecantikan itu hanya terletak pada wajah, wajah itu lambat-laun akan dimakan usia. Itu hanya bersifat sementara. Apabila usia meningkat, kulit akan berkedut tentulah wajah tidak cantik lagi. Jadi tentulah ini bukan ukuran kecantikan yang sejati dan abadi.
Sebagai hamba Allah, kita hendaklah melihat kecantikan selaras dengan penilaian Allah atas keyakinan apa yang dinilai oleh-Nya lebih tepat dan betul. Apakah kecantikan yang dimaksudkan itu? Kecantikan yang dimaksudkan ialah kecantikan budi pekerti ataupun akhlak. Itulah misi utama kedatangan Rasulullah SAW – untuk menyempurnakan akhlak manusia.
Kecantikan akhlak jika ada pada seseorang, lebih kekal. Inilah kecantikan yang hakiki mengikut penilaian Allah. Hancur badan dikandung tanah, budi baik di kenang juga. Kecantikan akhlak ini juga adalah satu yang lebih abadi. Kata pepatah lagi, hutang budi dibawa mati. Malah akhlak yang baik juga sangat disukai oleh hati manusia. Contohnya, kalaulah ada orang yang wajahnya sahaja cantik tetapi akhlaknya buruk, pasti dia akan dibenci.
Ya, mata menilai kecantikan pada rupa. Akal menilai pada fikiran. Nafsu menilai pada bentuk tubuh. Tetapi hati tentulah pada akhlak dan budi. Kecantikan akhlak ini diterima oleh semua orang. Katalah orang jujur, siapapun suka. Semua orang sepakat menyayangi orang yang jujur itu disukai. Sedangkan jika menurut ukuran rupa, penilaian manusia tetap tidak sama. Sebab itu ada pepatah yang mengatakan, 'beauty in the eye of beholder'.
Rasulullah saw juga telah pernah menegaskan, sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah.
Wanita solehah ialah perhiasan rumah-tangga, perhiasan masyarakat dan perhiasan negara. Jika ada ibu yang solehah, anak-anaknya tentu mendapat manfaat. Mereka akan terdidik dengan baik.
Jika ada isteri yang solehah, suami pun akan mendapat manfaat. Para isteri ini akan memudahkan urusan rumah-tangga, menjalinkan hubungan keluargha dengan penuh kasih-sayang dan lain-lain. Tuturkatanya baik, tingkah lakunya baik, senyumannya menawan dan segala-galanya indah... mereka bayangan bidadari syurga di dunia ini.
Kenapa banyak wanita yang memiliki kecantikan tetapi musnah hidupnya? Ada ungkapan yang berbunyi, kemusnahan akan menimpa bilawanita mula merasai dirinya cantik dan mempamirkan kecantikan. Sejauhmana benarnya, wallahua'lam. Tetapi apa yang pasti, menurut Islam jika kecantikan tidak disertai iman yang kuat, maka pemiliknya akan hilang kawalan diri. Akibatnya ramai wanita cantik diperdayakan oleh syaitan untuk menggoda manusia melakukan kemungkaran. Lihatlah di sekeliling kita. Kata orang, bunga yang cantik jarang yang harum! Ini sudah menjadi sesuatu yang lumrah.
Tanpa iman, kecantikan akan dipergunakan ke arah kejahatan dan kemaksiatan, yang akhirnya akan memusnahkan diri pemiliknya dan orang lain. Cuba kita lihat apa yang terjadi kepada bintang filem barat (di sinipun apa kurangnya), ada yang memporak-perandakan negara, rumah-tangga dan berakhir dengan sakit jiwa dan bunuh diri.
Cantik tidak salah, tetapi salah menggunakan kecantikkan itulah yang salah. Kata orang, wanita yang cantik jarang berakhlak. Umpama bunga yang cantik, jarang yang wangi. Tetapi kalau cantik dan berakhlak pula, inilah yang hebat. Umpama cantiknya wanita solehah pada zaman nabi seperti Siti Aishah RA, Atikah binti Zaid dan lain-lain.
Bagaimana mendapat kecantikan sejati? Perlu kita faham kecantikan itu bermula dari dalam ke luar. Bukan sebaliknya. Oleh itu pertama, tanamkan di dalam hati kita iman yang benar-benar kuat berdasarkan ilmu yang tepat dan penghayatan yang tinggi. Iman itu keyakinan, kasih sayang, kemaafan, sangka baik dan reda. Rasa-rasa ini buktikanlah dengan perbuatan yang baik. Bila hati baik, wajah akan sentiasa cantik.
Jadi perkara kedua ialah susulilah iman itu dengan perbuatan yang baik. Ertinya, kita atur kehidupan mengikut syariat atau peraturan Tuhan. Dan apabila iman ditanam, syariat ditegakkan, akan berbuahlah akhlak yang mulia. Wajah, perilaku dan peribadi kita akan nampak cantik sekali. Inilah yang dikatakan kecantikan yang hakiki. Biar buruk rupa, jangan buruk perangai. Apa gunanya mulut yang cantik kalau kita gunakan untuk mengumpat?
Ya, kecantikan akhlak... boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja, oleh yang rupawan mahupun yang hodoh. Itu bukti keadilan Allah yang mencipta wanita dengan berbagai wajah dan rupa... tapi peluangnya untuk "cantik" tetap serupa!
http://www.iluvislam.com/tazkirah/nasihat/1377-bunga-yang-cantik-jarang-harum.html
Langganan:
Postingan (Atom)
