Mengenai Saya

Foto saya
Malang, East Java, Indonesia
Uhibbuka Fillah...

Laman

Senin, 03 Januari 2011

Mengapa Wanita Memerlukan Lelaki?


Wanita tidak semestinya memerlukan lelaki, tetapi wanita dan lelaki saling memerlukan, cinta itu anugerah.
Mengapa wanita memerlukan lelaki di dalam hidupnya? Untuk beberapa waktu dahulu, ia begitu memukul-mukul kepala. Ya, apa perlu seorang wanita yang bebas mempertaruhkan sebahagian besar hidupnya kepada tangan seorang lelaki?
Bukankah lebih hebat jalan dihujung minggu bersama kawan rapat, berkenyit-kenyitan mata kepada lelaki kacak yang saling tidak putus dan tidak lokek senyum tanda salam perkenalan.
Saya mempunyai seorang rakan, sederhana cantik, tidak terlalu kurus tidak terlalu gemuk, tidak terlalu buruk, tidak terlalu jelita, manisnya ada, santunnya memikat orang tua, beragama juga kerana selalu sahaja diceritakan dia terhendap-hendap membawa sejadah masuk ke bilik stor kecil untuk solat, dan dia sentiasa cuba gembira dengan kehidupannya yang solo.
Tetapi saya fikir, saya faham apa yang berputar-putar dalam kepalanya. Dia tidak dapat berdusta betapa kebahagiaan cinta kawan-kawan membuatnya cemburu, dan membuatnya selalu terfikir-fikir: Apalah perasaan gadis yang dipuja dan dicintai hebat oleh seorang lelaki.
Kawan, saya harap dia membaca artikel ini. Cinta tidak datang dipaksa-paksa. Cinta tidak juga datang kala kita mahukannya. Jika kita mahukan ia menjadi air, ia datang seperti api.


Tetapi, jika kita bersabar dan menerima ketentuan Tuhan, seorang lelaki yang baik akan didatangkan kepada kita juga. Lelaki yang baik itu tidak turun dari langit.
Lelaki yang baik itu juga tidak semestinya datang dengan kepala berketayap, janggut selambak atau harta membuak-buak.
Tetapi lelaki yang baik, jika tuhan mahukan dia menemani kita sepanjang hayat, membimbing kelakuan kita, menjaga kemurnian kalbu bersama-sama, mendidik, membuka jalan agar kita dapat memperdalam selok-belok agama yang barangkali selama ini hanya menjadi pakaian dan lencana, dan memberikan kita zuriat yang halal lagi dirahmatiNya.
Dia akan datang apabila tiba masanya. Lambat atau cepat, maafkan saya, kerana Allah itu yang lebih mengetahui.
Kawan, kedatangan seorang lelaki dalam kehidupan seorang wanita seperti manusia kudung yang diberikan semula sebelah kakinya. Dia menyempurnakan kita. Namun, tidak kira semasyhuk mana sekalipun perkasihan dua jantina, selain perkara yang cantik-cantik dan molek-molek, kita sebagai wanita, harus bersedia menerima kehodohan-kehodohan perhubungan.
Kerana apabila kita mempersilakan seorang lelaki duduk di samping kita untuk sepanjang hayat, bererti kita harus langsung juga mempersilakan sekian masalahnya berbaring di bahu kita.
Kerana itu tidak hairan jika kita mendengar ada di kalangan kita, gadis, yang merungut-rungut kerana tanggungjawabnya terhadap keperluan hidup lelaki tidak juga berkurangan walaupun belum lagi berkahwin.
Ya, lelaki memang mendatangkan bahagia. Tetapi lelaki juga mendatangkan sengsara. Namun jika kita bijak menatangnya, semuanya pasti baik-baik sahaja. Itulah adat dalam perhubungan. Yang buruk-buruk pasti ada.
Barangkali daripada si dia, barangkali juga daripada kita, tetapi kita harus cermat mengimbangkannya agar jodoh berkekalan ke hari tua. Bagi yang sedang galak bercinta dengan lelaki permata jiwa tetapi menerima tentangan keluarga dua pihak, jika anda fikir anda tidak mungkin mampu hidup bahagia tanpa restu ibu bapa, maka ada baiknya anda menyerah kalah saja.
Walaupun tidak saling memiliki, dan cinta tidak juga diwali dan dinikahi, anda dan dia tetap pengantin di dalam jiwa.
Barangkali sudah sampai masanya anda mencari sahaja lelaki lain untuk dibawa pulang menemui ibu bapa. Bercakap soal kahwin, beberapa kenalan rapat yang dewasa bersama-sama.


Sejak zaman gatal-menggatal kenyit mengenyit kala di bangku pengajian, kini sudah disunting, dan bakal menjadi isteri kepada lelaki yang mereka cintai.
Semoga mereka tak tersalah pilih. Dan semoga lelaki yang dipilih, melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan hak suami isteri.
Wanita, kita dicipta dengan kemuliaan syahadah. Kerana benih seorang lelaki, kita ini tersenyawa, dikurnia tenaga sehingga kita mampu menyibak jalan keluar dari rahim ibu untuk melihat dunia.
Kerana benih seorang lelaki, kita ini ditiupkan jiwa, menjadi manusia, dan mencari seorang lelaki untuk dicintai, sebagaimana ibu diilhamkan tuhan untuk berkasih sayang dengan bapa.
Dan kerana tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta, kita wanita, kita ini diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri lelaki, tidak terlalu gagah sehingga mengenepi kudrat lelaki, tidak juga terlalu lemah sehingga jatuh menyembah kaki.
Tetapi kerana ciptaan tuhan itu indah, kita terbit daripada rusuk lelaki, bukan dekat kepala untuk dijunjungi, bukan dekat bahu untuk membebani, bukan dekat lengan untuk dijulangi, bukan dekat jari untuk disakiti, bukan dekat pinggul untuk dihenyaki, bukan dekat lutut untuk ditindihi, bukan dekat kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat pelusuk hati untuk dimulia, disayangi dan dicintai.
Andai lelaki itu burung yang terbang, kita adalah angin lembut yang bersisir-sisiran sepanjang perjalanannya. Tetapi kerana fitrah kejadian tuhan wanita itu kebergantungan hidupnya harus saja diserahkan kepada seorang lelaki yang boleh melindungi, maka kita pun tidak selamanya mahu menjadi angin semata-mata.
Kita mahu menjadi bunga, menghias sayapnya. Kita mahu terus bersama-sama, terbang dari rendah perkebunan bunga sehingga ke sayup langit terbuka, sehingga jalannya yang paling hujung, sehingga kita tua, rapuh dan mati.
Tetapi kita bahagia dalam dakapannya, semoga kita semua diketemukan dengan jodoh yang baik. InsyaAllah.


http://www.iluvislam.com/tazkirah/remaja-a-cinta/1406-mengapa-wanita-memerlukan-lelaki.html

Pemuda Dan Pengislahan Diri #1


Mengislah diri ialah membaiki dan merubah diri daripada keadaan yang sedia ada kepada keadaan yang lebih baik.Ia merupakan agenda utama seorang muslim di mana Imam al Banna meletakkannya sebagai kerja/amal yang pertama yang mesti dilaksanakan oleh para amilin (pendakwah) Islam.
Pengislahan diri merangkumi dua gerak kerja utama yang mesti dilakukan serentak iaitu ;
1. Membersihkan diri daripada sifat-sifat negatif  (seperti kufur, fasik, zalim, malas, putus asa dan semua akhlak-akhlak mazmumah).
2. Menghiaskan diri dengan sifat-sifat positif (seperti iman , taat , takwa , berani , tawakal dan semua akhlak-akhlak mahmudah)
Apabila berlansungnya dua gerak kerja di atas maka akan terlaksanalah konsep pengislahan dan pentarbiyyahan yang selalu disebut oleh ulama' iaitu "التخلي و التحلي" (Penceraian/Perlucutan dan Pemakaian/Penghiasan) , mencerai dan melucutkan segala sifat keji dan buruk daripada diri dan kemudiannya memakai dan menghiasinya dengan sifat-sifat yang terpuji dan indah.
Dalam ibarat yang lebih umum dapat kita nyatakan bahawa:
Gerak kerja pertama bertujuan membersih unsur-unsur Jahiliyyah dan mencabut akar-umbinya daripada  diri.


Gerak kerja kedua bertujuan memakaikan diri dengan pakaian Islam dan menghiasinya  dengan perhiasan Islam yang cantik dan indah.
Kita maksudkan dengan target khusus ini ialah target yang menjurus kepada setiap bidang / perspektif kehidupan secara khusus (seperti target dalam bidang keilmuan , kerohanian dan sebagainya) .
Target khusus ini mungkin tidak serupa di antara satu sama lain kerana suasana , kemampuan dan kecenderungan setiap individu adalah berbeza. Walau bagaimanapun, tidak menjadi kesalahan bagi kita untuk meneliti target khusus yang dikemukakan oleh beberapa ulama' dalam beberapa bidang tertentu sebagai model dan panduan bagi kita sebelum kita melakarkannya sendiri.
1. Dalam Bidang Keilmuan Dan Saqofah
Pada pandangan As Syeikh Said Hawa, setiap muslim mesti melalui dua corak pembelajaran :
a) Pembelajaran ilmu Syari'e untuk menyempurnakan apa yang dituntut daripadanya yang terdiri daripada ilmu-ilmu fardhu ain.
Fardhu ain yang utama bagi setiap muslim ialah mengetahui Islam secara ijmali dan beriman dengannya serta mengakuinya dengan mengiklankan ucapan dua kalimah syahadah.
Fardhu ain kedua ialah mengetahui secara tafsili ilmu-ilmu Islam yang membolehkannya melaksanakan / menyempurnakan fardhu-fardhu yang dituntut ke atasnya.
Antara fardhu ain tersebut ialah ;
Mentauhidkan Allah (التوحيد) , Beribadah (العبادة) dan Menyucikan diri (زكاة النفس).
Mengetahui perkara-perkara yang diharamkan serta meninggalkannya dan mengetahui perkara-perkara yang dituntut serta melaksanakannya.
Melaksanakan kewajipan terhadap dua ibu bapa,orang-orang yang mempunyai silaturrahim dengannya dan jiran-jirannya.
Memenuhi kewajipan mentaati imam dan melazimi jamaah.
Menjadikan sumber rezekinya adalah halal dan menafkahkan rezeki kepada orang-orang yang wajib dinafkahinya . Apabila ia mempunyai harta maka zakat, haji dan jihad harta (kalau ditentukan) menjadi fardhu ain ke atasnya.


Apabila jihad menjadi fardhu ain maka wajib baginya untuk melaksanakannya dengan niat untuk berjihad , berlatih , membuat persediaan, menyediakan kelengkapan dan seterusnya menyertai jihad.
Keseluruhan fardhu ain ialah seseorang manusia itu berada dalam situasi takwa.Takwa ialah tuntutan ilahi daripada hambanya.Takwa sepertimana yang digambarkan di awal surah al Baqarah ialah: Iman , Solat , Infaq , Mengikut al quran dan bebas daripada kekufuran dan kemunafikan.
Fardhu ain di dalam suasana-suasana yang biasa adalah serupa bagi setiap individu muslim keseluruhannya dan setengahnya berbeza (luas dan sempitnya) antara seorang individu dengan individu yang lain.
Sebagai contohnya :- Tuntutan supaya membersihkan diri (زكاة النفس ) adalah lebih rendah bagi seseorang yang mempunyai fitrah yang baik (صالح الفطرة) jika dibandingkan dengan seseorang yang mempunyai penyakit-penyakit jiwa.
Apa yang dituntut daripada pekerja biasa (عامل بسيط) lebih sedikit daripada apa yang dituntut daripada seorang peniaga kaya dan yang mempunyai  pengaruh yang luas.
Apa yang dituntut terhadap manusia di dalam sesuatu biah (suasana) adalah berbeza dengan apa yang dituntut  terhadap manusia yang berada di dalam sesuatu biah (suasana ) yang lain .
Contohnya : Seorang muslim yang hidup dalam suasana bida'ah dan kekufuran dituntut untuk melakukan perkara-perkara yang melindungi dirinya dan ahli keluarganya daripada bida'ah tersebut  ( Bentuk Bida'ah dan kekufuran adalah berbeza di antara satu tempat dengan satu tempat yang lainnya ).
Begitu juga apabila berleluasanya syubhah yang menyesatkan , menjadi kewajipan bagi setiap mukallaf untuk melindungi dirinya daripada syubahah ini. Apabila (pada suatu ketika) terdapat ideologi-ideologi yang menyesatkan  dan pemikiran-pemikiran yang betul maka menjadi kewajipan bagi setiap muslim untuk memelihara dirinya daripada ideologi yang menyesatkan dan menjadi sebahagian daripada penyokong pemikiran yang betul.
b. Pembelajaran Takhassusi - supaya ia dapat memberi saham di dalam menyempurnakan satu ilmu daripada ilmu-ilmu yang menjadi fardhu kifayah
Maksud pembelajaran takhassusi ialah seseorang individu muslim itu memilih salah satu daripada ilmu-ilmu yang tergolong di dalam fardhu kifayah untuk dipelajari secara takhassus sehingga ia dapat memenuhi keperluan masyarakat terhadap ilmu tersebut.



Mungkin kita dapat membahagikan ilmu-ilmu yang menjadi fardhu kifayah pada masa ini kepada tiga kategori :
1. Ilmu-ilmu yang diperlukan untuk memastikan berkekalan dan berterusannya agama seperti ilmu Qiraat , ilmu Tajwid' ilmu Tafsir , ilmu Mustalaahul Hadis, ilmu Tauhid , ilmu Feqah ,bahasa Arab dan sebagainya.
2. Ilmu-ilmu yang diperlukan di dalam gerak kerja Dakwah dan 'Amal Islami seperti ilmu Sirah Nabi dan Para Sahabat , ilmu tentang wasilah dan uslub dakwah, ilmu organisasi dakwah dan sebagainya.
3. Ilmu-ilmu yang diperlukan untuk kemaslahatan umat Islam dan negara Islam seperti ilmu Ketenteraan ,ilmu Pendidikan , ilmu segala jenis Perindustrian, ilmu Pertanian, ilmu Pentadbiran dan sebagainya.
Kesimpulannya, target kita dalam pengislahan diri dari aspek Ilmu atau Saqofah ialah ;
i. Melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu yang menjadi Fardhu Ain.
ii. Memantapkan bidang keilmuan yang menjadi takhassus kita.
2. Dalam Aspek Kerohanian/Hubungan Dengan Allah
Dalam usaha mendekatkan diri dan menguatkan hubungan kita dengan Allah swt. sasaran kita ialah menjadi golongan yang disebut oleh Allah sebagai auliya' Allah (أولياء الله). Golongan ini adalah golongan yang telah mencapai kedudukan/ maqam al-Wilayah (الولاية) yang disebut ciri-ciri mereka oleh Allah dalam ayat ;
"Ingatlah,sesungguhnya orang yang mematuhi Allah mereka tidak merasai takut dan tidak berduka-cita." (Surah Yunus, 62)
"Dan siapa yang dibiarkanNya sesat,tiadalah engkau akan mendapat teman yang menunjukinya ke jalan yang benar". (Surah Al-Kahfi, 17)
Syarat-syarat untuk menjadi golongan ini,seperti mana yang dinyatakan oleh Syeikh Said Hawa dalam kitabnya "إجازة تخصص الدعاة" ialah :
Meninggalkan dosa besar dan tidak berpanjangan berada di dalam dosa kecil sama ada dosa zahir atau dosa batin.
Mengerjakan atau melaksanakan perkara-perkara fardhu dan sunat      (النوافل) meliputi zahir dan batin.


Melazimi zikir, sama ada yang fardhu atau yang sunat.Termasuk dalam pengertian zikir ini ialah solat , membaca al Quran,zikir-zikir mutlak (الأذكار المطلقة) serta zikir-zikir dan doa-doa munasabah/sempena tertentu (الدعوات و الأذكار المناسبات).
Berusaha untuk mencapai hati yang sejahtera dan hati yang mempunyai Nur yang disebut oleh Allah dalam al Quran ;
يوم لا ينفع مال ولا بنون إلا من أتى الله بقلب سليم
Di samping itu,  beliau menyatakan;
"kami menasihatkan kepada semua ikhwah, supaya melakukan perkara-perkara di bawah ini untuk sampai kepada kedudukan yang disebut al Wilayah tadi;
Menjaga solat lima waktu dan solat sunat rawatibnya, mendirikan Qiamullail, solat dhuha dan solat-solat sunat yang lain.
Berpuasa Ramadhan dan memperbanyakkan puasa sunat.
Menyempurnakan zakat harta dan zakat fitrah,membanyakkan sedekah memberi makan tetamu dan memuliakannya.
Bermula dengan wirid harian dan menjaganya seperti Istighfar. Salawat , tahlil dan bacaan al Quran tidak kurang daripada tiga rubu' (ربع).
Berzikir dengan zikir mutlak yang warid daripada sunnah seperti ;
سبحان الله والحمد لله ولا إله إلا الله و الله أكبر وحسبنا الله ونعم الوكيل ولاحول ولا قوة إلا بالله وسبحان الله وبحمده و سبحان الله العظيم membaca (الوظيفة الكبرى/ الصغرى) yang disusun oleh Imam Hasan al Banna.
Sekiranya tidak mampu membacanya dua kali sehari (iaitu pagi dan petang) maka hendaklah dibaca sekali sehari dan jika masih tidak mampu juga maka hendaklah dibaca seminggu sekali.
Melazimi zikir-zikir dan doa-doa munasabah.
Tidak melupai bahawa menghafal al Quran dan membacanya adalah zikir dan begitu juga ilmu Syariah adalah zikir.Oleh itu,hendaklah mempelajari al Quran, membaca kitab-kitab dan menghadiri halaqah ilmu.
Menghadiri halaqah-halaqah zikir dan tazkirah yang meraikan adab-adab syarak.


Memperbanyakkan pergaulan dengan orang-orang soleh , menziarahi dan berkumpul bersama mereka , memperbanyakkan persaudaraan pada jalan Allah dan menjadikan pergaulan dengan mereka di bawah syiar ;
تعالى نؤمن بربنا ساعة
Target kita dalam usaha pengislahan diri dilihat dari aspek kerohanian/hubungan dengan Allah ialah  ;
Berusaha untuk menggolongkan diri di kalangan Auliya' Allah dengan memenuhi sedaya mungkin syarat-syarat yang disebutkan oleh ulama' tadi.
3. Dalam Aspek Kehidupan Material (belanja harian/tempat tinggal/kenderaan)
Seperti mana aspek maknawi manusia (iaitu aqal dan rohani) perlu diislahkan, begitu juga dengan aspek maddi/material manusia iaitu makanan, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya.
Pengislahan aspek maddi/material ini ialah dengan memperolehi rezki yang halal. Islam sejak awal-awal lagi menuntut manusia khususnya orang-orang beriman supaya berkerja dan berusaha untuk memperolehi rezki yang halal yang dapat mendatangkan kesejahteraan dalam kehidupan mereka. Firman Allah swt ;
"Apabila telah selesai mengerjakan solat , maka bertebaranlah di muka-bumi dan carilah kurniaan Allah" (Surah Al-Jumuah, 10)
"Kamu hanyalah menyembah berhala-berhala yang diperbuat oleh orang, tidak menyembah Allah yang mencipta segala-galanya, dan kamu hanya mengadakan penyembahan yang dusta. Sesungguhnya mereka yang kamu sembah yang lain dari Allah itu, tidak berkuasa memberi rezeki kepada kamu; oleh itu carilah rezeki dari sisi Allah, dan sembahlah akan Dia, serta bersyukurlah kepadaNya; (ingatlah), kepada Allah jualah kamu akan dikembalikan. (Surah Al-Ankabut, 17)
Sabda Nabi (s.a.w) yang bermaksud :
"Mencari sumber rezki yang halal adalah suatu kefardhuan."
"Sesungguhnya di antara dosa-dosa, ada dosa-dosa yang tidak dapat dihapuskan oleh ibadat puasa, solat dan sedekah tetapi dihapuskan oleh usaha yang dilakukan untuk menyarai keluarga."
"Sesungguhnya makanan yang terbaik ialah yang diperolehi daripada hasil kerja tangan sendiri."



Dalam memenuhi kewajipan mencari rezki yang halal ini,kita tidak dituntut supaya mengejar kekayaan atau kemewahan walaupun ia adalah harus tetapi memadai sekadar mencapai tahap yang disebut oleh Fuqaha' sebagai                "حد الكفاية" iaitu tahap yang mencukupi untuk memenuhi keperluan-keperluan hidup bagi diri sendiri dan keluarga/orang yang berada di bawah tanggungan kita\[2].
Kebiasaannya ,hajat atau keperluan asasi manusia terdiri daripada empat perkara ;
1. Makanan
2. Pakaian
3. Air
4. Tempat berlindung.
"Lalu kami berkata:Hai Adam!,Sesungguhnya iblis ini adalah musuh engkau dan musuh isteri engkau.Sebab itu janganlah dibiarkan dia sampai mengeluarkan engkau berdua dari syurga,nanti engkau menjadi celaka.Sesungguhnya di situ engkau tidak akan merasa lapar dan tiada pula bertelanjang.Dan sesungguhnya di situ engkau tiada akan merasa dan tiada merasakan panas matahari". (Surah Taha, 117 - 119)
"Siapa yang menghadapi waktu pagi dalam keadaan merasai keselamatan keluarga dan hartanya,sihat tubuh-badannya dan memiliki makanan hariannya maka seolah-olah dihimpunkan baginya dunia dengan segala penjurunya".
Allah swt  tidak hanya memerintahkan manusia supaya berusaha dan berkerja  tetapi juga menyediakan bagi mereka lapangan pencarian rezki yang luas di mana bidang-bidang yang boleh diceburi oleh mereka untuk mencari kurniaan/rezeki Allah swt adalah banyak dan pelbagai.
Bergantung kepada manusialah untuk memilih mana satu bidang pencarian yang ia sukai mengikut kecenderungan dan kemampuannya asalkan bidang tersebut tidak bercanggah  dengan ketentuan Syara'.
"Dan dijadikan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya,(kurniaan) dari Tuhan". (Surah Al-Jaathiyah, 13)
"Sesungguhnya telah kami teguhkan kekuasaanmu di bumi ini,dan Kami jadikan di sana lapangan penghidupanmu". (Surah Al-A'raf, 10)



Oleh kerana bidang pencarian rezki ini luas,maka seharusnyalah bagi kita untuk memikirkan apakah bidang yang akan kita ceburi pada masa depan  sebagai sumber rezki yang halal  sesuai dengan kemampuan.  Suasana  ,  kecenderungan dan kemahiran yang ada pada kita.
Setelah target-target khusus ini dilakarkan, tugas kita seterusnya ialah berfikir dan bertindak untuk merealisasikannya.

~ Bersambung ~


http://www.iluvislam.com/tazkirah/dakwah/1408-pemuda-dan-pengislahan-diri-1.html

Kisahku Di Dalam Train


Perjalanan pulang dari Kepong ke Shah Alam pada hari itu seolah-olah mahu menguji. Baru sahaja menapak keluar dari Institut Penyelidikan FRIM, hujan mula menumpahkan air matanya. Penat rasanya berkejaran untuk ke pintu utama bagi mendapatkan teksi. Setelah menunggu agak lama, teksi pun tiba, lalu membawaku ke Komuter Kepong. Dari Kepong aku mengambil train ke KL Sentral.
Aku kerling  handset di tanganku. Sambil menunggu train ke Shah Alam tiba, aku mengeluarkan diari dan mencatat nombor telefon abang.  Dia mungkin dalam perjalanan mahu menjemputku. Katanya dia mahu membawaku berbuka puasa dengan makanan laut di sekitar Klang.
Aku bersesak-sesak masuk ke perut train dengan membimbit sample kayu yang bakal diuji kandungan air dan ketumpatannya. Setiap kali train berhenti, setiap itulah aku semakin terperosok di celah-celah manusia. Pelbagai bau dari pelbagai bangsa  dapat dihidu.  Aku masih bertahan dengan kaki yang masih kejap di lantai train, cuma sesekali tersorong ke hadapan dan belakang. Tiba-tiba air-cond di dalam train tidak berfungsi. Kedengaran dengusan orang ramai menyampaikan rasa tidak puas hati mereka.
" Nek, panas!"


Kedengaran suara manja di hujung sana. Ku pandang pada seorang nenek bersama cucunya. Bukan seorang malah 4 orang. Kukira yang paling bongsu adalah dalam lingkungan setahun, manakala yang lain mungkin bawah umur 7 tahun.
"Sabar ya, kejap lagi kita sampai," pujuk nenek itu.
Anak perempuan itu diam. Terpujuk dengan kata-kata neneknya itu. Tidak lama selepas itu dia merengek lagi. Kali ini dengan lebih kuat. Dia meminta neneknya mengikat rambut panjangnya itu supaya dia lebih selesa berada dalam kepanasan.
"Macam mana nek nak ikat. Adik ni, siapa nak pegang?" Nenek itu mengunjukkan pada bayi yang dikendongnya. Dia kemudian menyuruh cucu lelakinya mengikat rambut adik perempuannya, namun cucunya itu buat tak endah, malah seronok memerhatikan pemandangan di luar train. Akhirnya cucu perempuan itu menangis.
Nenek itu bercerita kepada perempuan di sebelahnya akan hasratnya mahu membawa anak-anak itu bersiar-siar memandangkan anak dan menantunya bekerja. Wajah tua itu sungguh mengingatkan aku pada emak di kampung. Aku jatuh kasihan, pada nenek itu. Sudahlah membesarkan anak, kini anak kepada anaknya pula yang harus dikendong ke sana ke mari.
Benarlah, pengorbanan ibu tak pernah ada titik noktahnya.  Jika masa kecil dia yang menjaga makan minum kita, sehingga kita dewasa dan berumah tangga pun kita masih menyusahkan mereka.
Malah ada diantara kita yang sanggup tinggal bersama ibu bapa demi mahu menjimatkan kos penjagaan anak. Ibulah yang menjaga makan minum, membasuh berak kencing si kecil, menidurkan dan melayan pelbagai ragamnya. Si anak pula setelah pulang bekerja hanya tidur kepenatan.
Hujung bulan, dihulurkan seratus dua kepada ibu,  Saguhati membesarkan mereka sewaktu kecil plus menjaga bayi mereka. Sungguh jimat! Kalau dihantar ke  pusat penjagaan  tentunya lebih mahal, ditambah pula komisyen kepada ibu bapa. 2 in 1, senang.
Suara anak itu menangis mengasak pendengaran. Semua yang berada berdekatan saling berpandangan, namun tidak ada yang melakukan gerak balas.
"Akukah yang harus bertindak ? hatiku bertanya.
'Ah, nanti orang cakap nak tunjuk baik pulak.  Hipokrit,"
Anak kecil itu masih menangis.


'Ah, biarlah, orang lain kan ada. Kejap lagi ok la tu. Budak kecik biasalah'. Syaitan mula berbisik di telingaku setelah melihat aku semakin goyah. Tangisan anak itu makin kedengaran kuat sehingga menarik perhatian semua penumpang.
'Macam mane ni?' Aku pula ibarat cacing kepanasan.
Sejujurnya, aku tidak sampai hati. Aku sedar selama ini perasaan itulah yang tumbuh subur dalam diriku. Perasaan belas kasihan yang mendorong setiap manusia untuk melakukan kebaikan. Demi Allah, aku tidak rela ia hilang berdikit-dikit ditelan sifat pentingkan diri. Aku semakin berdebar-debar. Mahu atau tidak, aku yang memilihnya, dan aku sesekali tidak akan rugi apa-apa.  Waktu itu hatiku berbisik.
"Kalau benar inilah hipokrit, maka lesapkanlah pahala dari perbuatanku ini. Aku tidak mengharapkan pahala bagi perbuatanku ini,"
Aku berjalan berhati-hati bimbang terjelepok di lantai train yang semakin laju bergerak.  Sekali sekala aku berpegang pada tiang. Aku tahu banyak mata yang sedang memerhatikan. Mungkin berfikiran akan rasionalnya aku bergerak dalam keadaan yang bersesak-sesak. Banyak juga yang sedang menghakimiku.  Dalam terketar-ketar, aku meletakkan sample kayu, lalu ku gapai rambut halus si kecil dan kuikat tinggi-tinggi ibarat ekor kuda..  Anak kecil itu diam,  merelakan. Sungguh manja sekali. Si kecil melihatku dengan wajah hairan,  akhirnya dia tersenyum. Tangisannya hilang sama sekali. Sesekali kulihat dia bermain-main dengan tocangnya itu.
"Terima kasih, ya'' ucap nenek itu.  Berharga sungguh ucapan itu padaku. Aku tersenyum bangga. Ada rasa bahagia mengalir ke dasar hati. Perbuatan yang sungguh mudah, senang dan menggembirakan, namun tak ramai, yang mahu melakukan. Aku sedar, daripada perbuatan kecil mahupun besar, masing-masing mempersoalkan keikhlasaan, walhal keikhlasan itu adalah terbitnya dari dasar hati.
Dengan izin Allah, kadang-kadang Dia akan menunjukkan keikhlasan kita, mungkin daripada gaya percakapan kita, air muka kita yang tenang dan perlakuan kita yang menyenangkan. Dengan adanya keikhlasan dalam diri, kita akan jadi manusia yang redha.  Dan bercakap mengenai redha, sebaik sahaja turun daripada train di Shah Alam, aku kehilangan handset. Aku lihat handbagku yang terbuka, lalu menggaru-garu kepala. Aku berteleku di tepi longkang, tidak tahu apa yang harus dilakukan.
Ternyata memang jodohku dengan handset [I]pink[/I] ku itu sampai hari itu, dan aku redha. Bagaimana mahu menelefon abang, nombornya yang baru ada di dalam telefonku. Aku teringat akan diari kesayanganku, yang telah kucatit nombor telefon abang sebentar tadi. Syukur, semuanya bagai sudah diatur oleh Allah.  Aku berjalan menghampiri seorang perempuan lalu tanpa segan silu meminjam telefonnya. Nah, ternyata tidak rugi kita menolong orang!  Mungkin berkat menolong nenek tadi, lalu mereka yang entah siapa-siapa datang menolongku. 


Teringat kata-kata professorku semasa kami pulang dari menjalankan projek di Pahang dan Terengganu.
" Tolonglah orang, tanpa mengira sesiapa. Mungkin satu hari orang yang tak kenal kita pula yang akan tolong kita,"
Ia adalah satu pelajaran bagiku. Dengan kehilangan hadsetku  tadi, maka abangku telah menghulurkan duitnya supayaku membeli telefon baru. Alhamdulillah, rezeki.


http://www.iluvislam.com/inspirasi/kembara-hidup/1410-kisahku-di-dalam-train.html

Isteri Luar Biasa


Berkahwin dan memiliki sebuah keluarga sentiasa menjadi keinginan seorang wanita.
Jika ditanya pula pada seorang wanita yang baru mendirikan rumahtangga, kebanyakannya ingin menjadi isteri yang baik kepada suami dan ibu yang baik kepada anak-anaknya.
Antara lain harapan yang diletakkan ialah ingin mengekalkan kebahagiaan hingga ke anak cucu, malah ada yang ingin kekal bahagia sehingga ke akhir hayat.
Sekalipun matlamat dan harapan cukup jelas, ramai yang gagal meramal atau menjangka laluannya tidak semudah yang disangka.
Alasannya cukup mudah, jika yang diinginkan ialah kebahagiaan, sudah tentu yang diuji adalah ketahanan dan pengorbanan setiap individu yang inginkan kebahagiaan tersebut.
Bahagia tidak datang secara percuma, juga bahagia bukan sesuatu yang boleh diperturunkan oleh sesiapa kepada sesiapa.
Kebahagiaan perlu diusahakan.
Laluannya perlu difahami, teknik dan strategi perlu dipelajari, rintangan dan halangan perlu dijangka lebih awal, persediaan mental, fizikal dan kejiwaan perlu sentiasa dibina dan ditingkat, kemahiran asas dan tambahan perlu dipelajari, petua dari yang orang yang berjaya dan berpengalaman perlu sentiasa dituntut dan yang penting sekali perhubungan dengan Yang Maha Berkuasa perlu sentiasa dihidupkan.
Bagi seorang wanita yang ingin menjadi isteri yang solehah, mereka perlu jelas dengan apa yang dinyatakan tadi.
Isteri solehah di sisi Allah selayaknya diberi ganjaran syurga. Sementara syurga itu adalah tempat orang yang juga mendapat tempat disisi Allah.
Orang yang mendapat tempat disisi Allah pula bukanlah orang yang sembarangan, bukan orang yang kalah bila diuji, yang melatah bila ditimpa kesusahan dan putus asa bila diuji dengan kesabaran.
Isteri yang solehah boleh dikatakan sebagai isteri yang luar biasa pada masakini.
Pada masa ini terdapat lebih ramai isteri yang biasa-biasa saja dari segi ketaatan dan kepatuhan kepada suami juga biasa-biasa sahaja dari segi ketahanan jiwa dan mentalnya dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri.



Sesuai dengan apa yang diceritakan oleh Nabi dalam Isra' baginda dimana kebanyakan dari penghuni neraka adalah wanita, termasuklah wanita yang derhaka kepada Allah dan suaminya.
Jika sudah itu kenyataannya sudah tentu di dunia kini kita dapat melihat banyak wanita yang bergelar isteri mempunyai ciri-ciri ahli neraka. Juga pada masa yang sama jika terdapat golongan wanita yang mempunyai ciri-ciri ahli syurga sudah tentu sedikit bilangannya.
Maka dari kiraan statistiknya kumpulan yang terkeluar dari populasi yang ramai atau yang biasa dinamakan sebagai kumpulan yang luar biasa.
Dalam konteks sebuah perkahwinan, kedudukan wanita atau isteri di sisi suaminya adalah sebagai pembantu atau suri dalam kehidupan. Jika suami ibarat raja yang boleh bertitah dan mengeluarkan perintah, isteri pula umpama menteri yang menerima segala arahan dan wajib mentaati serta merealisasikan  perintah tersebut.
Dalam ertikata yang lain, isteri bertanggungjawab mentaati perintah suami.
Dalam Al-Quran jelas menyatakan perkara tersebut dimana [B]isteri wajib mentaati suami selagimana perintah suami tidak bercanggah dengan perintah Allah Taala[/B].
Isteri yang luarbiasa perlu lulus segala ujian. Ujian seorang isteri terletak dibawah kemampuannya mentaati perintah Allah dan juga perintah suaminya. Isteri yang ingin lulus dengan jayanya perlu mengetahui beberapa perkara yang menjadi kunci atau asas kejayaan.
01.Pertama, isteri perlu meletakkan Allah sebagai pusat ketaatan yang tertinggi dan utama atas segala-galanya.
Sementara suami wajib ditaati selagi apa yang diperintah tidak menyalahi atau membelakangi ketaatan isteri kepada Allah.
Dalam ertikata lain, isteri perlu tahu dan faham bahawa ketaatan beliau kepada suami adalah kerana Allah memerintahkan beliau untuk berbuat demikian, bukan kerana suami yang mengkehendaki sedemikian.
Adalah penting untuk isteri memahami perkara ini kerana kebanyakan isteri yang 'biasa-biasa' mudah merasa putus asa untuk terus mentaati apa yang dikehendaki oleh suami terutama apabila keinginan suami bercanggah dengan keinginan sendiri atau suami tidak membalas ketaatan dan kebaikan yang isteri lakukan.
Isteri yang luarbiasa mempunyai matlamat yang juga luarbiasa atau yang tidak dapat dilihat oleh isteri yang 'biasa-biasa'.


Jika isteri yang 'biasa-biasa' melihat hubungan antara suami dan isteri sebagai interaksi antara pasangan bercinta, isteri yang luarbiasa melihat hubungan tersebut dan interaksi antaranya sebagai ibadah kepada Allah Taala.
Maka tidak kiralah samada suami membalas atau tidak kebaikan yang dilakukan, isteri sebegini tidak akan berhenti dari terus melaksanakan kewajiban yang ditetapkan oleh Allah Taala.
02.Kedua, isteri perlu sentiasa menjana kekuatan mental dan spiritualnya.
Tanggungjawab seharian seorang isteri sangat mencabar kekuatan jiwa. Apatah lagi jika isteri tersebut bekerjaya. Tuntutan tanggungjawab yang berterusan mudah menekan perasaan naluri isteri yang secara fitrahnya sememangnya lembut dan halus.
Lebih mencabar lagi jika isteri tersebut mempunyai suami yang kurang sensitif atau kurang bertimbangrasa dalam hal-hal berhubung tanggungjawab di rumah.
Walau apapun keadaannya, apa yang dipertanggungjawabkan oleh Allah kepada seorang isteri akan kekal sebagai tanggungjawab yang bakal disoal di akhirat kelak.
Dalam ertikata yang lain, sekalipun isteri tersebut bekerja, tidak sekali-kali dia terkecuali atau dikurangkan dari tanggungjawab asasnya terhadap rumahtangganya.
Dalam keadaan ini jika tekanan tidak dapat dikurangkan seorang isteri yang luarbiasa akan sentiasa meningkatkan kekuatan mental dan spiritualnya melalui hubungannya dengan Allah Taala.
[Semakin kuat tekanan, semakin rapat hubungannya dengan Allah. Sebagaimana yang disabdakan oleh Rasullullah s.a.w;
"Barangsiapa menjadikan semua kebimbangannya kepada satu kebimbangan (akhirat) Allah akan melenyapkan semua kebimbangan keduniaannya, dan barangsiapa yang membimbangkan tentang hal-hal keduniaan, Allah akan membiarkannya tenggelam dalam kebimbangannya"
Dalam sebuah hadis Qudsi Allah berfirman yang kira-kira bermaksud:
"Wahai anak Adam! Luangkanlah masa kamu untuk beribadah kepadaKu dan Aku pastinya akan memenuhi dadamu dengan kekayaan dan kesenangan (iaitu merasa puashati dan bebas dari kesusahan) dan membebaskan kamu daripada bergantung (pada orang lain untuk keperluanmu) tetapi sekiranya kamu tidak melakukannya maka Aku akan memenuhi dadamu dengan perasaan gelisah  dan rasa bersalah dan tidak akan membebaskanmu daripada bantuanmu (dan keperluan)."


Dengan kata lain, semakin bertambahnya kekayaan, kamu akan bertambah bakhil dan kamu akan sentiasa dalam kebuntuan.
Isteri yang luar biasa menjadikan Allah sebagai tempat mengadu, tempat bergantung dan memohon kekuatan.
Dalam keadaan bebanan tanggungjawab yang semakin bertambah; melayan dan memenuhi keperluan suami, mendidik dan mengasuh anak-anak, mengurus kerja-kerja rumahtangga yang tidak pernah berkesudahan, kemudian di tambah lagi dengan tuntutan tanggungjawab kerjaya sudah tentu kudrat manusia biasa tidak termampu untuk menanggungnya sendirian, apatah lagi oleh wanita yang berjiwa halus dan  berfizikal lembut.
Dalam keadaan ini hanya Allah sahaja yang mampu memberi kekuatan, tempat mengadu yang menyediakan pemahaman yang amat mendalam dan tempat menggantung doa serta harapan yang tidak pernah mengecewakan.
Isteri luarbiasa mempunyai pertalian yang luarbiasa dengan Penciptanya.
03. Ketiga, isteri luarbiasa jiwanya penuh dengan kasih sayang.
Kasih sayang tersebut sentiasa mendorongnya untuk memberi berbanding menerima, memahami berbanding menuntut orang lain memahaminya, mengutamakan berbanding diutamakan, berkorban berbanding mengharap orang lain berkorban untuknya.
Isteri sebegini sedar dimana beliau dapat menyalurkan kedukaan dan keluhan agar tidak sampai nampak pada pandangan suami apatah lagi menyusahkan suami.
Bagi seorang isteri yang luarbiasa akhlaknya, tanggungjawabnya lebih utama dari hak yang perlu dituntut. Tanggungjawab akan dikira di depan Allah berbanding dengan hak.
Isteri solehah lebih gusar jika tanggungjawab sebagai isteri dan ibu tidak dipenuhi olehnya berbanding dengan hak yang perlu diterima.
Isteri solehah lebih gusar jika kemuraman dan kemasaman wajahnya menyusahkan suami berbanding menuntut suami melayani perasaan dan kekecewaannya. Dalam ertikata yang lain, isteri yang luarbiasa juga mempunyai ketahanan mental dan emosi yang cukup tinggi.
Bagi setiap wanita yang bergelar isteri, yang bercita-cita untuk menjadi isteri yang solehah, sebaiknya mengukur kemampuan dan kesanggupan diri sendiri untuk memenuhi ciri-ciri yang dinyatakan tadi.



Jika  belum mampu, pertingkatkan usaha. Menjadi seorang isteri merupakan anugerah yang cukup tinggi bagi seorang wanita. Memiliki suami umpama memiliki jambatan bonus untuk meniti ke syurga. Namun tanpa ketaatan terhadap suami umpama tidak menghargai peluang yang ada.
Mengenepikan suami atau menderhakai suami pula, umpama merobohkan jambatan tersebut dan memilih untuk berenang ke syurga. Arahnya sama, namun sayang kemudahan tiada. Isteri yang luarbiasa sahaja yang  berjaya tiba ke syurga yang dijanjikan Allah padanya.
Syurga pula ganjaran tertinggi bagi hambaNya yang beriman dan bertaqwa. Apa yang perlu diingat selalu, sesuatu yang bernilai tinggi tidak diberi secara percuma juga tidak murah harga dan nilainya.


http://www.iluvislam.com/keluarga/perkahwinan/1288-isteri-luar-biasa.html